KOTAXI
- Cadangan ANGKASA Disambut Baik
BELIA koperasi – bukan mudah untuk mentafsir
kumpulan ini. Di peringkat global iaitu Ikatan Koperasi Antarabangsa,
kumpulan ini biasanya anggota koperasi berusia antara 16 ke 35 tahun. Sedikit
berbeza, di Malaysia kita mempunyai
dua kategori belia koperasi. Pertama adalah anggota koperasi sekolah yang terdiri
daripada para pelajar sekolah menengah berusia antara 12 hingga 18 tahun. Kategori
kedua adalah golongan yang berusia 18 tahun dan ke atas.
Untuk mentakrif golongan
kedua ini pula, agak sukar kerana dari segi keang-gotaan
koperasi belia, ada yang sudah pencen tetapi masih aktif sebagai
anggota.
Tidak
kurang juga, ada yang masih memegang jawatan sebagai anggota lembaga. Jika
dalam parti politik, UMNO misalnya, jelas sekali meletakkan
had umur sehingga 35 tahun
bagi sayap Puterinya dan 40 kepada barisan Pemuda.
Yang Dipertua ANGKASA, Prof.
Diraja Ungku A. Aziz (Pak Ungku) ketika mengulas tentang
definisi belia, menggunakan pendekatan lebih mudah mengatakan, “Anda
bukan lagi belia jika lutut sudah berkedut”. Namun katanya, belia biasanya
adalah mereka yang berumur 16 ke 25 tahun.
Beliau berseloroh sedemikian semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis
perasmian Seminar Belia Koperasi ICA Serantau 2004 di Shah Alam awal September
lalu. Seminar tersebut berjaya menarik seramai 230 peserta dari 11 negara.
Peserta yang hadir bukan hanya dari rantau Asia Pasifik, malahan juga dari
benua Amerika
dan Eropah. Mereka datang dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand,
Filipina, Jepun, Cambodia, Sri Lanka, India, Amerika Utara dan United Kingdom.
Tema seminar
ialah “Penglibatan Belia Koperasi Dalam Persekitaran Yang Berubah-ubah” (Co-op
Youth In The Changing Environment).
Biar apa pun definisi belia, kumpulan ini penting kepada masyarakat amnya
dan gerakan koperasi khususnya. Golongan ini selalunya dikatakan pemimpin
masa
depan. Bagaimanapun, mereka sebenarnya relevan, penting dan mempunyai peranan
yang besar
pada masa dan ketika ini. Malah, mereka juga boleh menjadi pemimpin hari
ini jika diberi ruang dan peluang.
Bersama-sama dengan golongan dewasa, belia mampu mencorak masa depan yang
lebih gemilang dan merancakkan lagi pembangunan dan kemajuan gerakan koperasi,
masyarakat,
negara dan dunia. Gabungan dua generasi ini mampu menjadikan gerakan koperasi
kukuh dan kuat serta berupaya menghadapi apa jua cabaran dan persaingan dalam
era globalisasi yang menyaksikan pembaharuan berlaku dengan begitu pantas
sekali.
Merujuk kepada tema seminar, Pak Ungku berpendapat bukanlah bermaksud keadaan
dan sekeliling pada masa dahulu tidak mengalami perubahan. Cuma, rentak atau
halaju perubahan yang berlaku kini adalah lebih pantas dan cepat. Dengan
demikian menimbulkan masalah kepada belia hari ini, memerlukan mereka mempersiapkan
diri agar tidak ketinggalan di belakang.
Berhadapan dengan keadaan sedemikian, Pak Ungku memberikan pendapat bahawa
rentak perubahan yang pantas berlaku sebenarnya boleh membuka peluang yang
luas kepada
gerakan koperasi kerana mempunyai kelebihan tersendiri yang tidak dimiliki
oleh pihak lain (co-operative advantage). Kelebihan koperasi boleh dikuluhumkan
sebagai
bekerja bersama-sama demi manfaat bersama. Justeru, beliau menggesa belia
memanfaatkan kelebihan koperasi dengan melibatkan diri dalam kegiatan sosioekonomi
mengikut
cara koperasi untuk meraih faedah yang hanya boleh dicapai dengan cara bekerjasama.
