Pembangunan Usahawan Melalui Pendidikan
Koperasi
YANG Dipertua ANGKASA,
Prof. Diraja Ungku A. Aziz, berkata, ANGKASA akan melaksanakan
pembangunan usahawan melalui program-program pendidikan
koperasi.
“Rancangan perlaksanaan
perniagaan tanpa ilmu pengetahuan dan pengalaman akan
mendedahkan anggota koperasi kepada pengaruh segala
tindak-tanduk Mat Jenin, Pak Man Telo dan angan-angan
belaka, emosi tanpa fikiran dan membuka jalan kepada
CBT (Jenayah Penipuan).
Yang Dipertua membuat kenyataan tersebut semasa membentangkan
Laporan Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan ANGKASA dari
1 Julai 2003 hingga 30 Jun 2004 di Persidangan Kebangsaan
Tahunan ANGKASA ke-21 pada 27 November 2004 di Dewan
Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Persidangan tersebut dihadiri
oleh 902 perwakilan daripada 506 koperasi dari seluruh
negara. Persidangan dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi,
Haji Wan Ahmad Nasir Haji Wan Hassan dengan dibantu
oleh Naib Pengerusi, Encik Mohd. Said Mohd. Kadis.
Memulakan ucapannya dengan
meminta para perwakilan “menyimpan dalam minda,
hati sanubari, tiga nilai murni: Sadik, Amanah dan Telus”,
beliau melaporkan Pengurus Umum dibantu oleh 388 kakitangan
(pada November 2004) iaitu 174 kakitangan Biro Perkhidmatan
ANGKASA (BPA); 64 kakitangan Bahagian Urusetia; 119
kakitangan Bahagian Pendidikan, Penerangan, Penerbitan
dan Perkhidmatan (B4P); dan 31 kakitangan Bahagian Kewangan.
Jumlah ahli ANGKASA (sehingga
Mesyuarat JKT Bil. 5/2004 pada 22 November 2004) sebanyak
3020 buah koperasi, manakala jumlah anggota koperasi
sebanyak 4.5 juta.
ANGKASA mengendalikan
jumlah potongan gaji sebanyak RM3.25 bilion dan memperoleh
jumlah potongan sebanyak RM24.5 juta, hasil daripada
kos perkhidmatan 0.6 hingga satu peratus.
Pendapatan ANGKASA, jelas
Yang Dipertua seterusnya, adalah sebanyak RM32.66 juta
dan perbelanjaan RM32.27 juta. ANGKASA membelanjakan
RM9.8 juta untuk program pendidikan dan pembangunan.
Para perwakilan juga dimaklumkan
ANGKASA telah memberi Kursus Wajib Siri 1 kepada 10
160 orang; Kursus Wajib Siri 2 kepada 2599 orang dan
peserta Kursus Keterampilan Bertutur (wanita) kepada
5891 orang.
Sehingga 30 Jun 2004, ANGKASA mempunyai aset tetap ke
atas empat bangunannya bernilai RM28 juta, aset cair
dalam ASA sebanyak RM1 juta, BSKL sebanyak RM2.6 juta
dan pertaruhan tetap sebanyak RM12.9 juta. Sebanyak
RM2.3 juta adalah aset tetap lain.
Yang Dipertua seterusnya
berkata, di masa akan datang ANGKASA akan memberi perhatian
kepada dua perkara berikut:
I. Menyempurnakan penyelenggaraan
susunan semula BPA, B4P,
Kewangan dan Urusetia ke arah sistem yang lebih berintegrasi,
terselamat dan pengurangan kerja manual supaya produktiviti
meningkat, lebih efisien serta kurang kos pentadbiran
untuk pencapaian ISO: 9001:2000
II. Pendekatan pelajaran yang lebih
luas dan berkesan:
-
Kursus Wajib Siri
1 diserapkan ke seluruh ALK koperasi;
-
Melalui Kursus Wajib
Siri 2 kepada semua bakal JAD;
-
Melalui Kursus ANGKASA
Siri 3 untuk semua ALK sekolah;
-
Melalui Kursus Keterampilan
Bertutur untuk koperator wanita;
-
Menggalakkan
seluruh anggota belajar pelbagai ilmu,
mendapat
pengalaman dan kemahiran supaya mereka
boleh memainkan peranan yang lebih berkesan
dalam sektor ketiga; dan
-
Melalui
IT dengan memberi kursus SEKKOP, SOLA
dan IT umum,
membangunkan kedai koperasi sekolah, projek
pelancongan koperasi sekolah, pusat maklumat
produk, rancangan PJJ yang lebih luas
serta PEKA.
