|
ANGKASA mantapkan Panel
Penceramah
ANGKASA melalui Bahagian Pendidikan, Penerangan,
Penerbitan dan
Perkhidmatan (B4P) telah menganjurkan Bengkel Penceramah yang
diadakan pada 17 hingga 19 Disember 2003 bertempat di Hotel Golden
Legacy, Melaka. Ini merupakan kali kedua ianya dianjurkan. Kali
pertama bengkel seumpamanya diadakan ialah pada 27 - 29 September
2002 bertempat di UiTM Resort & Convention Centre (INTEKMA),
Shah Alam.
Antara tujuan ianya diadakan ialah untuk meningkatkan
kefahaman mengenai definisi, nilai-nilai dan prinsip koperasi kepada
peserta. Selain itu, ianya untuk mening-katkan keupayaan dan keseragaman
penyampaian di kalangan panel penceramah.
Ketika berucap mengalu-alukan kehadiran peserta
di majlis tersebut, Naib Yang Dipertua merangkap Pengerusi Jawatankuasa
B4P ANGKASA, Hajah Rahaiah Baheran berkata, panel penceramah yang
telah dilantik diharap dapat menggunakan peluang dan kesempatan
ini bagi menambah dan memantapkan lagi ilmu yang sedia ada. Melalui
bengkel seumpama ini, peserta akan dapat bertukar-tukar fikiran
dan pengalaman di antara satu sama lain.
Katanya, B4P sentiasa meneliti dan mengkaji cara-cara
penyampaian yang baik, mudah difahami dan berkesan kepada anggota
koperasi. Pada masa sama, modul-modul yang sedia ada akan ditambah
dan terus dimantapkan lagi demi gerakan koperasi di negara ini.
Bagi memudahkan peserta mengikuti perjalanan bengkel
tersebut, Ketua Fasilitator, Encik Abu Bakar Sidek yang sangat berpengalaman
dalam bidang koperasi telah dilantik mengendalikan Bengkel Panel
Penceramah kali ini.
Antara penekanan yang diberikan oleh beliau ialah
setiap peserta mestilah menepati masa, memiliki ketahanan diri,
mesti terlibat secara langsung di dalam setiap bengkel yang diadakan
dan mengikuti arahan yang diberikan oleh pihak penganjur.
Encik Abu Bakar berkata, untuk menjadi penceramah
yang baik, seseorang itu perlu bijak menggunakan ilmu dan pengalamannya
untuk menarik perhatian pendengar atau hadirin sepanjang program
yang diatur. Selain itu, penceramah mesti pandai menyesuaikan keadaan
dan tahu menilai tahap pengetahuan peserta yang hadir.
Katanya, penceramah perlu menggunakan lima faktor
utama ketika menyampaikan ceramah supaya ianya lebih berkesan. Lima
faktor tersebut ialah fleksibel, menyesuaikan keadaan, proaktif,
bertindak balas dan memiliki jati diri.
Justeru katanya, setiap penceramah perlu menambah
ilmu dari semasa ke semasa, selain daripada bersikap positif dalam
apa jua keadaan.
Seramai 28 orang panel penceramah daripada koperator seluruh negara
hadir di dalam bengkel kali ini. Lapan orang daripadanya terdiri
daripada Pegawai Pelajaran ANGKASA yang baru dilantik. Kemudian,
peserta dibahagikan kepada lima kumpulan bagi membincangkan tajuk-tajuk
bengkel yang disediakan oleh pihak penganjur.
Sebanyak tiga tajuk utama berkaitan koperasi diketengahkan
untuk perbincangan iaitu Definisi Koperasi, Nilai Asas dan Etika
Koperasi dan Tujuh Prinsip Koperasi.
Selama 30 – 40 minit diperuntukkan kepada
setiap kumpulan bagi mem-bincangkan setiap tajuk bengkel tersebut.
Setelah itu, Ketua Fasilitator akan mem-persilakan salah seorang
daripada setiap kumpulan mempersembahkan hasil per-bincangan mereka.
