Sekolah Sebagai Entiti Sosio Ekonomi Pelajar
Oleh : Wan Adlina Wan Ab Aziz
w_wanadlina@angkasa.coop
Dua sekolah dari Kemaman, Terengganu mencipta sejarah apabila Koperasi Sekolah Menengah Agama AL-Falah dinobatkan sebagai johan Koperasi Sekolah Terbaik 6 Bintang manakala Koperasi Sekolah Menengah Mak Lagam memenangi Anugerah Projek Terbaik Keseluruhan melalui Projek Penanaman Cendawan Tiram dalam Majlis Penyampaian Anugerah Koperasi Sekolah Terbaik HKS/PKS 2009 dan Konvensyen Pembudayaan Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan pada 1 November 2009 lalu.
Dengan kemenangan tersebut, Koperasi Sekolah Menengah Agama Al-Falah membawa pulang kristal, hadiah iringan dan hadiah program pendedahan ke negara Asia manakala Sekolah Menengah Mak Lagam menerima hadiah berupa lawatan ke luar negara bernilai RM15,000 sumbangan Bank Rakyat.
Sementara itu, Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Temin Bhd., Jerantut, Pahang pula berjaya merangkul johan Kategori Anugerah Khas Pelancongan Koperasi Sekolah (Hos Terbaik) sekaligus membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM16,000 sumbangan ANGKASA dan Kementerian Pelajaran Malaysia.
Menariknya dalam sambutan majlis berkenaan, satu anugerah yang dikenali sebagai Anugerah Khas Juri turut diberikan kepada Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Badin Bhd.,Tuaran, Sabah di atas kesungguhan koperasi sekolah tersebut yang melaksanakan Prinsip Jati Diri Koperasi yang Ke-7 iaitu Berprihatin Terhadap Masyarakat.
Majlis bersejarah yang dihadiri kira-kira 500 pelajar dan guru dari seluruh negara di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam itu telah dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan rasa bangga di atas kehadiran ramai koperator-koperator muda khususnya pelajar-pelajar sekolah yang menunjukkan sokongan padu terhadap program dan aktiviti yang dianjurkan oleh dua kementerian secara bersama iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK) dan Kementerian Pelajaran Malaysia.
Katanya, koperasi merupakan platform terbaik sekolah untuk melatih pelajar dengan amalam perniagaan sebenar khususnya dalam bidang keusahawanan kerana aktiviti yang dijalankan adalah berbentuk realiti bukannya aktiviti "dummy". Ini adalah kerana aktiviti ini menitikberatkan keperluan-keperluan untuk menjadi usahawan seperti minat, kesungguhan, modal, kreativiti dan semangat kerjasama untuk meraih kejayaan.
"Selaras dengan matlamat kerajaan untuk membangunkan modal insan, saya berpendapat koperasi sekolah merupakan entiti sosio ekonomi yang paling sesuai untuk mendedahkan pelajar-pelajar kepada dunia keusahawanan sebenar selepas keluar sekolah nanti. Tambahan pula, koperasi sekolah adalah entiti sah dari segi perundangan untuk menjalankan perniagaan dan boleh membuat sebarang perjanjian serta kontrak perniagaan berbanding entiti kelab atau persatuan yang ada di sekolah," katanya yang mengalu-alukan program-program seperti ini dapat dilaksanakan pada setiap tahun dalam usaha membantu kerajaan memupuk budaya keusahawanan kepada generasi muda.
Dato' Sri Ismail Sabri berkata, pembudayaan keusahawanan dalam koperasi sekolah bukan sahaja mendedahkan pelajar kepada dunia usahawan tetapi juga memberi peluang kepada mereka untuk menyerlahkan daya kepimpinan, inisiatif dan kreativiti masing-masing. Konsep berkoperasi yang sedia ada mempunyai unsur-unsur perpaduan, kepimpinan, pengurusan secara demokrasi dan kebebasan untuk menentukan hala tuju dan persekitaran yang kondusif dalam membentuk pelajar yang berdaya saing, kreatif dan inovatif.
