PELANCAR WAJAH BARU DAN LIPUTAN PKTA KE-22
SELAMAT membaca majalah PELANCAR wajah baru. Bermula Februari 2006 ini, majalah PELANCAR keluaran biasa (Januari – November) berwajah baru dengan keseluruhan muka surat dicetak berwarna. Dahulu, hanya keluaran khas sempena Persidangan Kebangsaan Tahunan ANGKASA sahaja yang dicetak berwarna, manakala 11 keluaran biasa dicetak dwi warna.
Diharap pembaharuan ini dapat menarik minat para koperator membaca majalah PELANCAR dan seterusnya meningkatkan peranan PELANCAR sebagai saluran maklumat tentang perkembangan ANGKASA, gerakan koperasi tanah air dan antarabangsa.
Ruangan DARI MEJA PENGARANG akan dikendalikan oleh Pengarang sendiri, manakala Penasihat majalah PELANCAR yang terdiri daripada Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua dan Naib-Naib Yang Dipertua ANGKASA serta Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri (JPN) akan terus diminta memberi sumbangan.
Dalam keluaran ini highlights utama adalah Laporan Khas tentang Persidangan Kebangsaan Tahunan ANGKASA ke-22 yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya pada 31 Disember 2005 lalu.
Rencana-rencana yang dihasilkan dari liputan Persidangan itu, memberi gambaran umum bagaimana persidangan kali ini berlangsung. Persidangan Kebangsaan adalah kuasa tertinggi dalam ANGKASA. Dari pihak ANGKASA, keseluruhan agenda yang dibentang, memperlihatkan apa ANGKASA buat melalui pembentangan-pembentangan laporan, kelulusan dasar dan rancangan serta anggaran belanjawan.ANGKASA.
Para perwakilan yang hadir pula, mempunyai peluang dan ruang untuk mengambil bahagian secara aktif, menyuarakan pandangan mereka, malah menerima atau menolak mana-mana laporan, dasar dan rancangan yang dibentangkan. Inilah yang dinamakan Kawalan Demokrasi oleh Anggota dalam Prinsip Kedua Koperasi.
Tajuk gambar kulit, FOKUS ANGKASA 2006 : KHIDMAT DAN SENGGARA dipilih kerana khidmat dan senggara akan menjadi fokus utama ANGKASA bagi 2006 sepertimana yang dinyatakan oleh YDP dalam ucapan dasar beliau. SEKKOP 123 adalah salah satu dari program tersebut.
Semoga melalui paparan kami tentang Persidangan kali ini, para pembaca mendapat maklumat tentang hala tuju ANGKASA, memahami dasar dan aspirasi ANGKASA dan dapat bekerjasama bersama-sama dengan ANGKASA, demi manfaat anggota dan koperasi masing-masing.
AINI HAJI ABDUL MAJID
Pengarang
|