Ringkasnya, jelas Yang
Dipertua, ANGKASA akan melakukan konsolidasi susunan
semula dan pengurangan lapisan tanggungjawab agar tujuan
asasi akan lebih berfokus. Ianya juga akan menjadikan
perlaksanaan kegiatan koperasi dewasa akan lebih terserap
dan berjaya mencapai “manfaat koperasi”
(co-operative advantage) iaitu manfaat koperasi yang
boleh didapati dengan kewujudan koperasi yang berkesan.
Yang Dipertua turut memberi
penjelasan ringkas tentang hala tuju dan kaedah perlaksanaan
dasar pembangunan ANGKASA yang melibatkan bukan sahaja
pembangunan koperasi tetapi juga pembangunan usahawan.
Bagi menghuraikan isu tersebut, Yang Dipertua meminta
perwakilan memikirkan dua pendekatan.
Pertama, kegiatan yang melibatkan
rancangan, tindakan serta pemantauan sumber kewangan dan
tenaga demi kegiatan pelajaran dengan makna pelajaran
seluas-luasnya. Pelajaran adalah pemangkin mutlak bagi
kemajuan gerakan koperasi.
Kedua, kegiatan yang boleh
meluas, mendalam dan mempelbagaikan bidang keusahawanan
(termasuk perniagaan, perdagangan, perindustrian besar
dan kecil).
Kedua-dua kegiatan itu,
tegas Yang Dipertua, akhirnya saling berkait dan saling
bertimbun-timbun (interacting and cumulatative). Rancangan
pelajaran tanpa perlaksanaan program nyata hanya akan
tertinggal sebagai teori/abstrak dengan makna khayal sebenar.
Ia menjadi hujah kosong.
Begitu juga rancangan perlaksanaan
perniagaan tanpa ilmu pengetahuan dan pengalaman akan
mendedahkan anggota koperasi kepada pengaruh segala tindak-tanduk
Mat Jenin, Pak Man Telo dan angan-angan belaka, emosi
tanpa fikiran dan membuka jalan kepada CBT (Jenayah Penipuan).
Beliau mengingatkan perwakilan supaya tidak terpengaruh
oleh pemimpin basi yang mudah menganjurkan peluang mencapai
dividen dan bonus tanpa banyak kerja atau banyak risiko.
Maka dari segi nasihat positif, beliau menganjurkan dua
tahap langkah asasi yang penting.
Pertama, menyediakan sumber
ilmu dari mula. Ini mencakupi modal akal dan modal wang
serta pengalaman yang akan membangun dan memajukan gerakan
koperasi ke tahap yang lebih tinggi.
Kedua, menentukan pilihan
kaedah merealisasikan atau memastikan rancangan melalui
koperasi atau perseorangan atau perkongsian atau pengeraman
(incubator) atau syarikat awam, dan sebagainya.
Beliau meminta perwakilan
supaya memilih kaedah bagi mendapat manfaat koperasi (co-operative
advantage) yang berdasarkan “Bekerja Bersama-sama
Demi Manfaat Bersama”.
Tegasnya, semua anggota
koperasi yang berminat menambah peluang dan pendapatan
boleh mencapai manfaat koperasi itu, jikalau mereka betul-betul
berusaha bersama-sama dengan tujuan mendapat manfaat bersama.
Yang Dipertua memberi contoh
bagaimana penubuhan koperasi teksi atau KOTAXI (lihat
muka surat tujuh, PELANCAR September 2004), boleh mendapat
manfaat bersama kepada anggotanya melalui kemudahan yang
disediakan oleh KOTAXI iaitu:
- Pembelian barang-barang seperti tayar,
minyak petrol, pelincir, barang ganti kereta (aksesori).
- Tidak payah ANGKASA atau Koperasi KOTAXI
meng-
adakan kemudahan kedai borong. Hanya maklumat tentang
harga barang paling murah dengan mutu tertentu sahaja
yang perlu. KOTAXI boleh menikmati manfaat koperasi
daripada persaingan swasta.
- Penyediaan kemudahan Radio Taxi.
- Penyediaan servis kereta, tunda kereta
rosak dan sebagainya
- Latihan dan kursus, kesihatan pemandu
teksi dan
santai (leisure).
