|
Bersama Giatkan Program Fokus Pembangunan Koperasi
LANGKAH
Jawatankuasa Kerja Kebangsaan ANGKASA (JKK)
mewujudkan Jawatankuasa Fokus Pembangunan Koperasi (JFPK) dan
meniadakan Jawatankuasa Wanita ANGKASA (JKW) di peringkat Pusat
dan juga dimansuhkan di peringkat negeri, sepatutnya dan hendaknya
dilihat secara positif dan diberikan perhatian serta tindakan sewajarnya
oleh semua pihak dalam gerakan koperasi.
Sesungguhnya
ketiadaan JKW sebenarnya adalah langkah untuk mengintegrasikan serta
sebagai usaha gender sensitif dalam konteks luas, segala
kegiatan wanita dalam arus perdana gerakan koperasi dan dipimpin
terus oleh pihak pucuk kepimpinan di Pusat dan di Negeri. Malah,
langkah mewujudkan JFPK boleh dilihat sebagai satu lagi langkah
mengangkat kegiatan-kegiatan wanita dalam koperasi dengan memberi
nafas serta perhatian baru kepada kegiatan-kegiatan belia dan usahawan
dalam erti kata luas pembangunan gerakan koperasi.
Justeru,
pandangan dan pendapat bahawa ANGKASA Pusat sekarang tidak lagi
memberi perhatian terhadap kegiatan wanita dalam koperasi adalah
meleset sama sekali. Program dan kursus seperti Keterampilan
Wanita masih terus boleh diperhebatkan dan peruntukan untuk
program dan kegiatan wanita tidak sama sekali disekat, malah diberikan
keutamaan (mengikut lunas dan dasar-dasar yang diterimapakai di
ANGKASA). Diharapkan koperator-koperator wanita khasnya dan kepimpinan
koperasi di Malaysia amnya, akan lebih mengerti dan memahami perubahan
baru ini.
Selaras
dengan nafas baru ini, kepimpinan koperasi di peringkat negeri khasnya,
hendaklah merancang dan terus menunjukkan komitmen terhadap kegiatan-kegiatan
anggota koperasi dalam semua kegiatan wanita, belia dan usahawan.
Kegiatan untuk anggota belia (yang berumur dalam lingkungan 18 hingga
25) perlu dipertingkatkan, agar mereka ini lebih menonjol dan memberikan
tarikan kepada mereka untuk bersama-sama dalam kegiatan koperasi.
Usaha
perlu difikirkan bersama untuk memastikan pelajar-pelajar yang tamat
sekolah di peringkat Sekolah Menengah, terus dapat menceburkan kesinambungan
kegiatan mereka dalam koperasi-koperasi dewasa atau mewujudkan koperasi-koperasi
belia dalam erti kata sebenar. Setidak-tidaknya, koperasi
yang jiwanya dari belia untuk belia. Perlu diingat mereka
inilah sebagai pewaris serta pelapis kepimpinan dan pengurusan koperasi
yang ada sekarang. Ketidakterlibatan mereka secara aktif, tentunya
akan menggambarkan suasana muram kepada kegiatan serta gerakan koperasi
akan datang.
Tambahan
pula, oleh kerana kegiatan usahawan merupakan suntikan
baru dalam koperasi, kita hendaklah sama-sama berusaha mengambil
bahagian agar anggota koperasi dapat memanfaatkan sepenuhnya faedah-faedah
keusahawan dan usahawan koperasi (cooperative entrepreneurship).
Bersama
kita meningkatkan lagi kegiatan wanita, belia dan usahawan dalam
gerakan koperasi. Kita sendiri yang menjadi penentu kejayaannya.
Sekali berkoperasi terus berkoperasi.
|