ARKIB PELANCAR 2005

 

 

 

 

 

 

 

Fokus Masa Depan ANGKASA

ANGKASA atau Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad adalah badan puncak koperasi bagi mewakili gerakan koperasi Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ia ditubuhkan pada tahun 1971 di bawah Akta Koperasi 1993 dan Peraturan-Peraturan Koperasi 1995.

Sebagai badan puncak koperasi, maka ANGKASA bertanggungjawab merancang aktiviti-aktiviti yang boleh membantu perkembangan koperasi negara yang merangkumi pendidikan dan perniagaan koperasi ahli yang menganggotai ANGKASA. Ahli ANGKASA meningkat dari semasa ke semasa. Sehingga 12 Januari 2005, ahlinya berjumlah 3031 buah koperasi.

Di antara aktiviti ekonominya yang disediakan bagi membantu ahli ialah mewujudkan sistem potongan gaji yang lebih dikenali sebagai Biro Perkhidmatan ANGKASA atau BPA bagi anggota koperasi kerajaan yang berurusniaga dengan koperasinya. Kadar caj potongan yang dikenakan bagi setiap potongan hanyalah 0.6 peratus bagi setiap RM1. Kadar tersebut adalah kadar yang paling rendah jika dibandingkan dengan mana-mana sistem caj yang lain. Sekaligus Biro ini memberi pendapatan yang paling stabil kepada ANGKASA. Pendapatan caj dalal sebanyak 0.6 peratus inilah yang menghasilkan pendapatan ANGKASA sebanyak RM 2.1 juta sebulan.

Manakala di bidang pendidikan, ANGKASA menyediakan modul-modul pendidikan koperasi kepada anggota koperasi ahli secara percuma. Ia terdiri daripada modul.

Kursus Wajib Siri 1 bagi semua anggota lembaga pengarah koperasi dan Kursus Wajib Siri 2 pula khusus dibuat bagi mereka yang akan menjadi Juruaudit Dalaman koperasi. Manakala bagi pelajar pula disediakan Kursus Wajib Siri 3 yang digubal khas sesuai dengan pelajar. Di samping itu terdapat kursus yang lain yang boleh dipohon oleh ahli ANGKASA untuk anggota koperasinya dan juga seminar yang dibuat secara berkala mengikut isu yang wujud pada sesuatu ketika.

Sekarang ini penubuhan ANGKASA sudah hampir 34 tahun. Ia dianggap sebuah organisasi koperasi yang sudah dewasa dan stabil di mana memiliki kakitangan seramai 392 orang, memiliki bangunan sendiri, menyediakan aktiviti yang boleh membantu anggota koperasi ahlinya, yang terdiri daripada Kursus Wajib koperasi, PEKA, SEKKOP, TCM (Taman Cahaya Mata) dan perkhidmatan potongan gaji melalui Biro Perkhidmatan ANGKASA (BPA).

Penubuhan beberapa Jawatankuasa Fokus bagi melihat sesuatu isu yang boleh mengutuhkan lagi sumbangan ANGKASA kepada ahlinya menunjukkan betapa dewasanya ANGKASA dalam berkoperasi. Jawatankuasa Fokus Penyelidikan bertujuan membantu dalam penyelidikan koperasi di negara, manakala Jawatankuasa Fokus Pembangunan pula menumpu dalam meneroka pembangunan baru kepada koperasi-koperasi ahli. Demikian juga dengan Jawatankuasa Fokus Teknologi Maklumat (ICT) pula tertumpu bagi mengemukakan pembangunan ICT dalam sektor koperasi.

Jawatankuasa Fokus Pembangunan telah memulakan beberapa perancangan yang harus dilakukan oleh ANGKASA pada masa hadapan mengikut keutamaan. Di antara yang diputuskan ialah membangunkan perusahaan ternakan kerang di Kuala Muda, Kedah. Ini adalah ekoran daripada musnahnya perusahaan menternak kerang oleh Koperasi Permodalan JKKK Dun Kawasan Pantai Merdeka Berhad akibat daripada ombak Tsunami yang melanda pada 26 Disember 2004. Diharapkan daripada pembangunan perusahaan kerang, Kuala Muda akan menjadi model kepada perusahaan tersebut di tempat-tempat lain dan diharap akan menarik minat masyarakat menyertai koperasi bagi tujuan menjalankan industri tersebut.

Penulis berpendapat Jawatankuasa Fokus Pembangunan harus menggemblengkan kekuatan (strengh) ANGKASA dan koperasi itu sendiri sebagai asas pembangunan aktiviti koperasi demi kebaikan anggota. Justeru penulis berpendapat ANGKASA boleh mewujudkan Skim Tabarru’ (Kebajikan) ANGKASA bagi menyeragamkan skim tersebut dikalangan koperasi-koperasi bagi membantu kematian anggota atau keluarga anggota. Melalui Skim Tabarru’ (Kebajikan) ANGKASA ini jumlah bantuan yang akan diberi lebih besar daripada apa yang biasa diberi oleh koperasi-koperasi. Selanjutnya program yang serupa mungkin diperluaskan bagi merangkumi rawatan kesihatan anggota. Ia selari dengan prinsip koperasi keenam iaitu bantu-membantu di antara koperasi.

Saya juga berpendapat ANGKASA perlu menubuhkan Briged Amal ANGKASA bagi membantu masyarakat apabila menghadapi musibah seperti ombak besar Tsunami, kebakaran, banjir dan lain-lain. Unit ini dianggotai oleh anggota-anggota koperasi ahli ANGKASA seluruh Malaysia dengan dikoordinasi oleh ANGKASA. Penubuhan Unit Amal ANGKASA selaras dengan prinsip koperasi ketujuh iaitu berprihatin terhadap masyarakat.

Kesihatan adalah suatu yang berharga kepada kita semua dalam kehidupan ini. Tanpanya akan menjejaskan kehidupan seharian dan juga mempengaruhi kecerdasan akal fikiran seseorang. Justeru seseorang yang sakit tidak mampu memikirkan sesuatu yang baik. Kata pepatah Arab bermaksud “Akal yang pintar atau cerdas datang dari badan yang sihat”.

Bagi memastikan kesihatan anggota koperasi, maka ANGKASA mengemukakan permainan Petanq kepada anggota koperasi khasnya dan rakyat Malaysia amnya. Permainan yang berasal dari Peranchis ini telah mula mendapat sambutan hangat di Malaysia kebelakangan ini dan diterima sebagai salah satu acara dalam Sukan SEA.

ANGKASA menggalakkan anggotanya sentiasa bermain petanq bagi menjaga kesihatan dengan menganjurkan beberapa program khas petanq seperti Pertandingan Petanq Negeri-Negeri dan Kebangsaan bagi koperasi sekolah dan dewasa.

Hakikatnya bukan sahaja permainan petanq yang harus dimain oleh anggota bagi tujuan kesihatan bahkan permainan lain yang difikirkan baik yang mempunyai ciri-ciri pembinaan mental dan jasmani perlu diterima. Selain dengan perkembangan ini dicadangkan ANGKASA mengadakan Stadium Koperasi bagi menggalakkan sukan koperasi. Stadium seperti ini telah diwujudkan di Iran.

 

 


 

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop