|
ANGKASA
Anjur Kursus Untuk Pengasuh
KEPERLUAN mewujudkan pusat jagaan harian bagi kanak-kanak
kini semakin diberi perhatian oleh banyak pihak. Dengan adanya pusat
seumpama ini akan memudahkan ibu bapa menghantar anak masing-masing
sewaktu mereka keluar bekerja dan kanak-kanak ditinggalkan dalam
jagaan yang sesuai oleh pengasuhnya.
Meskipun masalah penjagaan kanak-kanak ini boleh
diatasi dengan menggaji pembantu rumah, namun pelbagai masalah akan
timbul terutamanya yang berkaitan dengan didikan kepada kanak-kanak
berkenaan, pembantu yang sesuai dan juga pengaruh budaya pengasuh
yang mungkin berbeza.
Malah, isu penjagaan kanak-kanak ini pernah mendapat
perhatian banyak pihak sehinggakan Kementerian Sumber Manusia telah
menyarankan agar majikan yang mempunyai ramai pekerja menubuhkan
pusat jagaan seperti ini di premis masing-masing.
Sememangnya jika ibu bapa dapat menghantar anak-anak
mereka untuk dijaga secara sewajarnya dan diyakini, ia melegakan
mereka. Ini sekaligus akan meningkatkan tahap produktiviti ibu bapa
yang merupakan tenaga kerja yang juga dapat membantu meningkatkan
produktiviti negara.
Lantaran itu, usaha ANGKASA me-wujudkan Taman Cahaya Mata (TCM)
yang merupakan pusat jagaan harian untuk anak-anak kakitangannya
merupa-kan pendekatan yang paling baik bagi mengatasi masalah tersebut.
Mereka tidak lagi tercari-cari tempat yang sesuai untuk menempatkan
anak-anak mereka. Sehubungan itu Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Diraja
Ungku A. Aziz sentiasa memberikan perhatian dalam mengatasi masalah
ini dan beliau sering menyarankan bahawa penjagaan kanak-kanak sangat
penting kerana ia berkait rapat dengan pembentukan sahsiah anak-anak.
Beliau kemudiannya mengilhamkan supaya sebuah pusat
jagaan kanak-kanak diwujudkan di ANGKASA yang diharap dapat mengatasi
masalah penjagaan anak-anak kakitangan.
Beliau berharap dengan adanya pusat seumpama itu,
kanak-kanak berkenaan mendapat penjagaan yang baik dan sesuai dengan
proses pembesaran mereka selain daripada memudahkan ibu bapa memberikan
perhatian kepada mereka.
Prof. Diraja Ungku A. Aziz juga berharap kemudahan
pusat jagaan kanak-kanak seperti ini dapat memberi peluang kepada
kakitangan yang juga ibu bapa kanak-kanak memberikan pandangan yang
berguna dalam meningkatkan mutu khidmat pusat ini mengikut keperluan.
Idea penubuhan pusat seumpama ini oleh Prof. Diraja
Ungku A. Aziz kini ternyata memberikan kemudahan yang sangat baik
kepada kakitangan ANGKASA dalam urusan penjagaan anak ini. Mereka
yang menghantar anak ke pusat jagaan ini tentunya tidak perlu bimbang
kerana anak-anak mereka berada seolah-olah “di depan mata”
mereka.
Kini selepas diwujudkan TCM tersebut di ANGKASA,
koperasi-koperasi juga digalak supaya mengkaji mengenai keperluan
penubuhan pusat jagaan harian seperti ini sebagai usaha memberikan
perkhidmatan kepada para anggota mereka. Lantaran itu koperasi-koperasi
juga disarankan supaya menubuhkan pusat jagaan seperti ini agar
anggota mereka tidak lagi tercari-cari tempat yang sesuai bagi mendapatkan
khidmat jagaan anak. Sebaliknya, khidmat yang dicari-cari itu mampu
disediakan oleh koperasi masing-masing.
Pusat jagaan harian kanak-kanak yang dikendalikan
oleh ANGKASA ini juga boleh dijadikan model kepada mana-mana koperasi
yang ingin menubuhkan pusat seumpama ini terutamanya dari segi keselamatan,
kebersihan, keselesaan kanak-kanak dan kesesuaian kegiatan untuk
kanak-kanak.
