PELANCAR ONLINE
NOVEMBER 2005

 

ARKIB PELANCAR 2005

 

 

 

 

Persidangan ICA 2005
oleh : Dr. Haji Mohd. Ali Haji Baharum

PERSIDANGAN International Co-operative Alliance (ICA) peringkat dunia telah diadakan di Cartagena, Colombia pada 18 hingga 24 September 2005. Persidangan ini diadakan setiap dua tahun secara bergilir di antara negara-negara anggota. Pada 2003 Persidangan ICA diadakan di Oslo dan 2001 di Korea, manakala persidangan akan datang iaitu 2007 akan diadakan di Singapura. Ia merupakan pertemuan pemimpin-pemimpin koperasi seluruh dunia bagi membincang hal-hal berhubung dengan koperasi sebagai sektor ketiga.

Persidangan kali ini telah menjalankan pemilihan jawatan Presiden ICA dan 15 Anggota Lembaga Pengarahnya. Manakala empat jawatan Naib Presiden tidak dilakukan pemilihan kerana jawatan tersebut disandang secara automatik oleh Presiden-Presiden bagi setiap rantau (region) iaitu Asia, Eorpah, Afrika dan Amerika. Walau bagaimanapun keempat-empat Naib Presiden tersebut akan habis tempoh dan dilakukan pemilihan semula pada persidangan di setiap rantau pada tahun hadapan.

Jawatan Presiden dimenangi oleh Encik Ivano Barberini, Presiden ICA sekarang ini dan telah menang tanpa bertanding. Beliau berasal dari Itali dan kali ini merupakan penggal kedua bagi beliau menjawat jawatan tersebut.

Bagi jawatan Lembaga Pengarah ICA ditandingi oleh 22 peserta, empat daripada mereka adalah wanita termasuk Hajah Rahaiah Baheran dari Malaysia manakala wakil wanita negara lain ialah Sweden, Paraguay dan Kenya.

Kita harus berbangga bahawa calon Malaysia iaitu Hajah Rahaiah Baheran telah mendapat tempat kedua undi terbanyak setelah calon dari Sweden dan ketiga-tiga calon wanita lain turut terpilih. Kemenangan Hajah Rahaiah Baheran itu kerana ketokohan dan sumbangannya sebelum ini, khususnya dalam memperjuangkan gender equality dalam gerakan koperasi. Turut juga dipilih dalam persidangan tersebut anggota Audit and Control Committee ICA.

Tiga hari pertama Persidangan ICA itu dipenuhi oleh sektor-sektor koperasi dengan seminar dan mesyuarat. Youth Conference juga diadakan, ia berjalan selama tiga hari dan dihadiri oleh belia dari negara anggota yang berumur 35 tahun ke bawah.

CICOPA World Conference diadakan pada 19 September 2005 dengan menekankan koperasi kraftangan (artisan Co-op), pembentukan koperasi pekerja (worker co-op startups), sumbangan koperasi kepada pembangunan setempat dan perkhidmatan kesihatan.

Manakala International Co-operative Consumer pula mengadakan bengkel di atas tajuk “Successful Consumer Co-operative Competing on Our Co-operatives Values”. Sedangkan ICA Gender Equality Committee berjaya mengadakan seminar bertemakan “Microfinance Is Our Business” pada 21 September 2005. Lima kertas kerja telah dibentangkan dalam seminar tersebut termasuk satu kertas kerja dari Malaysia yang bertajuk “Ar-Rahnu : A New Era in Microfinance in Malaysia”, yang dibentangkan oleh saya sendiri.

Walaupun Malaysia hanya diwakili oleh dua orang wakil ANGKASA tetapi beberapa buah koperasi besar seperti Koperasi Tentera, Koperasi Telekom, Koperasi Pos Malaysia dan beberapa buah koperasi lain turut menghantar wakil masing-masing sebagai pemerhati. Juga turut hadir Ketua Pendaftar Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK), Dato’ Zainuddin Abdul Rahman dan Timbalannya, Tuan Haji Yusof Samsuddin, Pengarah Maktab Kerjasama Malaysia (MKM), Dr. Mohd. Taib Hashim dan beberapa orang wakil dari Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Persidangan ini dirasmikan oleh Datuk Bandar Cartagena, Encik Alberto Rafael Eduardo Barbosa, dan ditutup oleh Presiden Colombia, Encik Alvaro Uribe.

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop