PELANCAR ONLINE
OGOS 2004

 

ARKIB PELANCAR 2004

 

 

 

 

HKS Kebangsaan 2004 - Meriah dan Padat

SUDAH menjadi tradisi ANGKASA merayakan Hari Koperasi Sekolah pada
setiap tahun dengan acara kemuncaknya pada bulan Julai. Pada bulan
ini juga diadakan sambutan Hari Koperasi Antarabangsa (sabtu pertama) dan Hari Koperasi Negara (21 Julai).

Pada tahun ini, ANGKASA merayakan HKS Kebangsaan pada 17 hingga 18 Julai di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya. Perayaan telah berlangsung dengan lancar dan berjaya mengumpul penyertaan paling ramai setakat ini. Seramai 1300 pelajar dan guru dari seluruh pelusuk negara membanjiri ANGKASA bagi memeriahkan perayaan yang padat dengan pelbagai acara berfaedah.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Mohamed Khaled Nordin dalam teks ucapan perasmiannya berkata, program sebegini yang boleh mendatangkan kebaikan dan manfaat kepada para pelajar, memang patut disanjung dan disokong oleh semua pihak. Pelaksanaannya bukan sahaja mendatangkan kebaikan kepada koperasi-koperasi sekolah pada masa sekarang tetapi boleh memberikan ilmu dan pengalaman yang sungguh penting buat kegunaan dan bekalan pelajar di masa akan datang.

Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Koperasi, Dato’ Zainuddin Haji Abdul Rahman. Dato’ Zainuddin mewakili Menteri merasmikan HKS Kebangsaan 2004 kali ini.
Benar bagai dikata, program HKS kebangsaan kali ini padat dengan pelbagai acara berfaedah. Selain pertandingan kuiz, petanq, seminar dan pameran, telah diadakan penyampaian Anugerah Koperasi Sekolah Terbaik dan hadiah-hadiah kepada pemenang pertandingan melukis dan menulis esei serta gerai terbaik.

Dengan kehadiran 1300 peserta, kerusi-kerusi di auditorium ANGKASA penuh dan terpaksa ditambah. Malah, penganjur turut menyediakan bilik berasingan lengkap dengan siaran litar tertutup. Disediakan dua ruang pameran iaitu produk ANGKASA dan koperasi sekolah di ruang legar bahagian bawah, dan pameran lukisan dan esei pemenang serta sekitar HKS negeri 2004 di ruang legar auditorium.

Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS) sekali lagi menjadi tema perayaan. Dalam Ucaptamanya, Yang Dipertua ANGKASA, Prof Diraja Ungku A. Aziz berkata program pelancongan yang dipelopori ANGKASA berbeza daripada pelancongan umum. PKS tidak bersifat pasif atau sekadar melihat, tetapi banyak berlaku interaksi di antara Hos dan Tamu. Ianya mengajak peserta berfikir dan membuka minda masing-masing.

Jelasnya, pada masa ini, ANGKASA menggalakkan pelancongan berbentuk menjejaki tokoh-tokoh sejarah negara. Beliau menggariskan dua ciri utama yang perlu ada pada tokoh yang hendak dipilih. Pertama, walaupun bunyinya lawak tetapi beliau dengan serius berkata, tokoh itu mestilah arwah. Kedua, tokoh hendaklah orang yang terlibat dalam usaha mengembang dan membangunkan ilmu dan koperasi.

Terdahulu, Naib Yang Dipertua ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bahagian Pendidikan, Penerangan, Penerbitan dan Perkhidmatan (B4P), Hajah Rahaiah Baheran berkata, konsep PKS yang diperkenalkan pada tahun lalu telah menjadi kenyataan. Koperasi Sekolah Menengah Teknik Bukit Piatu Melaka Berhad telah menjadi Hos pakej ‘Jejak Munshi Abdullah’ pada tahun lalu. Koperasi SMK Batu Kikir Berhad diikuti Koperasi SMK Pendeta Za’ba Berhad baru-baru ini menjadi Hos menelusuri jejak Pendeta Za’ba.

Pada hari terakhir, sebelum berlangsung pertandingan kuiz kebangsaan pusingan akhir, telah diadakan ceramah bertajuk ‘Bersama Mencorak Kegemilangan (Koperasi Banir Pelancongan)’ oleh Penceramah kontroversi, Dr. Azahari Ismail. Pengisiannya begitu bermakna dengan teguran yang memang kena pada masanya. Namun, tidak semua orang bersetuju atau boleh menerima cara beliau menegur tentang adab.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Yang Dipertua, Prof. Diraja Ungku A. Aziz yang turut menyampaikan hadiah utama. Timbalan Yang Dipertua, Dr. Mohd. Ali Haji Baharum turut diberi penghormatan menyampaikan hadiah. Hadir sama ialah Penolong Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia, Encik Kamaruddin Ismail.

– NORIAH MOHD. ALI @ AWI



Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop