|
Koperasi Kredit Bina Rumah
TAMAN Desa Impian adalah sebuah projek perumahan
terunggul yang
dimajukan oleh Koperasi Kredit Pekerja-Pekerja Berhad di Kampung
Pasang Api, Bagan Datoh, Perak. Ia merupakan projek perumahan pertama
koperasi. Malah, lebih membanggakan kerana merupakan projek perumahan
pertama di kawasan pekan Bagan Datoh.
Demikian menurut Pengerusi Koperasi Kredit Pekerja-Pekerja
Berhad, Dr. M. Letchumanan kepada wakil PELANCAR di pejabat koperasi
baru-baru ini. Matlamat utama koperasi menceburi sektor perumahan
ini bukanlah untuk mengaut keuntungan sebaliknya, berusaha memberi
rumah yang bermutu tinggi dengan harga yang berpatutan kepada masyarakat,
khususnya anggota. Sekiranya dikaji, harga jualan rumah ini adalah
sangat berpatutan, bagi rumah kos rendah dan sederhana dengan kawasan
binaan yang luas dan reka bentuk rumah yang menarik.
Sejak penubuhannya 23 tahun lalu, Koperasi Kredit
ini telah mencapai kemajuan melalui beberapa bidang kegiatan. Oleh
itu katanya, koperasi perlu berkembang dan menjalankan kegiatan
baru bagi memenuhi keperluan seramai 38 000 anggotanya. Menurut
beliau, menceburi sektor perumahan ini bukanlah perkara mudah. Koperasi
perlu berhadapan dengan risiko yang tinggi dan sebagainya. Dengan
membeli sebidang tanah seluas 10 ekar di Bagan Datoh bernilai RM900
000, Koperasi Kredit Pekerja Pekerja Berhad telah menjalankan sebuah
projek perumahan yang dimulakan pada tahun 1998 dengan anggaran
kos keseluruhan pembinaannya sebanyak RM6 juta.
Sepanjang tempoh menyiapkan projek perumahan ini,
koperasi menghadapi banyak kesukaran dan cabaran terutamanya sewaktu
proses penyiapan fasa pertama (rumah kedai) dan kedua (rumah kos
rendah dan empat unit rumah kos sederhana). Antaranya ialah kawasan
bekerja yang sukar, permukaan tanah yang tidak baik, kesukaran mendapatkan
sumber dan bahan binaan. Bagaimanapun jelasnya, sehingga kini koperasi
telah berjaya menyiapkan dua daripada tiga fasa projek pembinaan
ini. Katanya, pernah pada tahun 80-an dan 90-an, sebuah syarikat
pemaju pe-rumahan cuba membangunkan projek perumahan di tapak ini
tetapi tidak berjaya, walaupun ramai pembeli telah membayar wang
pendahuluan.
Tidak dinafikan bahawa Bagan Datoh adalah kawasan
luar bandar yang agak perlahan dari segi pembangunan infrastruktur
dan sebagainya. Jaraknya 46 kilometer dari Teluk Intan yang merupa-kan
pekan yang paling besar di daerah Hilir Perak, kurang mendapat tumpuan
terutamanya daripada pemaju perumahan yang tidak mahu mengambil
risiko ketiadaan pembeli dan beberapa faktor lagi. Ini jelas dilihat
di mana tiada sebuah pun taman perumahan yang wujud di kawasan ini.
Bagimanapun melalui perancangan jangka panjang koperasi,
beliau yakin projek perumahan ini akan berjalan lancar dan mampu
mendapat sambutan daripada pembeli. Antara sebabnya, harga rumah
ini lebih murah daripada harga rumah di kawasan yang membangun akan
menarik pembeli dari luar sebagai pelaburan masa hadapan.
Ditanya tentang sasaran pembeli, beliau menyatakan
bahawa keutamaan diberikan kepada anggota koperasi, namun jualan
rumah ini turut dibuka kepada masyarakat setempat. Inilah matlamat
utama koperasi menceburi sektor ini. Menurutnya, koperasi tidak
akan menghadapi masalah untuk mendapatkan pembeli kerana koperasi
dengan bantuan kerajaan tempatan telah memberi senarai nama pembeli
yang berdaftar kepada koperasi untuk membeli rumah kos rendah. Katanya,
pembeli-pembeli ini telah dipelawa dan diberi pilihan pertama untuk
membeli rumah-rumah kos rendah ini. Koperasi menurut beliau, berhasrat
untuk menyiapkan projek perumahan di Bagan Datoh ini dan memberi
tempat kediaman yang bermutu tinggi kepada anggota dan juga kepada
penduduk di sini.
