Koperasi ICA Serantau 2004:Cabaran Koperator
Muda
BELIA koperasi – bukan mudah untuk mentafsir
kumpulan ini. Di peringkat global iaitu Ikatan Koperasi Antarabangsa,
kumpulan
ini biasanya anggota koperasi berusia antara 16 ke 35 tahun. Sedikit
berbeza, di Malaysia kita mempunyai
dua kategori belia koperasi. Pertama adalah anggota koperasi sekolah yang terdiri
daripada para pelajar sekolah menengah berusia antara 12 hingga 18 tahun. Kategori
kedua adalah golongan yang berusia 18 tahun dan ke atas.
Untuk mentakrif golongan kedua ini pula, agak sukar kerana dari segi keang-gotaan
koperasi belia, ada yang sudah pencen tetapi masih aktif sebagai anggota. Tidak
kurang juga, ada yang masih memegang jawatan sebagai anggota lembaga. Jika dalam
parti politik, UMNO misalnya, jelas sekali meletakkan had umur sehingga 35 tahun
bagi sayap Puterinya dan 40 kepada barisan Pemuda.
Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Diraja Ungku A. Aziz
(Pak Ungku) ketika mengulas tentang definisi belia, menggunakan
pendekatan lebih mudah mengatakan, “Anda
bukan lagi belia jika lutut sudah berkedut”. Namun katanya, belia biasanya
adalah mereka yang berumur 16 ke 25 tahun.
Beliau berseloroh sedemikian semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis
perasmian Seminar Belia Koperasi ICA Serantau 2004 di Shah Alam awal September
lalu. Seminar tersebut berjaya menarik seramai 230 peserta dari 11 negara.
Peserta yang hadir bukan hanya dari rantau Asia Pasifik, malahan juga dari
benua Amerika
dan Eropah. Mereka datang dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand,
Filipina, Jepun, Cambodia, Sri Lanka, India, Amerika Utara dan United Kingdom.
Tema seminar
ialah “Penglibatan Belia Koperasi Dalam Persekitaran Yang Berubah-ubah” (Co-op
Youth In The Changing Environment).
Biar apa pun definisi belia, kumpulan ini penting kepada masyarakat amnya dan
gerakan koperasi khususnya. Golongan ini selalunya dikatakan pemimpin masa depan.
Bagaimanapun, mereka sebenarnya relevan, penting dan mempunyai peranan yang besar
pada masa dan ketika ini. Malah, mereka juga boleh menjadi pemimpin hari ini
jika diberi ruang dan peluang.
Bersama-sama dengan golongan dewasa, belia mampu mencorak masa depan yang lebih
gemilang dan merancakkan lagi pembangunan dan kemajuan gerakan koperasi, masyarakat,
negara dan dunia. Gabungan dua generasi ini mampu menjadikan gerakan koperasi
kukuh dan kuat serta berupaya menghadapi apa jua cabaran dan persaingan dalam
era globalisasi yang menyaksikan pembaharuan berlaku dengan begitu pantas sekali.
Merujuk kepada tema seminar, Pak Ungku berpendapat bukanlah bermaksud keadaan
dan sekeliling pada masa dahulu tidak mengalami perubahan. Cuma, rentak atau
halaju perubahan yang berlaku kini adalah lebih pantas dan cepat. Dengan demikian
menimbulkan masalah kepada belia hari ini, memerlukan mereka mempersiapkan diri
agar tidak ketinggalan di belakang.
Berhadapan dengan keadaan sedemikian, Pak Ungku memberikan pendapat bahawa rentak
perubahan yang pantas berlaku sebenarnya boleh membuka peluang yang luas kepada
gerakan koperasi kerana mempunyai kelebihan tersendiri yang tidak dimiliki oleh
pihak lain (co-operative advantage). Kelebihan koperasi boleh dikuluhumkan sebagai
bekerja bersama-sama demi manfaat bersama. Justeru, beliau menggesa belia memanfaatkan
kelebihan koperasi dengan melibatkan diri dalam kegiatan sosioekonomi mengikut
cara koperasi untuk meraih faedah yang hanya boleh dicapai dengan cara bekerjasama.
