PELANCAR ONLINE
OCTOBER 2005

 

ARKIB PELANCAR 2005

 

 

 

 

Minda Pengarang:
Anugerah Pendorong Semangat

MUSIM Persidangan Jawatankuasa Perhubungan Negeri (JPN) kembali lagi. Pada tahun ini, bulan Ramadhan jatuh pada awal Oktober. Maka kebanyakan JPN berusaha untuk mengadakan Persidangan masing-masing sebelum umat Islam berpuasa. Selepas tamat Persidangan, Persidangan Kebangsaan Tahunan ANGKASA dijangka menyusul pula pada lewat Disember tahun ini. Beginilah senario Persidangan saban tahun.

Dalam Persidangan JPN tahun ini, ANGKASA pusat telah membuat pengumuman untuk mewujudkan Anugerah Jawatankuasa Perhubungan Negeri (JPN) Terbaik, mulai tahun hadapan. Sebenarnya anugerah untuk JPN pernah diadakan pada suatu masa dahulu.

Pengumuman tersebut sudah tentu disambut baik oleh pihak JPN. Anugerah merupakan satu pemberian berupa hadiah dan sebagainya yang tinggi dan besar nilainya. Namun, bagi JPN bukan hadiah yang dikejar, tetapi pengiktirafan ANGKASA pusat atas kerja-kerja yang dilaksanakan oleh JPN di peringkat negeri. Pemberian anugerah dapat membantu JPN di perspektif yang betul dalam menilai prestasi dan matlamat seiring dengan garis panduan dan prosedur ANGKASA pusat.

Ketika ini terdapat 16 buah JPN di seluruh Malaysia. Setiap JPN mempunyai pejabat dan kakitangan sendiri untuk menjalankan segala tugas yang diamanahkan oleh ANGKASA di peringkat negeri. Pejabat JPN merupakan tempat penghubung antara koperasi-koperasi ahli ANGKASA dengan ANGKASA pusat. JPN berperanan menyampaikan maklumat di samping menjalankan kegiatan kursus, seminar dan sebagainya.

Sebenarnya, segala kegiatan JPN di setiap negeri boleh diteliti oleh semua pihak dalam Laporan Tahunan 2004/2005 yang dibentangkan semasa Persidangan ANGKASA Negeri. Antaranya termasuklah Laporan JPN, Laporan Kewangan JPN, Laporan Jawatankuasa Audit Dalaman (JAD), dan Laporan Kewangan & Pengamatan Dan Penilaian Aktiviti JPN. Kesemua laporan tersebut tersurat secara telus dan bentangkan untuk perbincangan di Persidangan ANGKASA Negeri.

Anugerah khas untuk JPN ini, akan meletakkan JPN setara dengan pelbagai pengiktirafan yang disampaikan sempena hari-hari tertentu dalam gerakan koperasi. Perayaan Hari Koperasi Sekolah (HKS) anjuran ANGKASA, menyediakan pelbagai anugerah untuk gerakan koperasi sekolah ahli ANGKASA. Misalnya pada HKS 2005 lalu, ANGKASA menyediakan Anugerah Cemerlang Guru Koperasi, Anugerah Koperasi Sekolah Terbaik Kategori Menengah Harian dan Anugerah Koperasi Terbaik Kategori Asrama Penuh.

Sebenarnya, walaupun tiada anugerah untuk JPN dalam acara ini, pihak JPN banyak terlibat menganjurkan pelbagai aktiviti berkaitan, bermula dari peringkat zon, negeri dan hinggalah ke peringkat kebangsaan.

Pada Hari Koperasi Negara 2005 lalu, pemberian Anugerah Koperasi Negara, Anugerah Kepimpinan Koperasi, Anugerah Khas (Mengikut Fungsi/Aktiviti, Anugerah Khas (Mengikut Kumpulan Sasar) dan Anugerah Koperasi Harapan, menjadikan penerima berasa dihargai sumbangannya. Apatah lagi penyampaian dibuat dalam satu acara yang gemilang.

Dalam usaha menjadikan gerakan koperasi negara berdaya saing, sesungguhnya, pemberian pelbagai anugerah tersebut, akan mendorong semua pihak dalam gerakan koperasi lebih bersemangat untuk meningkatkan prestasi masing-masing. Begitu juga bagi kami, kalangan ahli JPN.

HAJI MOHD. JAIS HASSAN
Sidang Pengarang

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop