ANGKASA Pantau Koperasi
KERJASAMA antara koperasi-koperasi di Malaysia perlu dipertingkatkan agar setaraf dengan pembangunan koperasi antarabangsa. Justeru, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) diberi tanggungjawab sepenuhnya sebagai badan pemantau bagi menentukan tindakan bagi kemajuan koperasi-koperasi ahli ANGKASA.
Ini ditegaskan Menteri Pembangu-nan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu perbincangan antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) dengan Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Diraja Ungku A. Aziz pada 4 Oktober lalu. Turut hadir, Ahli-Ahli Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan ANGKASA.
Menurut beliau, koperasi memainkan peranan penting dalam menjamin ekonomi dan keharmonian sosial masyarakat setempat. Dengan berkoperasi penyertaan golongan bumiputera dalam peniagaan dapat diperluas dengan punca pendapatan yang pelbagai.
Penglibatan serius golongan bumiputera dalam berkoperasi juga mampu melahirkan lebih ramai usahawan profesional yang mampu bersaing di peringkat global.
Bagi memenuhi hasrat koperasi menguasai pembangunan negara, ANGKASA telah mempelbagaikan langkah pembaharuan yang perlu diterap dalam pengurusan koperasi. Ini termasuk merancang secara strategik perniagaan yang boleh diguna-pakai secara bersama dan mengadakan lebih banyak seminar keusahawanan bagi menggalakkan penglibatan ahli-ahli koperasi berkerjasama memajukan perniagaan kope-rasi sedia ada.
Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin juga berharap kerjasama antara koperasi dapat dikekalkan agar koperasi mampu menguasai setiap rantaian nilai perniagaan pada masa akan datang. Beliau yakin dengan jalinan kerjasama itu, koperasi dapat diperluaskan dan menjadi instrumen dalam membasmi kemiskinan.
Oleh yang demikian, koperasi dipertanggungjawab memikirkan cara untuk menggalakkan penglibatan penduduk desa yang terdiri daripada golongan nelayan, pekebun dan penternak kecil untuk berkoperasi. Usaha ini bukan sahaja meningkatkan jumlah keanggotaan koperasi, malah mengurangkan pergantungan penduduk desa menggunakan perkhidmatan orang tengah dalam aktiviti pemasaran.
Kementerian berharap, kerjasama ANGKASA memantau perkembangan dan kemajuan koperasi-koperasi, mampu memajukan pembangunan koperasi negara. Untuk itu, koperasi-koperasi di bawah ANGKASA disaran bekerjasama merebut peluang-peluang yang terbuka dalam pembangunan ekonomi yang terdapat di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).
Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pembangunan koridor-koridor tersebut dapat mengetengahkan peranan koperasi dalam memajukan pembangunan ekonomi negara. Ini secara tidak langsung membuka peluang kepada pengusaha-pengusaha luar mengenali corak perniagaan yang diusahakan koperasi untuk kerjasama dalam perniagaan akan datang. Kerjasama antara koperasi yang teguh dalam rantai ekonomi tempatan dan antarabangsa, mampu meningkatkan kejayaan koperasi setanding dengan kejayaan koperasi-koperasi maju di seluruh negara.
- SYARIFAH HANIM SYED YAHYA KAMAL
<< Kembali