|
Koperasi Usaha bangunkan
Daerah
KEWUJUDAN syarikat-syarikat kerjasama gotong-royong
yang kebanyakannya berfungsi sebagai penggerak kemajuan setiap daerah
di kebanyakan negeri memberi kesan besar terhadap pembangunan sesebuah
daerah. Bagaimanapun, setelah mengalami be-berapa perubahan, syarikat-syarikat
kerjasama ini diubah namanya kepada koperasi.
Secara tidak langsung, fungsinya turut bertambah
dengan berbagai-bagai agenda dapat dilaksanakan. Hal tersebut diakui
Pengerusi Koperasi Pembangunan Daerah Tampin Gotong Royong Berhad,
Haji Razali Abdul Jalil sewaktu ditemui di pejabat koperasi berkenaan.
“Sejak beberapa tahun lalu, koperasi ini mengalami
pelbagai perubahan. Semuanya menuntut persefahaman anggota dalam
melakukan berbagai-bagai kegiatan terutama yang berkaitan tender-tender
kontrak majlis daerah. Tugasan yang diberi tetap dilaksanakan sebaiknya
sekalipun telah melalui perubahan demi perubahan,” jelasnya.
Koperasi ini didaftar pada 18 Disember 1986 dengan
keanggotaan terkini seramai 300 orang. Koperasi ini sebagaimana
lain-lain koperasi pembangunan daerah (KPD) berfungsi lebih kepada
pembangunan daerah dengan melibat-kan anggota-anggotanya yang ada.
Malah, kepakaran dan ilmu yang dimiliki anggota dimanfaatkan sebaiknya.
Malah, anggota itu sendiri kadangkala lebih senang mendapatkan kontrak-kontrak
tertentu dengan bantuan koperasi.
Secara tidak langsung pendekatan sebegini memberi
peluang kepada anggota menambah pendapatan dan membina kerjaya sendiri
sekalipun, sebahagian kecil terpaksa disumbangkan kepada koperasi.
Terkini, KPD Tampin menyewakan satu lot kedai yang
diusahakan oleh orang perseorangan sebagai sebuah restoran. Koperasi
mengutip RM1000 sebulan daripada pengusaha yang terletak di Tampin
Square itu.
Koperasi ini juga mempunyai sebidang tanah di Mukim
Gemencheh yang ditanam dengan kelapa sawit. Tanah seluas kira-kira
400 ekar itu telah diberikan kepada koperasi oleh Majlis Daerah
atas permintaan ALK koperasi yang gigih melaksanakan projek pembangunan
infrastruktur di daerah berkenaan. Atas tiket tersebut, koperasi
berjaya mendapat tanah itu. Kini kelapa sawit telah berusia kira-kira
enam tahun telahpun mengeluarkan hasil.
Ladang tersebut bagaimanapun dipajakkan kepada pihak
ketiga kerana kemampuan pihak koperasi melaksanakan kerja-kerja
di ladang amat terhad. Syarikat Kumpulan Hua Bok Sendirian Berhad
telah diamanah menjayakan projek tanaman kelapa sawit tersebut dengan
bayaran dikenakan sebanyak RM7333.33 sebulan selama 30 tahun. Hasil
ladang ini diagihkan sebaiknya kepada anggota koperasi dalam bentuk
dividen setiap tahun.
Sebelum ini, koperasi berjaya melaksanakan kerja-kerja
tender Majlis Daerah Tampin dengan kos projek sejumlah RM391 520.25.
Projek menaiktaraf longkang di pekan Tampin itu berjaya dilaksanakan
dengan baik dan telah menarik perhatian pihak majlis untuk terus
memberi kepercayaan kepada koperasi ini bagi kerja-kerja lain pula.
Sebagai Anggota Lembaga Koperasi (ALK) yang paling
lama memegang jawatan dalam koperasi ini, Haji Razali berharap agar
koperasi ini terus hidup dan berjasa kepada anggota. Bukan itu sahaja,
koperasi ini diharap dapat memantapkan lagi pengurusannya dan diberi
kepercayaan penuh oleh kerajaan tempatan mahupun negeri dan disegani
sesuai dengan usia kewujudannya.
|