|
Kerjasama Majikan Bantu
Koperasi
KOPERASI yang dianggotai warga pekerja sememangnya
mengalu-alukan penglibatan dan perhatian daripada majikan. Malah,
kesediaan majikan membenarkan koperasi bergerak cergas di tempat
kerjanya memberi peluang untuk gerakan koperasi ini merangka pelan
kejayaannya di masa depan. Koperasi pula sering menjadi tempat pertama
untuk anggota yang juga biasanya merupakan kakitangan kepada majikan
tersebut mengadu masalah, membina dan meningkatkan tahap ekonomi
diri dan keluarga.
Menyedari hakikat tersebut, Perbadanan Pinjaman
Sabah membenarkan koperasi kakitangannya beroperasi di bangunan
miliknya. Permulaannya, penubuhan Koperasi Serbaguna Perbadanan
Pinjaman Sabah Berhad (KOSPPS) telah dibuat pada 17 Mac 1984. Bagaimanapun
pada 27 Ogos tahun yang sama iaitu di mesyuarat agung pertamanya,
koperasi ini bertukar nama kepada Koperasi Kakitangan Perbadanan
Pinjaman Sabah Berhad (KOPPS) dan kekal hingga ke hari ini.
Kini dengan keanggotaan seramai 220 orang, KOPPS
menawarkan beberapa faedah kepada anggota-anggotanya yang sungguh
komited dengan koperasi. Koperasi yang berusia hampir 10 tahun ini
memperkenalkan empat jenis insurans bagi melindungi kepentingan
anggota dan keluarga.
Keempat-empat insurans tersebut ialah insurans sewa
beli perumahan, insurans kenderaan bermotor, insurans rumah atau
kediaman dan insurans kewangan. KOPPS menyedari kehendak dan keperluan
anggotanya lalu memperkenalkan skim tersebut dengan harapan nasib
anggota-anggotanya terbela dan dapat hidup lebih selesa.
“Kami, selaku kakitangan Perbadanan Pinjaman
Sabah (PPS) sememangnya mempunyai hubungan erat dengan pihak PPS
kerana kami jugalah yang menguruskan KOPPS dan pada waktu yang sama
bekerja di PPS. Oleh itu, setiap perjalanan PPS dan KOPPS perlu
seiring,” jelas Bendahari KOPPS, Encik Sylvester Golou Asai.
Turut serta di pertemuan bersama wakil PELANCAR
ialah sebahagian daripada Anggota Lembaga Koperasi (ALK) KOPPS yang
bekerja di pejabat PPS di Pekan Donggongan. ALK KOPPS yang baru
dilantik selepas mesyuarat agungnya baru-baru ini menyatakan bahawa,
mereka akan meneruskan perjuangan memajukan segenap sudut sosioekonomi
anggota KOPPS agar semuanya mendapat faedah menyertai koperasi ini.
KOPPS beroperasi di semua cawangan PPS berada, iaitu
Tawau, Lahad Datu dan Kota Kinabalu. Secara tidak langsung anggota
di pejabat cawangan tidak perlu bersusah-payah datang ke Kota Kinabalu
untuk berurusan.
KOPPS juga banyak menabur bakti terutama dalam kebajikan
terhadap anggota-anggotanya. Antaranya ialah tabung kemudahan persaraan
anggota, bantuan pembayaran takziah (berkenaan hal-hal kematian,
bantuan kilat kerana kebakaran dan lain-lain).
Dari segi kegiatan sosial lainnya, KOPPS sering
mengadakan kegiatan riadah seperti hari merentas desa, sambutan
meraikan hari-hari perayaan tertentu seperti Hari Krismas, Hari
Raya Aidil Fitri dan juga Malam Koperasi. Peluang bermesra dan bertemu
muka antara anggota dan mengenali rakan yang jauh di cawangan lain
dimanfaatkan sepenuhnya. Ketika inilah mereka dapat bersua dan mengeratkan
silaturrahim sesama anggota KOPPS.
“KOPPS juga sering menganugerahkan pelajar-pelajar
cemerlang daripada kalangan anak anggota agar mereka lebih terdorong
untuk berjaya di dalam pendidikan. Sumbangan sebegini sekalipun
kecil nilainya tetapi amat bermakna kepada pelajar tersebut untuk
lebih berjaya dan kami di pihak pengurusan koperasi, sentiasa peka
dengan perkembangan pendidikan mereka,” ujar Setiausaha KOPPS,
Puan Vicky Ng.
KOPPS juga tidak melupakan anggota-anggota yang
memerlukan bantuan kewangan secara segera. Skim Pinjaman Kecemasan
berjumlah RM500 dengan kadar faedah sebanyak tiga peratus memberi
ruang untuk anggota menarik nafas lega. Saat-saat kecemasan tidak
lagi menjadi masalah besar bagi mereka. Koperasi telah dijadikan
rujukan sepenuhnya apabila memerlukan bantuan.
Pihak KOPPS juga memberi saguhati kepada anggota
yang menyambut hari jadi sebagai tanda penghargaan kepada sumbangan
anggota tersebut. Jika dengan hanya memperingati hari lahir anggota
pun dijadikan sebagai agenda, tidak hairanlah sekiranya anggota
yang ada tidak mahu berpaling arah ke koperasi lain ataupun berhenti
menjadi anggota KOPPS.
Peranan ALK merancang pelbagai kegiatan dan meng-ingati
kepentingan anggota di tangga pertama, menyebabkan KOPPS disayangi
anggotanya. Koperasi ini terus mendapat sokongan anggotanya dan
bakal menyediakan beberapa lagi projek yang akan menguntungkan anggotanya
sesuai dengan peranan dan penghargaan anggota kepadanya.
|