Beliau juga mengingatkan para belia supaya mengamalkan nilai sadik, amanah
dan telus dalam melaksanakan apa jua kegiatan koperasi serta mengelakkan
amalan rasuah.
Seminar tiga hari tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan
Usahawan dan Koperasi, Dato’ Khamsiyah Yeop. Dalam ucapannya, beliau melahirkan
kegembiraannya dapat bersama-sama dengan para peserta dalam majlis yang begitu
bermakna. Beliau berharap program tersebut mendedahkan peserta dengan ilmu dan
pengalaman yang akan menggilap dan meningkatkan lagi mutu kepimpinan dan pengurusan
koperasi.
Berdasarkan sejarah dan keadaan semasa baik di Malaysia dan di luar negara,
koperasi telah memainkan peranan yang berkesan kepada masyarakat dari aspek
sosioekonomi.
Dato’ Khamsiyah berkata selepas hampir 160 tahun, gerakan koperasi di beberapa
buah negara telah melakukan pembaharuan dalam kegiatannya dan turut menyumbang
dalam pembangunan ekonomi negara. Contohnya di beberapa negara Eropah, koperasi
menyumbang sehingga sembilan peratus Keluaran Dalam Negara Kasar masing-masing.
Justeru katanya, gerakan koperasi perlu melakukan beberapa perubahan dari segi
penumpuan dan jentera penggerak.
Mengajuk kata-kata Perdana Menteri pada pelancaran Dasar Koperasi Negara
awal tahun ini bahawa koperasi adalah pemangkin penting dalam pembangunan
ekonomi
negara seiring dengan sektor kerajaan dan swasta, beliau berkata gerakan
koperasi (Malaysia) perlu menggunapakai pendekatan keusahawanan koperasi.
Jelasnya, pendekatan itu bertujuan untuk membawa masuk daya kreativiti dan
inovasi, matlamat yang berorientasikan pasaran dan amalan pengurusan strategik
ke dalam
koperasi. Perkara ini jelasnya dipinjam daripada beberapa rekomendasi Persidangan
Menteri-Menteri Koperasi tidak lama dahulu.
Berhubung program keusahawanan belia, beliau berkata ianya telah merebak
luas ke sekolah-sekolah, masyarakat di seluruh negara, dunia dan juga di
internet.
Ini menunjukkan bahawa generasi belia hari ini lebih suka hidup bebas dan
berdikari dengan pendapatan sendiri kerana memilih berniaga.
Di Malaysia, ANGKASA telah memainkan peranan memperkenalkan gerakan koperasi
di sekolah-sekolah menengah di seluruh negara yang memanfaatkan lebih dua
juta koperator muda. Pengendalian program pendidikan dan khidmat nasihat
oleh ANGKASA
termasuk pengenalan projek Pelancongan Koperasi Sekolah juga banyak memberi
manfaat kepada mereka. Oleh itu, Dato’ Khamsiyah mengucapkan syabas kepada koperasi
sekolah, ANGKASA dan Kementerian Pelajaran Malaysia di atas usaha mereka yang
bersungguh-sungguh.
Jelasnya lagi pihak kementeriannya turut menyediakan bantuan dana dan program
pendidikan kepada golongan belia dalam menggilap daya keusahawanan mereka.
Antaranya, Program Keusahawanan Muda, program Keusahawanan Mahasiswa dan
sebagainya. Selain
itu, kementerian turut menyediakan premis perniagaan strategik dengan kadar
sewa yang rendah untuk usahawan muda yang berpotensi. Kerajaan juga telah
membina banyak pusat latihan di seluruh negara untuk melatih para belia seperti
Kolej
MARA, Kolej Profesional, Universiti Kuala Lumpur dan lain-lain.
Seminar Belia Koperasi ini adalah anjuran ICA Rantau Asia Pasifik (ICAROAP)
dengan kerjasama Jawatankuasa Kecil Pengguna ICA bagi Koperasi Universiti/Kolej
Asia
Pasifik serta ANGKASA selaku tuan rumah.