Sehubungan itu Naib Yang Dipertua ANGKASA, Hajah
Rahaiah Baheran berkata koperasi yang berminat untuk menubuhkan
TCM boleh berkunjung ke ANGKASA dan meninjau perjalanan TCM yang
terdapat di ANGKASA.
“Pengalaman yang ada pada ANGKASA dalam menjalankan operasi
TCM boleh dikongsi bersama mana-mana koperasi yang berminat menjalankan
kegiatan seumpama ini,” jelas Hajah Rahaiah.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bahagian
Pendidikan, Penerangan, Penerbitan dan Perkhidmatan (Bahagian 4P)
berkata ANGKASA turut mengadakan Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak
(KAAK) yang dihadiri oleh ramai peserta yang berminat dalam bidang
ini.
Beliau berkata, sehingga kini ANGKASA telah menganjurkan
empat KAAK dan ia mendapat sambutan yang sangat baik daripada para
peserta. Terbaru, KAAK diadakan pada 8 hingga 28 Februari 2004 bertempat
di ibu pejabat ANGKASA di Kelana Jaya. Kuliah yang diadakan juga
turut menyediakan penceramah yang berpengalaman serta berpendidikan
dan penceramah daripada agensi kerajaan juga menerangkan mengenai
perkara-perkara asas yang perlu dalam menubuhkan TCM.
Menurut beliau, setiap koperasi yang berminat untuk
menubuhkan pusat seumpama ini perlu mempunyai pengasuh yang telah
mengikuti KAAK dan lulus dalam peperiksaan berkaitan. Ini merupakan
salah satu usaha ANGKASA dalam membantu koperasi-koperasi menyediakan
tenaga pengasuh dan dapat menyediakan khidmat seumpama itu untuk
para anggotanya.
Beliau turut menyarankan agar koperasi-koperasi
juga dapat menubuhkan jawatankuasa pada peringkat koperasi bagi
mengkaji keperluan penubuhan TCM sesuai dengan keperluan semasa
para anggota. Melalui kajian yang dijalankan ini, koperasi dapat
mengenal pasti keperluan anggota untuk dijadikan asas perancangan
menjayakan TCM.
“Keperluan pusat jagaan kanak-kanak ini menjadi perkara penting
dan koperasi-koperasi perlu memanfaatkan peluang berkursus yang
disediakan oleh ANGKASA berkaitan TCM demi kebaikan koperasi,”
jelas Hajah Rahaiah.
Hajah Rahaiah berharap dengan adanya usaha murni
pihak ANGKASA ini, koperasi-koperasi akan dapat meningkatkan khidmat
mereka kepada anggota yang seterusnya akan menjadikan koperasi institusi
milik bersama yang sentiasa menjaga keperluan dan kepentingan para
anggotanya.
Beliau berkata, ANGKASA melalui Bahagian 4P sentiasa
memberi penekanan untuk menyediakan peluang menambah ilmu pengetahuan
yang terbaik menerusi kursus-kursus yang diadakan. Melalui cara
ini, lebih ramai koperator akan dapat meningkatkan pengetahuan mereka
dan ia boleh dijadikan aset bagi membantu kejayaan koperasi masing-masing.
Menurut Hajah Rahaiah, khidmat jagaan kanak-kanak yang kini telah
menjadi salah satu perniagaan yang berkembang pesat sewajarnya mendapat
perhatian koperasi-koperasi kerana jika koperasi dapat menjalankan
kegiatan ini, mereka akan mendapat pulangan selain daripada memberi
perkhidmatan terbaik kepada para anggota koperasi. “Ini merupakan
satu ilmu perniagaan yang diatur oleh ANGKASA kepada koperasi-koperasi
kerana bidang per-niagaan penjagaan kanak-kanak kini berkembang
dengan pesat. Koperasi boleh mendapatkan untung hasil per-niagaan
ini dan ia juga merupakan salah satu khidmat yang diperlukan oleh
anggota koperasi,” jelas beliau.
Dengan adanya latihan kepada pengasuh yang disediakan
oleh ANGKASA, TCM dapat diuruskan dengan baik dan teratur dan ia
memberi imej yang baik kepada koperasi yang mengusahakannya.
Melalui latihan ini juga beliau berkata, ANGKASA
turut berperanan untuk mem-bimbing koperasi-koperasi supaya dapat
mengendalikan TCM dengan baik dan memberi manfaat kepada anggota.
– BORHAN MAT ARIS
|