PELANCAR ONLINE
Disember 2008

ARKIB PELANCAR


 

HKS Memupuk Keusahawanan

Koperasi Sekolah Menengah Teknik (SMT) Dato’ Lela Maharaja Berhad, Rembau, Negeri Sembilan mengungguli kejuaraan dengan memenangi Anugerah Koperasi Sekolah Enam Bintang sekaligus mengalahkan 14 buah lagi sekolah lain, sempena Hari Koperasi Sekolah (HKS) 2008.

Dengan kejuaraan itu, sekolah berkenaan berjaya merebut hadiah berupa lawatan pendidikan ke sebuah negara Asia bernilai RM3,000.00, selain pewter dan hadiah iringan.

Naib johan koperasi sekolah terbaik bertaraf lima bintang dimenangi oleh Koperasi SM Teknik Perdagangan Johor Bahru Berhad, Johor manakala Koperasi Kolej Tunku Khursiah Berhad, Seremban, Negeri Sembilan pula mendapat tempat ketiga iaitu masing-masing membawa pulang hadiah program lawatan pendidikan ke sebuah negara Asean, hadiah program lawatan pendidikan ke Sabah atau Sarawak serta pewter dan hadiah iringan.

Pemilihan Koperasi SM Teknik Dato’ Lela Maharaja Berhad, Rembau, Negeri Sembilan yang dinobatkan sebagai juara dinilai melalui keistimewaan mereka mengenengah dan memperkenalkan konsep perniagaan berasaskan pakej perniagaan penternakan dan pertanian yang digerakkan melalui Unit Tanaman dan Ternakan sekolah berkenaan.

Menurut Pengetua sekolah berkenaan, Tuan Marzuki Kemi, pakej yang diperkenalkan itu membuahkan hasil apabila mendapat sambutan orang ramai sekaligus membawa keuntungan kepada koperasi sekolahnya khususnya dalam penternakan ayam, itik dan ikan keli.

“Strategi yang kami gunakan ini sedikit sebanyak mampu mengenengahkan potensi diri para pelajar untuk melibatkan diri dalam bidang berasaskan pertanian dan penternakan di samping menarik minat pelajar melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.

“Selain itu, komitmen semua pihak serta kerjasama mereka juga turut mendorong kepada kejayaan sekolah ini sehingga dinobatkan sebagai juara koperasi sekolah bertaraf enam bintang,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Dalam majlis itu juga, sebanyak 12 buah sekolah terbaik diumumkan turut menerima anugerah lima bintang iaitu sempena HKS 2008 iaitu :

  • Koperasi SMK Sanzac Berhad, Sabah
  • Koperasi SMK Seri Jengka Berhad, Pahang
  • Koperasi SMK Maran 2 Berhad, Pahang
  • Koperasi SMK Padang Tengku Berhad, Pahang
  • Koperasi SMK Munshi Abdullah Berhad, Melaka
  • Koperasi SMK Labuan Berhad, Sabah
  • Koperasi SMK Simpang Beluru Berhad, Perak
  • Koperasi SMK Putri Saadong Berhad, Kelantan
  • Koperasi SM Agama Al Falah Berhad, Kemaman, Terengganu
  • Koperasi SMJK Tinggi Cina Melaka Berhad, Melaka
  • Koperasi SMK Raja Mahdi Berhad, Klang, Selangor
  • Koperasi SMK Meradong Berhad, Sarawak

Menurut Timbalan Pengarah Pengurusan Murid (Bahagian Pengurusan Sekolah Harian), Kementerian Pelajaran Malaysia, Encik Ibrahim Ahmad yang mewakili Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, HKS berupaya menjadi wadah terbaik di dalam menyemai dan membudayakan cara berkoperasi selain memupuk nilai keusahawanan di kalangan pelajar sekolah.

Sambutan hari bersejarah itu bukan sahaja bermanfaat kepada golongan pelajar, malah ia juga dapat melatih dan membimbing generasi muda ini menjadi pewaris kepimpinan pada masa akan datang.

Menurut beliau, melalui aktiviti koperasi yang dianjurkan, para pelajar boleh diberi bimbingan, panduan dan nasihat dalam bidang keusahawanan selain mendapat pendedahan dan pengalaman perniagaan.

“Wadah terbaik ini dapat ditonjolkan melalui pembelajaran keusahawanan mengenai cara melakukan promosi, melayan pelanggan, menyedia dan mengawal selia buku simpanan kira-kira dan sebagainya. Dengan latihan itu, pelajar berkenaan mendapat pendedahan secara terbuka terutama dalam bidang perniagaan sekaligus boleh membuka peluang kepada mereka menjadikan bidang keusahawanan sebagai bidang kerjaya masa depan,” katanya ketika merasmikan Majlis Perjumpaan Sekolah Terbaik HKS 2008 di Auditorium Wisma Ungku A. Aziz pada 1 November lalu.

Beliau berkata, tema sambutan HKS 2008 iaitu “Koperasi Sekolah Memupuk Keusahawanan” adalah bertepatan dengan usaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi memberi pendedahan kepada pelajar yang juga merupakan anggota koperasi untuk melibatkan diri dalam perniagaan secara berpasukan.

Sementara itu, Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Diraja Ungku A. Aziz menyeru semua pelajar supaya meningkatkan ilmu pengetahuan selain menjadikan kebolehan dan pengalaman berkoperasi digunakan sebaik-baiknya bagi memperkukuhkan kerjaya demi masa depan.

Menurutnya lagi, pelajar perlu menjadikan sikap dan minda seiring dengan peredaran zaman serta menitikberatkan konsep “bekerja bersama-sama demi manfaat bersama” dalam menggerakkan koperasi dan bukan hanya mementingkan keuntungan semata-mata sebagaimana dunia korporat dan swasta.

“Keusahawanan adalah suatu ilmu dan ia juga bertindak sebagai pengalaman terbaik kepada pelajar, justeru pelajar perlu menggunakan peluang berkoperasi dengan sebaik-baiknya bagi mengukuhkan potensi diri,” katanya.

Dalam ucapan berasingan, Naib Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Madya Datuk Haji Mohamad Ali Haji Hasan berkata, penyertaan koperasi sekolah dalam HKS 2008 amat membanggakan apabila ia menyaksi sebanyak 1,463 buah koperasi sekolah berbanding tahun sebelumnya iaitu 1,064 buah dan 1,007 buah pada 2006.

“Peningkatan jumlah berkenaan serta pembabitan menyeluruh ini jelas menunjukkan petanda positif dan perkembangan sihat melalui pelbagai input tambahan aktiviti yang dijalankan sepanjang sambutan HKS berlangsung di peringkat sekolah.

“Selain itu, koperasi sekolah perlu menjalinkan hubungan melalui jaringan (networking) di antara koperasi-koperasi lain bagi memudahkan koperasi sekolah bergerak aktif dalam memberi sumbangan kepada anggota dan masyarakat,” katanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pengarah Bahagian Promosi dan Pengembangan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Puan Zuraidah Hasni serta Naib Yang Dipertua ANGKASA, Hajah Armi Haji Zainudin.

<< Kembali

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

HKS Memupuk Keusahawanan