PELANCAR ONLINE
FEBRUARI 2004

 

ARKIB PELANCAR 2004

 

 

 

 

Tiket Bertuah Tingkatkan Jualan

SESEBUAH koperasi akan mendapat kejayaan yang membanggakan sekiranya wujud kerjasama dan sokongan padu di kalangan anggotanya. Pada masa sama, pihak Anggota Lembaga Koperasi (ALK) dan kakitangan perlulah menjalankan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dan telus.

Jika ciri-ciri tersebut dapat diwujudkan dan dihayati oleh semua warga koperasi di negara ini, sudah pasti gerakan koperasi berjaya menjana ekonomi dengan lebih berkesan. Ini bersesuaian dengan pengiktirafan kerajaan bahawa koperasi merupakan sektor ketiga terpenting dalam membangunkan ekonomi negara.

Sehubungan itu, wakil PELANCAR telah meninjau sebuah koperasi yang berjaya menjalankan kegiatannya dengan baik dan mendapat sokongan padu di kalangan anggotanya. Koperasi yang dimaksudkan ialah Koperasi Peneroka FELDA Tersang Tiga Berhad, Raub.

Koperasi ini ditubuhkan pada tahun 1995 dan didaftarkan dengan rasminya pada 18 Disember 1996. Antara tujuan asal penubuhannya ialah untuk membantu peneroka FELDA Tersang Tiga mengangkut buah sawit dari ladang ke kilang yang berhampiran. Selain itu, melalui kegiatan yang dijalankan oleh koperasi dapat meningkatkan pendapatan anggota-anggotanya.

Menurut Setiausaha koperasi, Encik Kassim Tan, kerjasama dan sokongan padu daripada semua anggota telah membolehkan koperasi diuruskan dengan baik. Kegiatan Buah Tandan Baru (BTB) dan kontrak membina jalan pertanian yang diperolehi melalui tender yang diberikan oleh FELDA telah memberikan pendapatan yang baik kepada koperasi.

Katanya, walaupun koperasi ini baru menjangkau usia tujuh tahun tetapi ia telah mula menampakkan kemajuan dari semasa ke semasa. Kejayaan ini dapat dicapai setelah semua warga koperasi berganding bahu menjayakan setiap kegiatan yang dijalankan.

Encik Kassim memberitahu, selain kegiatan BTB, koperasi turut mengusahakan sebuah pasar mini. Ianya mula beroperasi pada tahun 2000. Bangunan pasar mini didirikan pada awal tahun tersebut dengan kos pembinaannya sebanyak RM90 000.

Dengan adanya pasar mini koperasi, memudahkan peneroka membeli barangan keperluan tanpa perlu berjalan jauh. Berbagai-bagai barangan boleh didapati di kedai ini pada harga berpatutan. Konsep terbuka membolehkan pelanggan bebas memilih barangan yang mereka kehendaki.
Waktu operasi yang panjang setiap hari memberi kemudahan kepada pelanggan. Bagi melancarkan urusan jual beli, seramai enam orang kakitangan ditugaskan di sini dengan dibantu oleh seorang penyelia dan seorang penjaga stor.

Orang ramai juga boleh menjadi member market dengan membayar yuran keahlian sebanyak RM300. Member market yang berbelanja di sini akan diberi potongan harga sebanyak 2.5 peratus bagi setiap pembelian di antara RM5 hingga RM50. Bagi pembelian melebihi RM50, koperasi menawarkan potongan harga sebanyak lima peratus.

Sementara itu, anggota koperasi yang berbelanja di sini turut diberikan potongan harga sebanyak dua peratus sekiranya membeli barangan melebihi RM10. Ternyata, potongan harga yang ditawarkan berjaya menarik minat orang ramai berbelanja di sini.

Bagi meningkatkan lagi tarikan pelanggan, koperasi turut mengadakan cabutan tiket bertuah. Dua jenis cabutan disedia-kan. Cabutan bulanan untuk pelanggan yang berbelanja melebihi RM20 ke atas, manakala bagi pembelian melebihi RM50, mereka layak menyertai cabutan bulanan dan tahunan.

Menurut Encik Kassim, promosi sedemikian membantu meningkatkan jualan. Sebagai contoh, jualan bagi lima bulan pertama pada tahun ini telah mencecah sebanyak RM108 700. Jumlah tersebut jauh berbeza berbanding tahun sebelumnya.

Tentang perkhidmatan selepas jualan yang disediakan oleh koperasi dalam kegiatan ini, beliau berkata, pelanggan yang membeli barangan yang banyak, layak mendapat perkhid-matan penghantaran ke rumah. Koperasi menyediakan sebuah motosikal roda tiga bagi melaksanakan tugas ini. Perkhidmatan sebegini menunjukkan koperasi prihatin terhadap keperluan pelanggannya.

Encik Karim memberitahu, kini koperasi merancang tiga projek besar untuk dilaksanakan oleh koperasi. Projek tersebut ialah membina rumah kediaman untuk generasi kedua FELDA Tersang Tiga, membina kilang untuk industri kecil dan sederhana (IKS) dan membina bangunan tambahan untuk dijadikan pejabat koperasi dan restoran makanan.

“Kami yakin projek yang disebutkan tadi, akan dapat dilaksanakan dengan adanya kerjasama dan sokongan padu daripada seluruh anggota koperasi. Pada masa sama, bantuan dan tunjuk ajar daripada pihak-pihak tertentu seperti Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) dan ANGKASA sangat diharap-kan,” ujar beliau mengakhiri perbualan.

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop