ARKIB PELANCAR 2005

 

 

 

 

 

 

Komitmen ANGKASA Dalam Gerakan Koperasi Sekolah

SEPERTI yang kita sedia maklum, penubuhan koperasi sekolah merupakan usaha untuk melatih pelajar sekolah berjimat cermat dan memberi pendedahan tentang kaedah mengurus perniagaan dan seterusnya memupuk minat serta bakat mereka menjadi usahawan dan pemimpin koperasi di masa akan datang. Walaupun pada peringkat permulaan penubuhan koperasi sekolah lebih berfokus kepada aktiviti kredit, namun kemudiannya koperasi sekolah telah berkembang dan bertukar kepada konsep ‘Serbaguna’. Pelbagai aktiviti dijalankan seperti perniagaan kedai buku dan alat tulis, kantin dan kafe, perkhidmatan dobi, tempat penginapan, pasar mini dan pelancongan.

ANGKASA sebagai badan puncak gerakan koperasi di negara ini begitu komited dengan perkembangan gerakan koperasi sekolah. Bermula pada tahun 1995, ANGKASA telah mengadakan Perayaan Hari Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan. Di tahun-tahun seterusnya hinggalah sekarang ianya menjadi agenda tahunan bukan sahaja di peringkat kebangsaan bahkan juga di peringkat negeri-negeri. Pelbagai acara diadakan setiap tahun, bagi memeriahkan lagi perayaan tersebut.

Pada tahun ini, Perayaan Hari Koperasi Sekolah terbahagi kepada dua acara pertandingan iaitu :

i. Pertandingan petanq peringkat negeri dan kebangsaan.
ii. Pertandingan kuiz peringkat negeri dan kebangsaan.

Di samping itu, pada tahun ini juga Kursus Pencegahan Jenayah diperkenalkan untuk memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar tentang kaedah mengelakkan jenayah.

Sepanjang Perayaan Hari Koperasi Sekolah di peringkat negeri yang diadakan baru-baru ini, rata-rata jelas menunjukkan peningkatan penglibatan pelajar dalam semua acara terutama sekali acara pertandingan petanq. Contohnya di negeri Kelantan sebanyak 45 pasukan petanq telah mengambil bahagian manakala kebanyakan negeri lain didapati tidak kurang daripada 25 pasukan petanq yang telah mengambil bahagian. Penglibatan pelajar yang begitu ramai membuktikan pelajar-pelajar sekolah sudah memahami manfaat berkoperasi (cooperative advantage) yang terbukti bukan sahaja dari segi ekonomi bahkan ianya meliputi aspek kemasyarakatan, kesihatan dan penerapan nilai-nilai murni.

Semoga semangat, komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan pada tahun ini akan diteruskan di tahun-tahun hadapan. Sehubungan itu, ANGKASA amat berbangga dengan perkembangan keanggotaan koperasi sekolah. Sehingga bulan April 2005, jumlah koperasi sekolah yang menganggotai ANGKASA ialah berjumlah 1403 iaitu 93 peratus daripada jumlah kesemua koperasi sekolah di negara ini. Ini membuktikan kesungguhan ANGKASA untuk memperkasakan gerakan koperasi sekolah bagi melahirkan usahawan dan pemimpin yang berjaya di masa akan datang. InsyaAllah.

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop