|
Koperasi Dan Demokrasi
APABILA membicarakan tentang amalan demokrasi dalam
gerakan koperasi, mungkin ada di antara kita masih kurang jelas
tentang apa yang dimaksudkan dengan demokrasi. Sebenarnya perkataan
demokrasi berasal daripada perkataan Greek iaitu “Demos”
(rakyat) dan “Kratos” (kekuasaan), yang bermaksud kekuasaan
rakyat (Edward Hymas, 1973). Demokrasi juga dapat diertikan sebagai
satu bentuk pemerintahan daripada rakyat (J.Roland Pennock, 1979).
Kawalan demokrasi oleh anggota yang merupakan prinsip
kedua adalah kekuatan dalam koperasi yang perlu diamalkan dan dikekalkan.
Amalan demokrasi adalah satu bentuk kepimpinan yang terletak di
tangan anggota dan dikawal oleh anggota. Walau bagaimanapun ia memerlukan
penglibatan secara aktif di kalangan anggota dalam pembentukan dasar-dasar
dan membuat keputusan. Amalan demokrasi dalam koperasi juga sebenarnya
memberi ruang dan peluang kepada anggota untuk turut sama mentadbir
dan memimpin perjalanan koperasi, kerana jatuh dan bangunnya sesebuah
koperasi itu bergantung kepada penglibatan dan kawalan daripada
anggotanya.
Mesyuarat koperasi adalah landasan terbaik dalam
pengamalan demokrasi oleh anggota. Terdapat beberapa jenis mesyuarat
koperasi seperti Mesyuarat Agung Tahunan, Mesyuarat Agung Khas dan
Mesyuarat Anggota Lembaga. Sebagai contoh di dalam Mesyuarat Agung
Tahunan, anggota koperasi akan bersidang, berbahas, mendapatkan
maklumat dan memberikan mandat serta kuasa kepada Anggota Lembaga
Koperasi (ALK) dan Jawatankuasa Audit Dalaman (JAD) untuk mentadbir
dan mengurus koperasi melalui undian yang ada pada setiap anggota.
Terdapat segelintir anggota yang mengabaikan tanggungjawab
mereka untuk sama-sama melaksanakan amalan demokrasi dengan tidak
hadir atau mengambil bahagian dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Sikap
sebegini boleh menyebabkan perjalanan koperasi tergugat, malahan
boleh mengakibatkan penyelewengan atau pemesongan daripada memenuhi
kepentingan atau kebajikan bersama.
Adalah menjadi tanggungjawab bersama anggota, ALK
dan JAD untuk memastikan amalan dan kawalan demokrasi di dalam koperasi
dapat dilaksanakan dengan berkesan dalam mencapai matlamat penubuhan
koperasi. Terdapat beberapa ciri penting dan menjadi asas yang perlu
difahami bersama untuk memastikan amalan demokrasi dipenuhi.
Ciri pertama ialah perlu adanya persamaan dan kebebasan
di dalam koperasi. Persamaan dan kebebasan sebenarnya memberi peluang
kepada setiap anggota untuk sama-sama melibatkan diri dalam koperasi
tanpa mengira pangkat, usia dan taraf hidup individu. Setiap anggota
berhak untuk menyumbangkan idea, tenaga, modal dan sebagainya tanpa
kekangan oleh mana-mana pihak dalam koperasi yang mungkin mempunyai
agenda-agenda tertentu atau kepentingan tersendiri.
Ciri kedua ialah dari sudut kepentingan pendidikan.
Pendidikan yang berterusan di kalangan anggota, ALK dan JAD adalah
sangat penting sejajar dengan perkembangan amalan demokrasi itu
sendiri.
Memandangkan tahap pendidikan setiap anggota koperasi
berbeza-beza, sudah tentu pemahaman tentang amalan demokrasi turut
berbeza. Oleh itu, untuk mengatasi kelemahan dan kekurangan ini,
ia memerlukan pengorbanan setiap anggota dalam mempertingkatkan
tahap pendidikan dan pengetahuan masing-masing.
ANGKASA melalui Bahagian Pendidikan, Penerangan,
Penerbitan dan Perkhidmatan (B4P) sentiasa memberikan perkhidmatan
pendidikan kepada ahlinya. Namun, anggota koperasi sendiri bertanggungjawab
mencari dan menimba ilmu serta maklumat dari semasa ke semasa. Dengan
adanya keseimbangan ini, diharap-kan pengamalan prinsip kedua akan
dapat dilaksanakan dan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh setiap
anggota koperasi.
Ciri ketiga ialah perlu sikap tolak ansur di kalangan
anggota koperasi. Dalam proses untuk mencapai sesuatu keputusan,
sudah menjadi lumrah akan wujud percanggahan pendapat di antara
ang-gota. Keadaan ini memang tidak dapat dielakkan kerana ia merupakan
proses biasa dalam amalan demokrasi. Apa yang penting, setiap anggota
boleh mengemukakan buah fikiran mereka dengan cara yang tidak mengganggu
kebajikan anggota yang lain. Proses ini perlu dilaksanakan secara
harmoni dan berhemah serta sifat bertolak ansur. Ia perlu dilakukan
untuk memastikan ke-rukunan dan keharmonian yang sedia wujud dalam
koperasi dapat dikekalkan dan diperteguhkan.
Ciri seterusnya ialah kepimpinan me-lalui teladan.
Dalam gerakan koperasi, kepimpinan merupakan nilai kemasyarakatan
yang datangnya daripada sikap bekerja-sama di kalangan anggota.
Barisan kepimpinan yang terpilih dalam koperasi perlu menunjukkan
nilai dan contoh yang baik serta sentiasa berusaha untuk meningkatkan
tahap kemajuan koperasi.
Apabila keadaan ini dapat diwujudkan, maka dengan
sendirinya amalan dan kawalan demokrasi dalam koperasi ter-laksana.
Secara dasarnya barisan kepim-pinan dalam koperasi perlulah menjadi
satu kumpulan yang bertanggungjawab dengan mengamalkan nilai dan
prinsip-prinsip koperasi.
Pengamalan dan kawalan demokrasi dalam koperasi
bergantung sepenuhnya melalui kerjasama yang padu dari semua pihak.
Yang penting, kebajikan anggota tidak diabaikan kerana barisan kepimpinan
koperasi perlu melihat pemilihan mereka adalah melalui amalan demokrasi.
Oleh itu, hubungan dan kerjasama yang baik serta harmoni perlu diwujudkan
dalam koperasi untuk memastikan perpaduan dapat dikekalkan.
– BADRUL HIZAM MOHD. SHAFIEI
|