|
Lawatan Menarik Berinfomasi
SAMBUTAN Hari Koperasi Sekolah (HKS) yang dianjurkan
oleh ANGKASA selaku badan apex koperasi di negara ini diadakan setiap
tahun sebagai satu agenda tetapnya. Berbagai-bagai aturcara diadakan
di sepanjang tempoh itu seperti pertandingan kuiz, pantun, permainan
petanq, menulis esei dan juga pertandingan lukisan.
Kemeriahan HKS dapat dirasai apabila kemunculan
lebih banyak penyertaan daripada para pelajar sekolah menengah di
negara ini. Khusus tentang penyertaan penulisan esei dan lukisan,
setiap tahun kualiti persembahan serta karya peserta dilihat bertambah
baik dan hasilnya juga membanggakan apabila karya-karya tersebut
datangnya dari kelompok pelajar yang berbagai-bagai kaum.
ANGKASA selaku penganjur sambutan HKS ini telah
menyediakan imbuhan dalam pelbagai bentuk kepada para pemenang sebagai
satu galakan dan rangsangan baru. Antaranya ialah, hadiah baucar
pembelian buku-buku bernilai RM400 (bagi kategori menengah atas
atau kategori A dan lain-lain mengikut tahap), langganan majalah
seperti Dewan Masyarakat dan KOSMIK selama setahun dan juga tajaan
lawatan sambil belajar.
Berikutan itu, satu lawatan sambil belajar sebagai
hadiah kepada para pemenang pertandingan menulis esei dan lukisan
telah diadakan di sekitar Kuala Lumpur, Disember lalu. Antara tempat-tempat
yang dilawati dalam tempoh tiga hari, dua malam itu ialah Koperasi
Kedaibuku Universiti Malaya (KKUM), Balai Seni Lukis Negara, Petrosains
KLCC, Putrajaya dan Paya Wetland Sepang.
Menurut Pegawai Penyelaras, Puan Siti Aishah Jaffar
lawatan itu disertai oleh dua orang peserta iaitu Anis Haji Shaari,
pemenang pertandingan menulis esei kategori menengah atas dan Chen
Cho Hing, pemenang pertandingan lukisan kategori menengah atas ternyata
berpuas hati dengan sesi lawatan yang dianjurkan pihak ANGKASA itu.
Menurut Anis, 17, beliau begitu gembira dengan hadiah
lawatan tersebut memandangkan kebanyakan tempat yang dilawati itu
belum pernah dikunjunginya. Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan
Agama Baling, Kedah itu turut mengakui dapat menimba pengetahuan
dan pengalaman baru hasil lawatan tersebut.
Beliau yang ditemani rakan karibnya, Nur Fathiyahton
Fisal, turut gembira hasil nukilannya terpilih untuk memenangi hadiah
tersebut dan secara tidak langsung berpeluang membawa teman rapatnya
turut serta dalam lawatan itu. Beliau juga gembira bertemu rakan
baru yang kreatif dan ceria seperti Cho Hing. Dari situ, dapatlah
mereka bertukar-tukar pandangan, berkongsi idea dan juga minat.
Bagi Chen Cho Hing, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan
Bandar Kuching No.1, Kuching, Sarawak, hadiah lawatan ini merupakan
satu peluang baginya mengenali Kuala Lumpur lebih dekat lagi. Malah,
peluang keemasan ini sedikit se-banyak dapat mengisi ruang cuti
persekolahannya yang sering terbatas di sekitar Sarawak, negeri
kelahirannya itu sahaja.
Beliau ditemani gurunya, Puan Storey Anak Jawang
dengan pembiayaan tiket kapal terbang sepenuhnya oleh koperasi sekolah.
Kegembiraannya turut dirasai sama guru pengiringnya itu yang sudah
lama tidak menjejakkan kaki di Kuala Lumpur sejak meninggalkan alam
pengajian di universiti.
Menurut Cho Hing lagi, lawatan ke Balai Seni Lukis
Negara amat menarik minatnya. Banyak perkara yang dapat di-pelajarinya
terutama berkaitan lukisan-lukisan tangan para artis profesional
dan amatur yang dipaparkan di galeri tersebut. Beliau turut menyatakan
hasratnya untuk bergelar seorang artis profesional satu hari nanti.
Kesemua peserta lawatan kelihatan agak penat dengan
jadual lawatan yang padat. Namun begitu, input yang diperolehi memberi
makna besar kepada mereka terutama apabila berpeluang mengunjungi
pusat info seperti Petro-sains di KLCC. Banyak pengetahuan berkenaan
dunia petroleum dan juga sejarah kejadiannya dari peringkat per-mulaan
hinggalah yang terkini dan semua teknologi yang berkaitannya diperolehi.
Peserta-peserta juga berpeluang menyaksikan beberapa
pameran yang hanya diadakan untuk tempoh tertentu seperti pameran
potret bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pameran
’45 @ 45' Balai Seni Lukis Negara (sempena ulang tahun Balai
Seni Lukis Negara yang ke-45). Pameran-pameran tersebut dikatakan
berakhir pada perte-ngahan Januari 2004 dan ini merupakan peluang
keemasan bagi mereka menyaksi-kan pameran julung-julung kalinya
itu.
Selain itu, peserta juga dibawa ke pusat pentadbiran
kerajaan Malaysia yang baru iaitu di Putrajaya. Perjalanan menyusuri
tasik Putrajaya iaitu tasik buatan manusia seluas 600 hektar memberi
pengalaman menarik yang sukar dilupakan semua peserta. Keindahan
dan kegemilangan Putrajaya dapat dinikmati dengan menaiki Cruise
Tasik Putrajaya sambil diberi pene-rangan khusus oleh jurupandu
lawatan dan semua krew bot persiaran terbabit.
Peserta juga tidak ketinggalan me-nikmati kedamaian
udara dan suasana nyaman di Paya Wetland Sepang yang baru sahaja
dibuka kira-kira setahun lalu kepada umum. Peserta boleh memilih
sama ada ingin menaiki tram (kereta api mini) atau berbasikal mengelilingi
tasik lombong yang diubahsuai kepada taman-taman rekreasi yang indah.
Kelihatan bertaburan di permukaan tasik paya bunga-bunga
teratai dan kiambang yang mekar berkembang. Udara petang bertiup
lembut dengan kicauan burung dan sesekali terdengar ketawa para
pengunjung yang bertandang ke situ bersama keluarga. Para peserta
juga dibawa ke rumah contoh masyarakat Melayu tradisional yang serba
lengkap dengan keperluan asasnya seperti perigi, sampan dan juga
dapur kayu sebagaimana ciri-ciri rumah masyarakat Melayu silam.
Rombongan ini juga dibawa melihat kolam pembiakan
buaya milik pusat rekreasi ini tidak jauh dari tapak rumah tradisional.
Buaya yang dipelihara pihak pusat rekreasi ini sukar dilihat bermain-main
di tepian kolam. Hanya pengunjung bertuah sahaja dapat menyaksikannya
dari jarak yang dekat. Adakalanya, pengunjung akan menunggu waktu
buaya-buaya di sini diberi makan oleh pihak pusat rekreasi ini untuk
menyaksikannya dengan lebih dekat akan keunikan reptilia tersebut.
Peserta lawatan juga, sekalipun terlalu penat dengan
jadual hari terakhir, masih sudi menyertai pihak penganjur di majlis
jamuan makan malam secara ringkas dan tidak rasmi di sebuah restoran
makanan laut di Kelana Jaya.
Kedua-dua peserta lawatan itu diberikan sumbangan
wang saguhati tambang perjalanan oleh pihak ANGKASA sebelum berangkat
pulang. Kemesraan antara peserta lawatan dan juga pihak penganjur
jelas terbayang dalam majlis ringkas itu. Kebanyakan mereka turut
berharap agar dapat menyertai lagi lawatan seumpama itu andai berpeluang.2
– NORLAILI MANSOR
|