Beliau juga mengingatkan para belia supaya mengamalkan nilai sadik, amanah dan
telus dalam melaksanakan apa jua kegiatan koperasi serta mengelakkan amalan rasuah.
Seminar tiga hari tersebut telah dirasmikan oleh
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Khamsiyah
Yeop. Dalam ucapannya, beliau melahirkan kegembiraannya dapat
bersama-sama
dengan
para peserta
dalam
majlis yang begitu
bermakna. Beliau berharap program tersebut mendedahkan peserta
dengan ilmu dan pengalaman yang akan menggilap dan meningkatkan
lagi mutu kepimpinan dan pengurusan koperasi.
Berdasarkan sejarah dan keadaan semasa baik di
Malaysia dan di luar negara, koperasi telah memainkan peranan
yang berkesan kepada
masyarakat dari aspek sosioekonomi. Dato’ Khamsiyah berkata
selepas hampir 160 tahun, gerakan koperasi di beberapa buah
negara telah melakukan pembaharuan dalam kegiatannya dan turut
menyumbang
dalam pembangunan ekonomi negara. Contohnya di beberapa negara
Eropah, koperasi menyumbang sehingga sembilan peratus Keluaran
Dalam Negara Kasar masing-masing. Justeru katanya, gerakan
koperasi perlu melakukan beberapa perubahan dari segi penumpuan
dan jentera
penggerak.
Mengajuk kata-kata Perdana Menteri pada pelancaran Dasar Koperasi
Negara awal tahun ini bahawa koperasi adalah pemangkin penting
dalam pembangunan ekonomi negara seiring dengan sektor kerajaan
dan swasta, beliau berkata gerakan koperasi (Malaysia) perlu
menggunapakai pendekatan keusahawanan koperasi.
Jelasnya, pendekatan itu bertujuan untuk membawa masuk daya kreativiti
dan inovasi, matlamat yang berorientasikan pasaran dan amalan
pengurusan strategik ke dalam koperasi. Perkara ini jelasnya
dipinjam daripada beberapa rekomendasi Persidangan Menteri-Menteri
Koperasi tidak lama dahulu.
Berhubung program keusahawanan belia, beliau berkata ianya telah
merebak luas ke sekolah-sekolah, masyarakat di seluruh negara,
dunia dan juga di internet. Ini menunjukkan bahawa generasi belia
hari ini lebih suka hidup bebas dan berdikari dengan pendapatan
sendiri kerana memilih berniaga.
Di Malaysia, ANGKASA telah memainkan peranan memperkenalkan
gerakan koperasi di sekolah-sekolah menengah di seluruh
negara yang memanfaatkan
lebih dua juta koperator muda. Pengendalian program pendidikan
dan khidmat nasihat oleh ANGKASA termasuk pengenalan
projek Pelancongan Koperasi Sekolah juga banyak memberi manfaat
kepada mereka. Oleh
itu, Dato’ Khamsiyah mengucapkan syabas kepada
koperasi sekolah, ANGKASA dan Kementerian Pelajaran Malaysia
di
atas usaha mereka yang bersungguh-sungguh.
Jelasnya lagi pihak kementeriannya turut menyediakan bantuan
dana dan program pendidikan kepada golongan belia dalam menggilap
daya keusahawanan mereka. Antaranya, Program Keusahawanan Muda,
program Keusahawanan Mahasiswa dan sebagainya. Selain itu, kementerian
turut menyediakan premis perniagaan strategik dengan kadar sewa
yang rendah untuk usahawan muda yang berpotensi. Kerajaan juga
telah membina banyak pusat latihan di seluruh negara untuk melatih
para belia seperti Kolej MARA, Kolej Profesional, Universiti
Kuala Lumpur dan lain-lain.
Seminar Belia Koperasi ini adalah anjuran ICA Rantau Asia Pasifik
(ICAROAP) dengan kerjasama Jawatankuasa Kecil Pengguna ICA bagi
Koperasi Universiti/Kolej Asia Pasifik serta ANGKASA selaku tuan
rumah.