Hasil daripada persembahan tersebut, Ketua Fasilitator
akan membuat beberapa komen untuk diambil perhatian dan tindakan
oleh peserta. Selama enam minit masa diberikan kepada setiap peserta
untuk menyampaikan ceramah mereka mengikut tajuk-tajuk bengkel yang
dinyatakan tadi.
Bagi memudahkan perbincangan, setiap kumpulan akan
dikendalikan atau dibimbing oleh seorang Fasilitator yang terdiri
daripada Pegawai Pelajaran ANG-KASA. Sepanjang bengkel ini berjalan,
rakaman video turut dijalankan. Tujuan rakaman dibuat ialah untuk
memberi peluang kepada peserta menilai semula persembahan mereka.
Tayangan rakaman semula video ini diadakan pada
hari terakhir bengkel ini berlangsung. Melalui rakaman tersebut,
setiap peserta dikehendaki memberi komen terhadap persembahan mereka
sendiri dan juga rakan-rakan seperjuangan.
Sebagai Ketua Fasilitator, Encik Abu Bakar Sidek
turut memberikan teguran yang membina dan ikhlas kepada setiap persembahan
yang telah dirakamkan itu. Antara teguran yang sering dibuat ialah
kaedah-kaedah menghuraikan setiap topik, teknik penyampaian dan
kebo-lehan menarik perhatian hadirin.
Turut serta di dalam Bengkel Panel penceramah kali
ini ialah dua orang Jawatan-kuasa Tadbir Kebangsaan merangkap Ahli
Jawatankuasa Bahagian 4P iaitu Pengerusi JPN Johor, Prof. Madya
Haji Mohd. Salleh Haji Mohamed dan Pengerusi JPN Negeri Sembilan,
Haji Aliasak Haji Ambia. Mereka bertindak sebagai penilai dan merumus
perjalanan bengkel yang diadakan selama tiga hari dua malam tersebut.
Haji Aliasak dalam rumusannya ber-kata, setiap penceramah
mestilah dapat membawa anggota koperasi berada di landasan yang
betul dan mencintai koperasi masing-masing. Untuk tujuan tersebut,
setiap peserta mestilah ada kesungguhan dan ketrampilan untuk meningkatkan
pengetahuan di kalangan anggota koperasi.
Katanya, melalui bengkel seumpama ini setiap peserta
perlulah menggunakan ruang dan peluang yang tersedia dengan sebaik
mungkin sesuai dengan tujuan ianya diadakan. Antaranya ialah untuk
menyelaras setiap penceramah supaya menggunakan kaedah-kaedah, teknik
dan penyampaian yang baik dan menarik.
Sementara itu, Prof. Madya Haji Mohd. Salleh berkata,
setiap penceramah perlu mengamalkan 10 perkara di dalam setiap ceramah
yang hendak disampaikan iaitu mukadimah, susunan, tarikan, contoh,
huraian, pandangan, fakta, ringkasan fakta, agihan masa dan maklumat.
Selain daripada itu katanya, penceramah perlulah bijak menarik perhatian
orang yang mendengar. Untuk itu, seseorang penceramah perlulah dapat
memperkasakan penyampaiannya dengan menggunakan komunikasi yang
betul dan sesuai dengan tahap orang yang menghadirinya.
Prof. Madya Haji Mohd. Salleh turut mengutarakan
formula kunci kejayaan kepada peserta iaitu Ilmu, Amal dan Iman
(IAI). Kunci kejayaan itu tidak akan terbuka sekiranya tiada latihan
di dalam diri masing-masing.
Sebelum majlis berakhir, Ketua Bahagian 4P, Encik
Hasnan Mustapha telah dijemput memberi ucapan. Katanya, bengkel
ini diadakan ialah untuk meningkatkan lagi mutu panel penceramah
yang telah dilantik, di samping memberi pengalaman baru kepada peserta
yang hadir.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada peserta,
Ketua Fasilitator, Pengerusi JPN yang hadir dan pegawai-pegawai
yang terbabit menjayakan Bengkel Panel Ceramah kali kedua ini. Beliau
mengharapkan setiap peserta dapat memanfaatkannya sebaik mungkin
demi kejayaan gerakan koperasi di negara ini.
– MUHAMMAD HARUN
|