Dalam ucapannya juga, beliau turut mengumumkan KPDNKK bersetuju untuk menambah sumbangan kewangan daripada RM 1,000 kepada RM2,000 berkuatkuasa pada tahun depan kepada semua koperasi sekolah dengan tujuan untuk membangunkan aktiviti-aktiviti koperasi sekolah. Katanya, beliau yakin dengan peruntukan yang diberikan itu, pihak sekolah akan dapat melaksanakan semua aktiviti yang dirancang sempena sepanjang sambutan HKS dengan cemerlang.
"Sehingga kini, terdapat sebanyak 2090 buah koperasi sekolah iaitu 96 peratus daripada jumlah 2181 buah sekolah di Malaysia) telah mempunyai koperasi. Koperasi sekolah ini juga merupakan 30 peratus daripada jumlah 7,000 buah koperasi di Malaysia dengan asetnya berjumlah RM264 juta dengan pusingan perniagaan atau turnover sebanyak RM141 juta. Koperasi sekolah berupaya mendapat keuntungan bersih sebanyak RM27 juta daripada modal syernya yang berjumlah RM18.8 juta yang dikumpul dari anggota-anggotanya seramai 2. juta orang iaitu 30 peratus daripada 6.6 juta jumlah anggota koperasi yang terdiri daripada pelajar, guru dan kakitangan sekolah," katanya.
Berdasarkan sokongan kerajaan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), sebanyak 109 buah koperasi sekolah menerima bantuan berjumlah RM2.07 juta sehingga bulan Oktober 2009 berbanding 108 buah koperasi menerima RM2 juta pada tahun sebelumnya, bertujuan membangunkan perniagaan koperasi dan kemudahan ini membolehkan koperasi sekolah berkembang dengan baik.
Diakhir ucapannya, belia menasihatkan kepada pelajar-pelajar supaya mengambil peluang menimba ilmu dalam bidang keusahawanan melalui koperasi selain memberi fokus utama kepada akademik di sekolah memandangkan peluang dalam perniagaan pada masa kini terbuka luas, ditambah pula pekerjaan di dalam sektor perkhidmatan awam terhad. Justeru itu katanya, keusahawanan merupakan suatu alternatif sebagai kerjaya kelak.
Majlis penyampaian anugerah-anugerah berkenaan turut menerima kehadiran Wakil Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia, Dato' Hj. Zulkifli Mohd. Wazir, Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Dato' Mangsor Saad, Pengarah Urusan Bank Rakyat, Dato' Kamaruzzaman Che Mat, Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Dato' Dr. Hj. Mohd. Ali Hj. Baharum, Timbalan Yang Dipertua ANGKASA, Dato' Abdul Fattah Haji Abdullah, Naib-Naib Yang Dipertua ANGKASA, Puan Hajah Armi Zainudin, Tn. Haji Mustapa Kamal Maulut dan Tn. Haji Mutadho Bahri.
Sebelum itu, Sambutan Majlis Penyampaian Anugerah Koperasi Sekolah Terbaik HKS/PKS 2009 turut mengadakan sesi lawatan ke tiga buah homestay yang terletak di Banghuris, Sepang, Agrotourism Homestay Sungai Sireh, Banting dan Kampung Sungai Lang Tengah, Tanjung Karang.
Manakala bagi Konvensyen Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah 2009 pula, sebanyak 14 buah sekolah mempamerkan aktiviti/projek keusahawanan masing-masing di hadapan panel juri bagi memilih tiga sekolah terbaik untuk dipertandingkan ke peringkat akhir. Tiga sekolah yang layak ke peringkat akhir ialah Koperasi Sekolah Menengah Mak Lagam Bhd., Kemaman (Penanaman Cendawan Tiram), Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan St, George Bhd., Pulau Pinang ("Artistic Book") dan Koperasi Sekolah Menengah Teknik (ERT) Azizah Bhd., Johor Bahru ("Azizah Mobile Beautician").
<< Kembali