Dalam Kata Alu-Aluannya dalam buku Bahan Seminar, Pengarah ICAROAP,
Encik Shil Kwan Lee menjelaskan bahawa seminar tersebut telah
dijadualkan pada tahun 2003. Disebabkan oleh wabak Sindrom Pernafasan
Akut yang Teruk (SARS), ianya ditunda ke tahun ini. Sehingga
kini, ICAROAP telah menganjurkan empat seminar untuk belia koperasi.
Beliau berharap seminar kali ini akan menjadikan rekomendasi
mewujudkan
Jaringan Koperator Belia yang dicapai sebelum ini
suatu kenyataan.
Sepanjang tiga hari tersebut, para peserta diberikan
program yang padat sehingga tidak berkesempatan
berhibur dan bersiar-siar
ke Kuala Lumpur. Walaupun peserta rata-ratanya
masih muda, mereka tetap memberikan komit-men yang
tinggi menghadiri setiap sesi
yang diadakan. Syabas kepada peserta.
Selepas perasmian dan sesi perkenalan, mereka dihidangkan
dengan ucaptama menarik dan bermaklumat oleh
Pengarah Institut Asia
Eropah Universiti Malaya, Dato’ Prof. Dr
Shaharil Talib mewakili Naib Canselor universiti
yang sama.
Pada sebelah petangnya, pem-bentangan Laporan oleh
setiap negara peserta dan diikuti dengan penubuhan
Jawatankuasa Pemandu Belia
dan taklimat bengkel. Peserta bertuah kerana pada
sebelah malamnya pula mereka disajikan dengan makan
malam tajaan Menteri Pembangunan
Usahawan dan Koperasi, juga di INTEKMA. Majlis
tersebut dimeriahkan dengan persembahan tarian
dan nyanyian oleh kumpulan Kebudayaan
Selangor.
Bangkit di hari kedua, peserta berkumpul dalam
sidang pleno untuk pembentangan kajian kes
oleh peserta dari India (Bekerja Sendiri
dan Keusaha-wanan), Jepun (Kegiatan Koperasi
Kampus) dan peserta Filipina (Kegiatan Belia Untuk Masyarakat).
Seterusnya,mereka berpecah kepada tiga kumpulan
untuk membincangkan sub-tema berdasarkan pembentangan tersebut.
Selepas penat seharian berbengkel membincangkan isu-isu penting
itu, mereka dirai oleh ANGKASA pada majlis makan malam termasuk
sesi karaoke.
Hari terakhir seminar sungguh mencabar. Para
peserta dipecahkan kepada empat kumpulan
untuk melawat empat destinasi terpilih. Kumpulan
pertama, dua buah bas melawat Universiti
Malaya untuk melihat kegiatan Koperasi Kedaibuku
Universiti Malaya dan meninjau flora di Taman
Rimba seluas 80 hektar dalam kampus tersebut.
Kumpulan kedua pula memilih aktiviti lebih
lasak yang mencabar fizikal dan emosi iaitu
jungle trekking di Institut Penyelidikan
Hutan Malaysia (FRIM) di Kepong. Selepas
penat mendaki bukit, mereka dicabar pula
meniti jambatan gantung (kanopi) pada ketinggian
kira-kira 30 kaki.
Kumpulan ketiga melancong ke Putrajaya khususnya
kawasan Wetland. Sekolah Menengah Sains Selangor,
Kuala Lumpur menjadi destinasi kumpulan keempat
yang berminat melihat dengan lebih dekat
kegiatan koperasi sekolah tersebut, di mana
gerakan koperasi sekolah Malaysia tersohor
sebagai antara yang paling bergerak cergas
di dunia.
Selepas penat meninjau keindahan alam dan
pembangunan di Malaysia, mereka mengikuti
pembentangan hasil perbincangan kumpulan,
diikuti pembentangan rekomendasi oleh Jawatankuasa
Pemandu Belia, ulasan keseluruhan seminar
oleh ketua Pemudahcara, Encik Dongre Yashawanta
dari University Mysore, India dan akhirnya,
majlis penutupan yang diserikan dengan kehadiran
Ketua Pengarah ICA, Encik Iain Macdonald
dan Naib Yang Dipertua ANGKASA merangkap
Ahli Lembaga ICA, Hajah Rahaiah Baheran.