Dalam Kata Alu-Aluannya dalam buku Bahan Seminar, Pengarah ICAROAP, Encik
Shil Kwan Lee menjelaskan bahawa seminar tersebut telah dijadualkan pada
tahun 2003.
Disebabkan oleh wabak Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS), ianya ditunda
ke tahun ini. Sehingga kini, ICAROAP telah menganjurkan empat seminar untuk
belia koperasi. Beliau berharap seminar kali ini akan menjadikan rekomendasi
mewujudkan
Jaringan Koperator Belia yang dicapai sebelum ini suatu kenyataan.
Sepanjang tiga hari tersebut, para peserta diberikan program yang padat sehingga
tidak berkesempatan berhibur dan bersiar-siar ke Kuala Lumpur. Walaupun peserta
rata-ratanya masih muda, mereka tetap memberikan komit-men yang tinggi menghadiri
setiap sesi yang diadakan. Syabas kepada peserta.
Selepas perasmian dan sesi perkenalan, mereka dihidangkan dengan ucaptama
menarik dan bermaklumat oleh Pengarah Institut Asia Eropah Universiti Malaya,
Dato’ Prof.
Dr Shaharil Talib mewakili Naib Canselor universiti yang sama.
Pada sebelah petangnya, pem-bentangan Laporan oleh setiap negara peserta
dan diikuti dengan penubuhan Jawatankuasa Pemandu Belia dan taklimat bengkel.
Peserta
bertuah kerana pada sebelah malamnya pula mereka disajikan dengan makan malam
tajaan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, juga di INTEKMA. Majlis
tersebut dimeriahkan dengan persembahan tarian dan nyanyian oleh kumpulan
Kebudayaan
Selangor.
Bangkit di hari kedua, peserta berkumpul dalam sidang pleno untuk pembentangan
kajian kes oleh peserta dari India (Bekerja Sendiri dan Keusaha-wanan), Jepun
(Kegiatan Koperasi Kampus) dan peserta Filipina (Kegiatan Belia Untuk Masyarakat).
Seterusnya, mereka berpecah kepada tiga kumpulan untuk membincangkan sub-tema
berdasarkan pembentangan tersebut. Selepas penat seharian berbengkel membincangkan
isu-isu penting itu, mereka dirai oleh ANGKASA pada majlis makan malam termasuk
sesi karaoke.
Hari terakhir seminar sungguh mencabar. Para peserta dipecahkan kepada empat
kumpulan untuk melawat empat destinasi terpilih. Kumpulan pertama, dua buah
bas melawat Universiti Malaya untuk melihat kegiatan Koperasi Kedaibuku Universiti
Malaya dan meninjau flora di Taman Rimba seluas 80 hektar dalam kampus tersebut.
Kumpulan kedua pula memilih aktiviti lebih lasak yang mencabar fizikal dan
emosi
iaitu jungle trekking di Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) di Kepong.
Selepas penat mendaki bukit, mereka dicabar pula meniti jambatan gantung
(kanopi) pada ketinggian kira-kira 30 kaki.
Kumpulan ketiga melancong ke Putrajaya khususnya kawasan Wetland. Sekolah
Menengah Sains Selangor, Kuala Lumpur menjadi destinasi kumpulan keempat
yang berminat
melihat dengan lebih dekat kegiatan koperasi sekolah tersebut, di mana gerakan
koperasi sekolah Malaysia tersohor sebagai antara yang paling bergerak cergas
di dunia.
Selepas penat meninjau keindahan alam dan pembangunan di Malaysia, mereka
mengikuti pembentangan hasil perbincangan kumpulan, diikuti pembentangan
rekomendasi
oleh Jawatankuasa Pemandu Belia, ulasan keseluruhan seminar oleh ketua Pemudahcara,
Encik Dongre Yashawanta dari University Mysore, India dan akhirnya, majlis
penutupan
yang diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah ICA, Encik Iain Macdonald
dan Naib Yang Dipertua ANGKASA merangkap Ahli Lembaga ICA, Hajah Rahaiah
Baheran.