- Bantuan pinjaman (Kementerian, Bank
Rakyat atau tabung dan sebagainya)
Sumber bantuan
katanya, boleh didedahkan kepada semua orang
yang ada minat dengan kegiatan pembangunan usahawan
atau perniagaan dengan menghayati, “Jalan
koperasi (the co-operative way) dan bukan jalan
yang lain. (Ini tidak menganggap hanya kaedah
koperasi sahaja yang halal atau koperasi sahaja
yang baik).”
Sehubungan itu,
Yang Dipertua meminta anggota koperasi memahami
dengan jelas dan nyata segala manfaat yang disediakan
oleh ANGKASA untuk anggotanya melalui rancangan
pelajaran yang disediakan oleh B4P.
“Perlu difahami,
sungguhpun ANGKASA tiada menyedia-kan bantuan
kewangan secara langsung seperti geran, pinjaman
dengan kadar kos sederhana, ANGKASA dan agensi-agensi
kerajaan termasuk BNM, BSN, MITI dan sebagainya
boleh dihubungi untuk mendapat nasihat juga
dari Kementerian-Kementerian Pembangunan Usahawan,
PLB, Pertanian dan sebagainya.”
Beliau seterusnya
mengingatkan perwakilan supaya tidak lupa tentang
berita-berita tentang kejayaan koperasi yang
boleh dijadikan contoh. Melalui kajiannya terdapat
49 buah koperasi dalam pelbagai bidang yang
berjaya mendapat dividen dan bonus berjumlah
RM261 Juta di samping ada beratus lain yang
menerima dividen beratus ribu.
Ini termasuk :
- Bidang pertanian (FELDA, LKPP, Perhutanan).
- Perumahan.
- Profesional (Jurukur, doktor, UDC).
- Koperasi (MAS, USOM, KKUM, UNISEM,
MIDA).
- Pengguna: Pasar Minggu, Pembangunan
Belia,
Koperasi Baling.
- Koperasi Kakitangan Kerajaan JPJ Kedah,
Tentera,
Polis, Perkhidmatan Awam termasuk Koperasi Guru-Guru
Melayu, Agama dan sebagainya.
“ Perkara kedua yang
perlu disimpan di dalam ingatan dengan sangat jelas ialah
anggota koperasi yang menghayati bidang keusahawanan atau
perniagaan perlu boleh tentukan siapakah yang akan dipilih
sebagai sasaran pem-bangunan usahawan itu.”
Jelas Yang Dipertua, tidak
semua anggota koperasi boleh menjadi usahawan. Kakitangan
kerajaan misalnya terhad dengan tanggung-jawab dan disiplin
awam bagi mengelakkan berlaku percanggahan kepentingan
(conflict of interest).
Beliau tidak menafikan masih
terdapat beratus ribu anggota (swasta) koperasi lain yang
boleh menambah pendapatan mereka melalui kegiatan pertanian,
kontraktor, peniaga, runcit dan borong, pengguna, pem-bekal
produk dan sebagainya.
Katanya, saranan cucu-cicit
Mat Jenin untuk mencari kekayaan segera, mendapat dividen
tanpa syarat adalah dakyah dan bohong.
Yang Dipertua berkata, 3000 koperasi yang mahu membuat
pelaburan ‘tikam nasib’ dengan wang anggota
koperasi masing-masing bebas berbuat demikian mengikut
undang-undang kecil mereka.
Namun, sejarah telah membuktikan
beribu wang ahli DTC, CUM mahupun Bank Rakyat yang telah
dimusnahkan melalui spekulasi dan penipuan yang telah
hanguskan berpuluh ribu wang anggota koperasi. Ini harus
dirakam-kan dengan huruf besar di dalam sejarah koperasi
di Malaysia.
Beliau dengan keras menolak
apa-apa langkah cucu-cicit Mat Jenin dan rakan untuk cuba
bermain dengan harta ANGKASA dan meminta per-wakilan yang
hadir supaya menyimpan di dalam minda nasihat beliau tentang
paradigma tentang formula ‘K’ iaitu nilaikan
ilmu lebih daripada himpunan kekayaan negara.
Yang Dipertua mengakhiri
pembentangan beliau dengan kata-kata, “Sungguhpun
ilmu dan keterampilan keusahawanan sama penting, dari
segi sejarah ANGKASA kita harus faham yang mana datang
dulu dan yang mana daatang kemudian.
|