PELANCAR ONLINE
FEBRUARI 2004

 

ARKIB PELANCAR 2004

 

 

 

 

Koperasi Penulis Sedia Khidmat Penerbitan

Pada 9 Ogos 1986, 18 tahun lalu bertempat di Kampus Universiti Utara Malaysia Tanah Merah Jitra, kini Institut Perguruan Darul Aman (IPDA) tertubuhlah Koperasi Serbaguna Penulis Utara Malaysia Berhad.

Merupakan satu-satunya koperasi yang dianggotai oleh kaum penulis dan peminat-peminat bidang sastera di negeri Kedah Darul Aman. Kewujudannya, merupakan satu langkah positif untuk menggabungkan semua penulis bergerak dalam sebuah gerakan koperasi. Pada awalnya memang agak sukar untuk meyakinkan kalangan penulis yang lebih cenderung ke bidang penulisan dalam menceburi gerakan koperasi, sehinggalah untuk mendapatkan bilangan anggota seramai 100 orang pun susah bagaikan mencari biji benih di dalam lumpur.

Pada awalnya, Koperasi Penulis yang dicadangkan adalah untuk semua penulis di negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak Utara tetapi apabila diajukan pendaftarannya, cuma Kedah dan Perlis sahaja yang diterima oleh pihak Pendaftar. Maka terpaksalah pihak Jawatankuasa Penaja terus berusaha memastikan ianya menjadi kenyataan. Dengan tinggalnya dua buah negeri sahaja sudah tentulah bilangan sokongan keanggotaan semakin berkurang.

Namun, atas usaha beberapa orang penulis veteran pada ketika itu seperti Haji Mohd. Noor Salleh (Noorjaya) – Kedah, Abdullah Sani (Lah Sani) – Perak Utara, Haji Annuar Asmadi – Pulau Pinang dan Haji Rejab Ismail (Rejab FI) – Perlis telah berjaya mengubah sikap dan penerimaan kaum penulis ke arah penubuhannya. Kejayaannya juga adalah kerana sokongan kuat dari seorang Pegawai dari Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) negeri Kedah pada ketika itu, Encik Zainun Hamzan Stappa.

Beliaulah yang sentiasa berdamping rapat dengan pemimpin penulis serta menyuntik semangat dan ransangan sehinggalah Koperasi Penulis dapat ditubuhkan. Sayangnya, koperasi terpaksa berjalan tanpa rakan-rakan dari Pulau Pinang dan Perak Utara. Pendaftaran keanggotaan cuma untuk negeri Kedah dan Perlis sahaja.

Tujuan awal penubuhan Koperasi Penulis memanglah ke arah bidang penerbitan buku dari hasil karya penulis-penulis atau anggotanya sendiri. Tetapi, usaha ini tidak dapat dilaksanakan di peringkat awalnya kerana kekurangan modal. Koperasi juga pernah menganjurkan kursus penulisan secara pos dalam bidang penulisan cerpen, novel, puisi, skrip drama radio dan televisyen. Pada peringkat awalnya mendapat sambutan tetapi kemudian sambutannya semakin merosot. Mungkin pada ketika itu terdapat persaingan hebat dari persatuan-persatuan penulis yang selalu mengadakan kursus penulisan di merata tempat secara percuma. Lantaran itu, projek kursus penulisan secara pos terpaksa gulung tikar.

Namun, dengan usaha gigih daripada semua anggota lembaga dan anggota, koperasi terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Pihak kerajaan negeri Kedah pada bulan Ogos 1988 telah memberikan kepercayaan kepada koperasi untuk menerbitkan Warta Darul Aman, majalah atau Berita Kerajaan Negeri. Ianya bermula dari Menteri Besar, Haji Osman Aroff, Sanusi Junid dan Syed Razak Syed Zain. Malangnya, pada akhir tahun 2003, Warta Darul Aman diberhentikan buat seketika penerbitannya. Mengikut pertemuan dan perundingan dengan pihak kerajaan negeri ianya akan disambung semula. Namun, sehingga rencana ini ditulis belum ada hitam putih mengenai penyam-bungannya.

Pun begitu kerajaan negeri Kedah melalui Menteri Besar telahpun bermurah hati memberi beberapa projek penerbitan untuk tahun 2004 ini. Pihak Koperasi Penulis sekadar menunggu lampu hijau dari pihak kerajaan negeri untuk memulakan projek terbaru ini. Apapun, pihak pentadbiran Koperasi Penulis amat terhutang budi kepada Haji Abdullah Dohat, pegawai yang menjaga koperasi ini sejak dahulu hingga sekarang. Tahniah juga diucapkan dari semua anggota dan Anggota Lembaga Koperasi Penulis kepada Haji Abdullah Dohat yang telah dengan rasminya dilantik sebagai Pengarah JPK negeri Kedah bermula pada 1 Disember 2003 yang lalu.

Sebenarnya, dalam tahun 1999 – 2003, Koperasi Penulis telah melancarkan dua projek besar iaitu penerbitan buku Mahathir Di Mata Umum sempena dengan tamatnya perkhidmatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia. Juga sebuah novel dari anggota koperasi sendiri, Hamizun Syah dengan novelnya Seni Takdir yang mendapat sambutan hangat.

Buku-buku tersebut dipasarkan di seluruh Malaysia. Sekolah-sekolah, pusat pengajian tinggi, jabatan-jabatan kerajaan, perpustakaan dan pihak swasta banyak menempahnya. Sehingga sekarang masih ramai lagi yang bertanyakan buku tersebut. Kepada mereka yang masih berminat bolehlah segera menghubungi koperasi ini di alamat yang tertera.

Prinsip koperasi ini di bawah kepimpinan Pengerusinya, Haji Nazril Mohd. Zain ialah menumpukan kepada satu projek sehingga berjaya dan kemudiannya baru memikirkan kepada projek yang lain. Tidak guna kita bangga dengan beraneka ragam projek tetapi tidak mencapai matlamatnya. Pada tahun 2004 ini, anggota lembaga sedang memikirkan untuk cuba menerbitkan buku-buku kerja sampingan untuk pelajar-pelajar sekolah rendah dan kemudiannya diikuti dengan sekolah-sekolah menengah. Usaha sedang dilaksanakan bagi merealisasikan perkara tersebut.

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop