|
Budaya Menghormati Masa
DALAM membangunkan sesebuah koperasi di negara ini,
banyak faktor yang perlu dipertimbangkan. Antaranya ialah kejujuran,
keikhlasan serta
kesanggupan anggota berkorban dalam menjayakan aktiviti yang dianjurkan
oleh koperasi. Namun demikian, kebanyakan anggota koperasi lupa
akan satu lagi faktor yang penting di dalam membangunkan koperasi
iaitu menghormati dan menghargai masa.
Dapat diperhatikan dengan jelas dan nyata, budaya
masyarakat koperasi meng-hormati masa semakin berkurangan. Jika
dilihat pada pinjaman koperasi dan kehadiran pada pertemuan yang
dianjurkan oleh koperasi, amat susah untuk melihat anggota-anggota
koperasi melaksanakan tanggungjawab tersebut tepat pada masanya.
Anggota-Anggota Lembaga pula, ada di antara mereka
yang tidak mengadakan mesyuarat lembaga tepat pada masanya atau
langsung tidak diadakan. Ada juga koperasi lambat mengadakan mesyuarat
agung.
Malah, ada sesetengah Anggota Lembaga yang sengaja
tidak menghadiri mesyuarat agung tahunan. Mereka menentukan masa
mesyuarat tetapi mereka sendiri yang lewat memulakannya dan tidak
pula menentukan bila mesyuarat patut ditamatkan. Semuanya bergantung
pada keinginan mereka sendiri. Bagi sesetengah Anggota Lembaga pula,
mereka lewat dalam mengambil dan membuat keputusan-keputusan penting
yang akan menentukan masa depan koperasi itu sendiri. Kesemua masalah
ini berpunca daripada ketidakfahaman mereka akan kepentingan masa
yang telah diperuntukkan kepada mereka.
Dari pengalaman ANGKASA sendiri, masih ramai anggota
koperasi terutama kalangan dewasa yang tidak memberi perhatian serius
terhadap program pendidikan yang dianjurkan. Kelewatan menghadiri
kursus dan kelewatan dalam memasuki dewan ketika kursus diadakan
adalah ciri-ciri kurang manis yang ditonjolkan oleh masyarakat koperasi
di negara ini.
Kadangkala majlis ilmu yang dianjurkan oleh ANGKASA
terpaksa dilewatkan sehingga ada kalanya 45 minit kerana menunggu
anggota koperasi yang lain. Ada juga sesetengah majlis ilmu anjuran
ANGKASA terpaksa dibatalkan kerana anggota yang hadir terlalu sedikit.
Masalah ini wujud kerana kurangnya budaya meng-hargai masa oleh
masyarakat koperasi.
Masalah masyarakat koperasi yang mengambil mudah
kepentingan masa mungkin berkaitan dengan budaya orang Melayu itu
sendiri. Di kampung-kampung misalnya, jika terdapat majlis kenduri,
jemputan biasa datang tidak mengikut masa yang ditentukan. Mereka
akan datang bila mereka rasa ingin datang dan pulang juga tidak
mengikut masa yang tertentu.
Cara hidup di kampung juga banyak mempengaruhi pandangan
masyarakat koperasi terhadap masa. Budaya melepak di kedai kopi,
sembang-sembang kosong di balai raya adalah contoh budaya tidak
meng-hormati masa orang Melayu yang banyak mempengaruhi budaya koperasi
itu sendiri. Namun demikian, budaya ini adalah budaya lama yang
sepatutnya pupus bersesuaian dengan perubahan zaman dan persekitaran
koperasi itu sendiri.
Apabila tiada rasa hormat dan meng-hargai masa,
maka tiadalah perancangan dan pengurusan yang sempurna. Malah, perancangan
itu sendiri akan gagal kerana sikap masyarakat koperasi yang tidak
menghargai masa yang merupakan komponen penting dalam kehidupan
mereka. Masyarakat yang tidak meng-hormati masa akan berterusan
menjadi mundur. Jika masa itu disia-siakan, maka sepanjang tempoh
itulah masyarakat koperasi itu akan hidup sia-sia. Keba-nyakan kegagalan
masyarakat koperasi di negara ini boleh dikaitkan dengan keengganan
mereka menghormati dan menghargai masa.
Seperti kata sesetengah cerdik pandai, bagi mencapai
sesuatu kejayaan, ianya perlu dimulakan dengan langkah pertama.
Antara langkah pertama yang penting ialah menghargai dan meng-hormati
masa. Semoga masyarakat koperasi di negara ini akan bertambah maju
dengan mengamalkan budaya menghormati masa sebagai salah satu keutamaan
mereka.
|