PELANCAR ONLINE
JANUARY 2006

ARKIB PELANCAR 2005

 

Penghayatan dan Amalan
Bekerja Bersama-sama Demi Manfaat Bersama

oleh : Hajah Rahaiah Baheran
(Naib Yang Dipertua ANGKASA)

DALAM keluaran ini, bersempena Persidangan Kebangsaan Tahunan ANGKASA (PKTA) yang ke-22, bagi ingatan bersama, marilah kita menilai sendiri keupayaan diri memahami, menghayati dan kesediaan mengamalkan falsafah ‘bekerja bersama-sama’ dalam sektor yang kita ceburi sendiri dengan segala suka dan relanya.

Gerakan koperasi dunia diwakili oleh lebih 800 juta anggota dan di Malaysia sahaja lebih daripada empat juta anggota. Saya diberitahu bahawa setiap tiga orang di Amerika Syarikat, seorang adalah anggota koperasi. Gerakan koperasi kian berubah dan kian tercabar, terutamanya keadaan globalisasi yang memberi persaingan hebat dalam perniagaan termasuklah perniagaan koperasi.

Gerakan koperasi sedar perkara ini dan menjadi topik perbincangan setiap masa. Di Persidangan Agung Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) di Cartagena, Colombia pada bulan Oktober 2005 yang lalu, dan disambung semula di Geneva di mana lebih daripada 50 orang pemimpin koperasi dunia, rantau dan sektor pada awal Disember 2005 ini, mereka berpendapat koperasi harus menerima hakikat persaingan dan harus mencari kelebihan yang boleh memantapkan perniagaan koperasi.

Disimpulkan bahawa kelebihan koperasi adalah ‘kepunyaan bersama’ dan ‘bekerja bersama’. Oleh yang demikian kita harus mendapat manfaat yang berterusan dengan berpegang teguh kepada falsafah koperasi sejagat.

Falsafah koperasi adalah satu yang mutlak yang tidak boleh dijual beli. ‘Jati Diri Koperasi’ telah digubal oleh gerakan koperasi dunia di Persidangan ICA di Manchester pada 1995. Ianya telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengikut United Nation Guideline pada tahun 2001 dan telah diperkukuhkan dengan penerimaan Dokumen ILO 193 pada 2002 oleh persidangan ILO yang dihadiri oleh wakil kerajaan, majikan dan pekerja dari negara-negara seluruh dunia. Di Malaysia ianya telah termaktub dalam Dasar Koperasi Negara dan dirujuk oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan Hari Koperasi Negara 2005.

Falsafah itu menuntut kesediaan kita anggota koperasi, sentiasa ingatkan niat untuk bekerja bersama-sama demi manfaat bersama dan tidak bekerja secara bersendirian demi keuntungan sendiri.

ANGKASA sebagai badan puncak gerakan koperasi bertanggungjawab bagi menyampaikan pengajaran dan pengembangan falsafah koperasi dan sentiasa memberi fokus atas pekara ini. Semua kursus ANGKASA kini memperjelaskan tentang Jati Diri Koperasi yang berasaskan nilai-nilai sadik, amanah dan telus. ANGKASA menentukan bahawa modul-modul disediakan dengan kemas dan rapi. Tenaga pengajarnya diberi latihan dan bimbingan secukupnya.

ANGKASA di bawah kepimpinan di setiap tahap yang diketuai oleh Yang Dipertuanya, Prof. Diraja Ungku A. Aziz, berpendirian tegas, pentingnya falsafah berkoperasi diamalkan oleh ANGKASA dan ahli-ahlinya serta setiap anggota koperasi. Untuk peringatan yang mudah, maka YDP mengemukakan ungkapan, ‘Bekerja bersama-sama demi manfaat bersama’.

Disertakan beberapa petikan daripada Prof. Diraja Ungku Aziz untuk ingatan kita :

PELANCAR Disember 1997 – Fokus Gerakan Koperasi Berasaskan Falsafah Nasional : Ahli koperasi harus tepuk dada tanya selera. Koperasi mendokong prinsip demokrasi insan. Korporat memilih demokrasi wang. Ahli yang bijak harus boleh membuat keputusan yang wajar. Nasihat saya ialah sebelum membuat keputusan, belajarlah sedikit tentang manfaat dan bahaya kedua-kedua jenis perusahaan itu. Penyu tidak boleh jadi ayam. Penyu bertelur dan ayam pun bertelur tetapi dengan kuasa Allah penyu ada resminya dan ayam ada resminya.

PELANCAR November 2001 – Pelajaran Yang Bermanfaat : Kita mewujudkan koperasi oleh sebab kita yakin bahawa institusi ini memberi peluang supaya anggotanya boleh bekerja bersama-sama demi manfaat bersama dan yang berlandaskan nilai dan prinsip koperasi adalah lebih baik daripada institusi lain di bidang ekonomi dan sosial yang tertentu bagi orang yang berazam bekerja bersama-sama.

Ucaptama Tokoh Koperator Negara Di Hari Koperasi Negara 2002 : Dengan seringkas-ringkasnya tujuan utama koperasi ialah memberi anggota peluang bekerja bersama-sama demi manfaat bersama, manakala tujuan korporat ialah mencari pertambahan nilai wang atau keuntungan bagi pemilik sahamnya.

Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah berkata ‘kita mudah lupa’. Kita juga jangan mudah lupa dan menyerahkan koperasi untuk diuruskan oleh ‘profesional’ yang tidak faham akan tuntutan nilai dan prinsip koperasi.
Sistem Tadbir Urus Baik (TUB) koperasi menentukan tanggungjawab tiga pihak berikut :

Pertama : Anggota sebagai pemilik koperasi dan mereka berjumpa dalam mesyuarat agung meluluskan perkara-perkara pokok kepentingan bersama dan merekalah pelanggan koperasi.

Kedua : Anggota Lembaga Koperasi (ALK) yang dipilih secara demokrasi bagi mentadbir dan membuat keputusan dalam koperasi. Umpamanya ALK NACF Korea berhujah sehingga ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang kesan WTO terhadap keluaran hasil tani anggota mereka.

Ketiga : Pengurusan, orang yang digajikan untuk melaksanakan segala keputusan mengikut bidang profesion masing-masing. Umpamanya yang mengurus, pakar dalam urusan pengurusan dan perundangan, manakala akauntan mahir dalam penyediaan akaun dan lain-lain lagi.

Ketiga-tiga pihak ini mesti faham tugas dan tanggungjawab masing-masing. Mereka hendaklah sentiasa bekerjasama bersama-sama antara satu dengan yang lain. Malah, falsafah koperasi juga menentukan ada kerjasama antara koperasi dengan koperasi. Budayanya, ‘bagai aur dengan tebing’ bukan ‘bagai enau di dalam belukar’.

Bagi keterangan selanjutnya amatilah tulisan YDP ini :

PELANCAR September 1991 – Ke Arah Matlamat Wawasan 2020 : Ahli Lembaga Pengarah dan ahli biasa harus faham dengan jelas bahawa Pengurus adalah kakitangan mereka dan bukan pemimpin mereka. Pengurus boleh dan wajib memberi nasihat kepada Lembaga Pengarah. Akan tetapi Ahli Lembaga Pengarah harus membincang perkara dan mengambil keputusan istimewa tentang dasar atau masalah yang melibatkan jumlah wang yang agak besar.

... Inilah yang dikatakan keadaan di mana ekor menggoncang kepala kucing dan bukan kepala kucing menguasai ekor. Sifat berdikari memerlu-kan Ahli Lembaga Pengarah menentukan dasar dan membuat keputusan dan bukan pengurus yang hanya menjadi kakitangan yang ditugaskan untuk melak-sanakan keputusan-keputusan itu.

PELANCAR Disember 2002 – TUB (Tadbir Urus Baik) Pengurusan Untuk Koperasi : Jika koperasi terlalu bergantung kepada Pengurus dan melihat Pengurus sebagai orang yang profesional untuk mengurus koperasi, ini boleh membawa masalah kepada koperasi. Banyak berlaku kes di mana Pengurus profesional ini menyelewengkan wang koperasi. Oleh itu, anggota koperasi hendaklah tahu tentang Tadbir Urus Baik koperasi dan memastikan Pengurus yang dilantik itu mengikut arahan dan keputusan yang dibuat oleh ALK dalam mesyuarat dan bukan sebaliknya.

PELANCAR November 2004 – Perubahan Punca Kejayaan ANGKASA : Sama ada koperasi itu mempunyai beribu anggota yang terdiri daripada golongan cendikiawan atau koperasi itu terdiri daripada beratus kaum tani. Lembagalah badan yang bertanggungjawab menentukan dasar ekonomi, sosial dan budaya tiap-tiap koperasi.

Buat akhirnya, walau di mana kita berada, di kota atau di desa; walau apa anutan kita, adat resam dan budaya; ada satu yang nyata. Kita percaya bahawa amalan bekerja bersama-sama melalui falsafah koperasi, kita berupaya menjanjikan hidup yang lebih baik untuk diri kita, keluarga, masyarakat dan negara kita. Insya-Allah.

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop