|
PENGGALAKAN
REKOMENDASI ILO 193
WARGA koperasi di seluruh negara kini boleh mengukir
senyuman kerana
Dasar Koperasi Negara (DKN) yang dinanti-nantikan pelaksanaannya
selama ini telah dilancarkan oleh pihak kerajaan pada 29 Januari
2004 di Kuala Lumpur. Dasar tersebut turut memuatkan Rekomendasi
Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 193 yang gigih diberi penerangan
oleh pihak ANGKASA untuk digunapakai demi kepentingan gerakan koperasi
di negara ini.
Teks Rekomendasi ILO 193 telahpun diedarkan ke seluruh
dunia dan menjadi topik yang hangat dibincangkan. Rekomendasi ini
penting kerana ia jelas sekali menyokong dan mengiktiraf koperasi
sebagai badan demokrasi dan berautonomi yang berperanan meningkatkan
pembangunan manusia dari segi ekonomi dan sosial.
Atas dasar itulah, ANGKASA gigih memberi semangat
supaya pihak kerajaan mengambil kira rekomendasi tersebut untuk
dilaksanakan di negara ini. Di samping itu, ANGKASA melalui Bahagian
Pendidikan, Penerangan, Penerbitan dan Perkhidmatan (B4P) telah
mengadakan majlis perbincangan bagi menjelaskan kandungan rekomendasi
itu kepada para pemimpinnya, baik di peringkat pusat mahupun negeri.
Terkini, satu majlis perbincangan yang diketuai oleh Yang Dipertua
ANGKASA, Prof Diraja Ungku A. Aziz telah diadakan dengan ahli-ahli
Jawatankuasa Perhubungan Negeri (JPN) seramai 111 orang di Kuala
Lumpur pada 14 Januari lalu.
Hasilnya, peserta yang hadir menggesa supaya pihak
kerajaan mengkanunkan rekomendasi itu dalam Dasar Koperasi Negara.
Sebagai maklum balas, Prof. Diraja Ungku A. Aziz menyatakan keyakinan
beliau bahawa pihak kerajaan akan mengambil kira rekomendasi itu
dalam menggubal DKN.
Walaupun berulang-ulang kali menyebut kerajaan akan
membuat satu pengumuman, beliau tidak menyebut secara jelas apa
yang bakal diumumkan kelak. Katanya perkara itu masih di peringkat
perundingan. Walau bagaimanapun, telahan yang boleh dibuat daripada
kata-kata beliau ialah pihak kerajaan akan mengambil kira kandungan
Rekomendasi ILO 193 dalam menggubal DKN.
Justeru, menurut Yang Dipertua, ANGKASA akan memberikan
sokongan 100 peratus terhadap Dasar Koperasi Negara yang bakal diumumkan
itu. Malah katanya, beliau telah menyuarakan keyakinan itu di hadapan
400 orang yang hadir pada Majlis Dialog Bersama Perdana Menteri
di Putrajaya pada hari sebelumnya.
“Di situ, saya rasa telah nyata kepada saya
bahawa satu pengumuman akan dibuat tidak lama lagi. Cuma tarikh
rasmi pengumuman itu terpulang kepada pihak kerajaan ...”
Katanya lagi, perwakilan Malaysia ke Persidangan
Menteri-Menteri Koperasi Ke-7 yang turut disertai ANGKASA, akan
membentangkan dasar tersebut. Persi-dangan itu akan diadakan di
New Delhi, India pada 2 hingga 6 Februari depan.
Menurut Timbalan Yang Dipertua ANGKASA, Dr. Mohd.
Ali Haji Baharum, Malaysia merupakan satu daripada tiga negara Asia
Pasifik yang sudah bersedia dengan dasar koperasi negara masing-masing.
Negara yang lain ialah India dan Kuwait.
Sementara itu, Naib Yang Dipertua ANGKASA yang juga
ahli Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA), Hajah Rahaiah Baheran
dalam ucapan alu-aluannya menerangkan bahawa Rekomendasi ILO 193
diluluskan oleh Persidangan Agung ILO Ke-90 di Geneva pada 3 Jun
2002 menggantikan Rekomendasi ILO 127 yang sudah tidak relevan dengan
keadaan semasa. Ia mengiktiraf peri pentingnya koperasi sebagai
badan berautonomi yang berperanan dalam pembangunan sosioekonomi
manusia.
Majlis perbincangan tersebut merupa-kan yang kedua
dianjurkan oleh B4P. November lalu, majlis penerangan diada-kan
khusus untuk para ahli Jawatan-kuasa Tadbir Kebangsaan (JKT) dan
Jawatankuasa Audit Dalaman ANGKASA serta pegawai-pegawai kanan ANGKASA.
Selepas ini ANGKASA akan meng-anjurkan majlis yang sama kepada para
pegawai Kementerian Tanah dan Pem-bangunan Koperasi dan Jabatan
Pem-bangunan Koperasi serta warga koperasi.
Berikut adalah teks Rekomendasi ILO 193 yang telah
diterjemah dalam bahasa Melayu untuk tatapan pembaca majalah PELANCAR.
|