PELANCAR ONLINE
April 2008

ARKIB PELANCAR


 

Wanita Dan Gaya Hidup Sihat
Oleh : Dr. Wan Ali Tuanku Madhi
Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri Sarawak

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu mentakrif kesihatan sebagai suatu keadaan kesejahteraan fizikal, mental dan sosial serta bukan semata-mata ketiadaan penyakit. (A state of complete physical mental and social well-being and not a more abscence of disease). Justeru, Gaya Hidup Sihat adalah sikap dan amalan yang menjurus kepada kesejahteraan ketiga-tiga aspek tersebut. Kehidupan semacam ini sangat penting dalam rangka usaha pencegahan pelbagai masalah kesihatan dan gejala sosial. Kita semua sedar bahawa pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan (prevention is better than cure). Oleh yang demikan, Gaya Hidup Sihat perlu dipromosi serta disebar luas di kalangan masyarakat demi kemakmuran keamanan dan kesejahteraan negara.

Gaya Hidup Sihat (Healthy Lifestyle) boleh dicapai dengan menghayati sikap dan amalan seperti menjaga kebersihan diri, keluarga, rumah dan persekitaran, mengamalkan sikap ambil berat tentang kesihatan dan keselamatan diri serta keluarga. Menjaga berat badan supaya sepadan dengan ketinggian diri supaya mencapai BMI (Body Mass Index) 18 hingga 25 sahaja, senaman, tidak merokok dan kurangkan pengambilan gula dan garam. Pemakanan sihat perlu dengan melebihkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran, kurang atau elakkan pengambilan alkohol, elakkan penyalahgunaan dadah, elakkan hubungan jenis rambang, berhati-hati di jalan raya, hutan belantara, sungai dan lautan, jangan cemarkan alam sekitar, pentingkan pelalian/imunisasi, amalkan penyusuan ibu (Breast Fedding) dan saringan berjadual (Screening Examination).

Kesemua perkara ini jika dilaksanakan dengan betul dan bersungguh-sungguh akan memberi kesan yang sangat baik dan optima kepada kesihatan diri, keluarga dan masyarakat. Kesan positif daripada gaya hidup sihat melalui sikap dan amalan kebersihan diri, keluarga, rumah dan persekitaran sangat penting dalam pencegahan pelbagai penyakit seperti penyakit kulit dan jangkitan kuman bakteria, virus, kulat dan parasit yang menyebabkan kudis, kurap, kutu, cacing, cirit-birit, demam kepialu, denggi dan banyak lagi.

Sikap ambil berat merupakan sikap terpuji dan proaktif. Banyak penyakit termasuk barah dapat disembuh jika dikesan dengan awal. Sikap berlawanan seperti ‘tunggu dan lihat’ membahayakan kesihatan dan keselamatan diri dan keluarga.

Menjaga berat badan BMI (18 – 25) di mana Body Mass Index dihitung seperti ini :

Statistik terkini menunjukkan 25 peratus penduduk Malaysia di bawah kategori obesity. Obesity adalah faktor pemangkin pelbagai penyakit metabolik seperti kencing manis, penyakit kardiovaskular dan pelbagai barah atau kanser seperti kanser payu dara dan kolorektal (usus besar).

Senaman meningkatkan perjalanan darah (blood circulation). Ini penting supaya semua sel dan tisu badan mendapat bekalan oksigen dan nutrien untuk kesihatan optima. Senaman memelihara kesihatan keseluruhan kerana ianya faktor positif dalam pencegahan pelbagai penyakit terutama penyakit jantung, kerana keupayaannya meningkat paras kolesterol baik (HDL – cholesterol – high density lipoprotein cholesterol). Low density lipoprotein cholesterol – LDL adalah kolesterol jahat kerana boleh menyumbat pembuluh darah. Senaman boleh menguatkan otot dan tulang.

Brisk walking 20 minit tiga kali seminggu dan menaiki anak tangga bangunan bertingkat secara berperingkat adalah memadai bagi orang yang kurang bersenam dan terlalu sibuk untuk berbuat demikian.

Jangan merokok kerana asap rokok mengandungi lebih 4,000 bahan kimia selain daripada nikotin dan tar. Bahan-bahan ini kebanyakannya carcinogenic – pemangkin barah paru-paru, payu dara, kolorektal dan banyak lagi. Rokok adalah antara faktor utama penyebab pelbagai penyakit seperti sakit jantung, paru-paru dan burgers disease. Merokok adalah langkah pertama ke arah penyalahgunaan dadah.

Kurangkan garam dan gula. Terlebih garam boleh mengakibatkan penyakit tekanan darah tinggi (hypertension), manakala terlebih gula mengakibat penyakit kencing manis (diabetis mellitus). Kedua-dua penyakit ini membawa banyak komplikasi kesihatan seperti angin akhmar (stroke), serangan sakit jantung (heart attack) dan kerosakan serta kegagalan fungsi buah pinggang (end stage renal failure) yang memerlukan dialisis.

Kurangkan/elakkan pengambilan alkohol kerana alkohol dalam paras tertentu boleh merosakkan sistem saraf dan hati. Kerosakan hati terdiri daripada fatty liver dan cirrhosis dan seterusnya menjadi barah.

Elakkan penyalahgunaan dadah. Terdapat pelbagai jenis dadah. Rata-rata kesannya ialah ketagihan serta mengkhayalkan dan seterusnya mengurangkan produktiviti dan menimbulkan gejala sosial. Ada juga jenis yang boleh membawa maut. Komplikasi seperti hepatitis dan AIDS sering berlaku bagi mereka yang menggunakan dadah suntikan.

Elakkan hubungan jenis rambang kerana ia menimbulkan gejala penyakit kelamin seperti gonorrhoea, syphilis dan jangkitan kuman AIDS. Ia juga melibat dan merosakkan generasi sekarang dan zuriat akan datang termasuk mereka yang tidak berdosa!!!

Berhati-hati di jalan raya. Kadar kemalangan jalan raya di Malaysia agak tinggi dibandingkan dengan negara-negara membangun yang lain. Jangan lupa memakai tali pinggang dan topi keledar dan amalkan sikap pemanduan yang betul. Berhati-hati di hutan belantara boleh mengelakkan risiko dibaham harimau dan dipatuk ular dan lain-lain selain risiko sesat jalan. Berhati-hati di sungai bagi mengelakkan risiko buaya dan lemas jika arus deras dan berhati-hati di lautan supaya tidak mengalami risiko lemas, dibaham jerung dan dipatuk ular berbisa.

Jangan cemarkan alam sekitar kerana sumber-sumber dari alam sekitar sangat diperlukan. Manusia memerlukan air bersih, bekalan oksigen dan makanan dari alam sekitar. Jika dicemar bekalan kita terganggu dan berkurangan. Alam sekeliling tercemar juga mengundang penyakit seperti denggi, taun dan keracunan.

Pentingkan pelalian/imunisasi ini penting untuk mengelak pelbagai jenis penyakit seperti tuberculosis, polio, diptheria, whooping, cough, measles, mumps, rubella, haemophilis influenza, hepatitis B dan lain-lain.

Penyusuan ibu (breast feeding) paling sesuai untuk anak-anak. Mengandungi nutrien penting bagi pembangunan dan perkembangan menyeluruh kanak-kanak. Susu ibu mengandungi antibodi dan transfer factors untuk menguatkan daya tahan anak-anak.

Saringan makmal (screening) penting dalam usaha pencegahan. Pemeriksaan darah, najis air kencing pula penting dalam usaha mengesan penyakit dari peringkat awal. Pemeriksaan radiology, saringan-saringan yang sering dilakukan di klinik-klinik kerajaan termasuklah mammogram untuk kanser payudara, pap smear untuk kanser pangkal rahim (cervix) dan saringan darah dan najis di makmal untuk mengesan pelbagai penyakit.

Dengan kefahaman, kesedaran dan keazaman tinggi daya hidup sihat dapat dibudayakan dalam masyarakat. Struktur penyampaian perkhidmatan kesihatan di negara kita adalah baik dan mencukupi. Gerakan koperasi, khususnya koperator-koperator wanita boleh memainkan peranan penting dalam usaha-usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam keluarga khususnya. Hasil kebaikannya sangat besar dan tidak ternilai dan saya yakin gerakan koperasi mampu membuat perubahan.

<< Kembali

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop

Wanita Dan Gaya Hidup Sihat