PELANCAR ONLINE
April 2010

ARKIB PELANCAR


 

Amanah Dalam Menguruskan Wang
Oleh: Saiful Affendy Sapran
sapran@gmail.com

Memegang satu-satu amanah terutamanya dalam soal pengurusan kewangan bukanlah satu tugas yang mudah. Apatah lagi dengan cabaran yang hebat dalam kehidupan seharian, sesuatu amanah itu perlu sentiasa dipikul dengan sebaik-baiknya tidak kira oleh individu atau organisasi dengan penuh rasa bertanggungjawab.

Demikian kata-kata nasihat Menteri Kewangan II, Dato’ Seri Haji Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah ketika merasmikan Seminar Celik Wang Sektor Koperasi anjuran bersama ANGKASA serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang berlangsung pada 5 Mac lalu di Auditorium ANGKASA.

Bagi beliau, soal pengurusan kewangan dalam sesebuah organisasi perlu diberikan perhatian dengan lebih mendalam agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan mahu pun kerugian sehingga menyebabkan kepercayaan mereka yang berada di luar organisasi mula terhakis. Malah ujarnya, beliau sendiri yang berjawatan menteri tidak terkecuali daripada memikul tanggungjawab berkenaan.

“Sebagai Menteri Kewangan II, saya diamanahkan oleh Allah S.W.T untuk memegang kunci Per-bendaharaan Negara. Amanah ini amatlah berat. Begitu juga amanah-amanah yang telah diberikan kepada pemimpin koperasi. Amanah yang ditanggung termasuklah tanggungjawab kita untuk menguruskan hal kewangan dan hal ehwal pelaburan dengan lebih efisyen dan bersistematik supaya tidak berlaku sebarang bentuk kehilangan mahu pun kerugian.

“Peganglah amanah ini demi masa depan negara, rakyat serta masa depan cucu kita. Dengan amanat ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah pada pihak ANGKASA kerana telah mulakan langkah bagi menganjurkan seminar seperti ini. Saya berharap pihak ANGKASA dapat menganjurkan dan memperluaskan lagi seminar ini ke peringkat sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi supaya para pelajar di seluruh negara dapat manfaat iaitu ilmu koperasi dan ilmu menguruskan kewangan,” katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Dato’ Dr. Haji Mohd. Ali. Haji Baharum; Pengerusi AKPK, Dato’ Mohd. Hanif Sher Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Mohamed Akwal Sultan; Timbalan Yang Dipertua ANGKASA, Dato’ Haji Abdul Fattah Haji Abdullah; barisan Jawatankuasa Tadbir (JKT) serta pengurusan kanan ANGKASA.

Dalam ucapannya, beliau turut mengucapkan tahniah kepada ANGKASA kerana telah berjaya mendokong objektif dan matlamat koperasi sejak ia ditubuhkan. Ia termasuklah langkah ANGKASA untuk melakukan transformasi mencapai hala tuju baru seperti yang dihasratkan oleh perwakilan pada Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa ke-26 pada Disember tahun lalu.

“Saya fikir transformasi yang dicadangkan ini bukanlah secara kebetulan. Kita tahu akan hasrat Perdana Menteri, Y.AB. Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menaik taraf status ekonomi kita kepada sebuah negara berpendapatan tinggi. Tugas ini bukan mudah dan ia memerlukan rombakan dalam hampir semua sektor ekonomi. Perubahan-perubahan yang sedang dilaksanakan ini akan membawa impak kepada kehidupan seharian kita,” katanya.

Justeru itu, beliau berharap semua koperasi di negara ini memperkasakan diri untuk mendepani cabaran yang akan datang. Matlamat pergerakan koperasi untuk menyum-bang sekurang-kurangnya empat peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2012 adalah amat memberangsangkan. Sehubungan itu katanya, Seminar Celik Wang Sektor Koperasi yang dianjurkan ini merupakan langkah-langkah positif di dalam perjuangan untuk mencapai matlamat yang dimaksudkan.

Terdahulu, Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Dato’ Dr. Haji Mohd. Ali Haji Baharum dalam ucapan alu-aluannya berkata, program berkenaan akan memberi faedah kepada anggota koperasi tentang cara untuk mendidik mereka dalam mengurus kewangan dan merancang perbelanjaan seharian.

“Saya berharap seminar yang telah dianjurkan ini akan dapat membuka minda semua pihak tentang cara untuk mendisiplinkan diri dalam mengurus, mentadbir kewangan individu serta koperasi yang dipimpin,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Mohamed Akwal Sultan yang turut berucap pada majlis itu berkata, AKPK merupakan sebuah agensi yang berperanan untuk meningkatkan kefahaman tentang cara-cara menguruskan kewangan individu secara berhemah.

Di dalam konteks koperasi ujarnya, AKPK akan membantu anggota-anggota koperasi untuk mempelajari cara mengurus wang dengan bijak dengan berbelanja mengikut kemam-puan masing-masing.

Pada majlis itu, Dato’ Seri Haji Ahmad Husni turut menyaksikan Pertukaran Surat Kerjasama (MoU) antara ANGKASA dengan AKPK serta menyempurnakan acara penyerahan Modul Program Pengu-rusan Kewangan Secara Berhemah kepada semua Pengerusi Jawatan-kuasa Perhubungan ANGKASA Negeri.

Seminar

Selepas majlis perasmian, satu sesi ceramah bertajuk Seminar Celik Wang Sektor Koperasi telah berlangsung. Ia telah disampaikan oleh Pengurus Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi, Puan Nor Akmar Yaakub. Pada sesi awal ceramahnya beliau telah menerangkan secara terperinci tentang AKPK.

Antara yang ditekankan ialah tentang syarat-syarat bagi mereka yang layak untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada AKPK. Antaranya seseorang individu itu mestilah bukan berstatus muflis, tidak pernah dikenakan sebarang tindakan undang-undang dan jumlah pinjaman yang telah dipinjam dari-pada pelbagai insti-tusi kewangan mesti-lah tidak melebihi RM2 juta.

Beliau kemudian menerangkan tentang kaedah menyimpan wang dengan ber-hemah. Puan Nor Akmar menegaskan tentang pentingnya setiap individu mem-punyai simpanan bagi tujuan kece-masan. Katanya, bagi mereka yang baru memulakan karier, mereka perlu membuat simpanan setelah menerima gaji untuk beberapa bulan awal.

Jelas Puan Nor Akmar, setiap individu digalakkan mem-buat simpanan di dalam simpanan tetap. Beliau juga tidak menggalakkan untuk setiap individu itu mempunyai kad ATM kerana ia hanya akan menyebabkan seseorang individu itu lebih mudah untuk mengeluarkan wang dari bank dan seterusnya menyebabkan usaha untuk menyimpan wang pasti menemui kegagalan.

Puan Nor Akmar kemudian menyentuh tentang penggunaan kad kredit. Jelas beliau, setiap individu digalakkan untuk memiliki maksimum hanya dua kad kredit sahaja. Bagi cara penggunaannya pula katanya, para pemegang kad kredit perlu menggunakannya hanya untuk tujuan tertentu sahaja.

Beliau turut menasihatkan kepada para pemegang kad kredit untuk membayar jumlah hutang kad kredit mengikut tempoh yang telah ditetapkan dan membayar semua jumlah hutang yang telah digunakan tanpa meninggalkan baki hutang yang banyak.

<< Kembali

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

Amanah Dalam Menguruskan Wang