Diharap Taman Desa Impian ini akan menjadi taman
perumahan yang terunggul di pekan Bagan Datoh. Maka, pada tarikh
13 Disember 2003 bertempat di Kampung Pasang Api yang jaraknya satu
kilometer dari pekan Bagan Datoh telah berlangsung majlis Pelancaran
Jualan Projek Perumahan Taman Desa Impian. Majlis perasmian tersebut
yang diadakan di tapak projek perumahan telah disempurnakan oleh
Ahli Parlimen Kawasan Bagan Datoh, Dato’ Haji Ahmad Zahid
Hamidi.
Berucap di majlis tersebut beliau menyatakan, langkah
Koperasi Kredit Pekerja-Pekerja Berhad memajukan projek perumahan
di kawasan Bagan Datoh merupakan satu langkah yang harus dipuji
dan dihargai. Ini kerana, ianya merupakan projek perumahan koperasi
yang pertama dan juga projek perumahan swasta yang pertama di sini.
Koperasi telah membuktikan bahawa ianya mampu berkembang dan tidak
hanya menjalankan kegiatan kredit semata-mata. Sebaliknya, telah
mengorak selangkah ke hadapan dengan menjalankan kegiatan baru ini.
Sepertimana yang kita sedia maklum, menceburi bidang
perumahan bukanlah satu perkara mudah. Ianya memerlukan perancangan
yang teliti kerana melibatkan pelbagai pihak, peruntukan kewangan
yang besar, jangka masa yang lama untuk menyiapkan sesuatu projek
dan sebagainya. Namun beliau berasa yakin dengan kemampuan koperasi
kredit ini yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pembangunan
ekonominya sejak ditubuhkan serta sokongan padu yang diperlihatkan
oleh anggotanya.
Sebagai Ahli Parlimen kawasan ini, beliau menyatakan
bahawa Bagan Datoh merupakan kawasan luar bandar yang agak perlahan
dari segi pembangunan infrastrukturnya seperti jalan raya serta
kekurangan kemudahan asas yang lain. Kebanyakan rumah-rumah yang
terdapat di sini adalah rumah kampung dan hanya ada sebuah pekan
kecil sedangkan, sebahagiannya lagi diliputi dengan ladang-ladang
kelapa.
Inilah projek perumahan pertama di mana lebih 50
peratus proses pembinaannya telah berjaya dilaksanakan. Beliau tidak
menafikan, kebanyakan pemaju-pemaju perumahan lebih berminat untuk
menjalankan sesuatu projek perumahan di kawasan yang menjadi tumpuan
awam serta memiliki nilai tanah yang tinggi.
Koperasi Kredit Pekerja-Pekerja Berhad telah didaftarkan
pada 2 September 1980 kini, keanggotaannya seramai 38 000 orang
dan memiliki jumlah harta sebanyak RM52 juta. Dengan matlamat membangunkan
sosioekonomi anggota, koperasi ini telah bermula dengan menjalankan
kegiatan kredit dan disusuli dengan beberapa kegiatan lain, mengikut
keperluan anggota. Taman Desa Impian Bagan Datoh ini merupakan titik
permulaan bagi koperasi ini dalam menceburi bidang perumahan.
Projek perumahan Taman Desa Impian melibatkan pembinaan
berperingkat dalam tiga fasa di atas tanah seluas 8.4 ekar. Fasa
pertama ialah pembangunan enam unit rumah kedai satu tingkat dengan
lot bersaiz standard sebesar 20' x 80'. Fasa kedua melibatkan pembangunan
66 unit rumah kos rendah dua tingkat dengan luas lot 16' x 60' kaki
bagi setiap rumah dan empat unit rumah teres kos sederhana seluas
20' x 70' kaki. Taman Desa Impian turut dilengkapi dengan kemudahan
dan keperluan seperti surau, dewan serbaguna, taman permainan kanak-kanak,
tangki air dan pencawang elektrik.
Rumah kedai dijual dengan harga RM88 800 untuk bumiputera
dan tambahan 10 peratus bagi bukan bumiputera, rumah kos rendah
dua tingkat pada harga RM35 000 dan rumah teres satu tingkat dijual
pada harga RM68 800 bagi bumiputera dan RM74 000 bagi bukan bumiputera.
Terdapat tiga institusi kewangan yang ditawarkan
kepada pembeli untuk mendapatkan pinjaman pembelian rumah ini iaitu
Perwira Affin Bank, Maybank dan Bank Bumiputra Commerce. Projek
perumahan Taman Desa Impian dijalankan dengan kerjasama sebuah syarikat
swasta iaitu TLC Associates Sdn. Bhd. selaku pengurus projek ini.
|