Minda Pengarang :
Keusahawan Memangkin
Kejayaan Koperasi
UNTUK meningkatkan taraf sosioekonomi
rakyat jelata, kerajaan Malaysia memberi fokus kepada dua bidang
penting iaitu pembangunan usahawan dan pembangunan koperasi. Gandingan
dua bidang ini di bawah satu kementerian adalah tepat dan kena
pada masanya. Sebenarnya jika kita berfikir sejenak, antara usahawan dan koperator
ada synergy, saling memerlu dan menguatkan antara satu dengan yang
lain asalkan wujud di antara mereka nilai-nilai murni seperti sadik,
amanah dan telus.
Contohnya, penubuhan sesebuah koperasi selalunya didorong oleh
hasrat, keinginan dan harapan menjulang di kalangan anggota penaja
untuk memperoleh rezeki yang lebih dan keistimewaan tertentu secara
kolektif melalui kaedah serta prinsip asas berkoperasi iaitu bekerja
bersama-sama untuk manfaat bersama.
Hasrat tersebut tidak mungkin menjadi kenyataan hanya dengan mengumpul
dana semata-mata tanpa ilmu pengetahuan dan perancangan untuk menambah
nilai dana yang terkumpul tadi. Maka di sinilah letaknya betapa
penting dan perlunya ada ciri-ciri keusahawanan di kalangan Anggota
Lembaga Koperasi (ALK) yang diberi amanah oleh anggota-anggota
untuk memajukan koperasi tersebut.
Ciri-ciri keusahawanan yang perlu adalah seperti berikut :
-
Rajin menimba ilmu pengetahuan yang berfaedah
dan relevan untuk mencapai matlamat tertentu.
-
Sentiasa berfikir dan rajin mengintai peluang
dari kerajaan dan swasta.
-
Berani mengambil risiko atas keyakinan tentang
viability atau kesesuaian peluang-peluang yang diperolehi.
-
Bijak dan pandai menukar ’peluang kepada
wang’.
-
Mempunyai kejujuran intelek (intellectual
honesty) dan bersikap profesional.
Koperasi-koperasi yang dipimpin oleh ALK yang mempunyai ciri-ciri
keusahawanan tersebut berpeluang besar untuk memperoleh kejayaan
seperti berikut :
- Ditadbir urus dengan baik;
- Pengurusan
kewangan telus dan mantap;
- Pelbagai perkhidmatan ditawarkan
kepada anggota-anggota serta keluarga mereka;
- Dividen yang lumayan setiap
tahun; dan
- Prihatin terhadap masyarakat
sekeliling sebagai tanggungjawab sosial.
Pengamatan ANGKASA terhadap koperasi-koperasi ahli yang berjaya
menurut kriteria di atas menunjukkan bahawa koperasi-koperasi tersebut
rata-ratanya dipimpin oleh ALK yang berwibawa serta berjiwa koperator
tulen dan usahawan sekaligus.
Rumusannya, kenyataan bahawa Keusahawanan Memangkin Kejayaan Koperasi
adalah benar.
|