PELANCAR ONLINE
JUN 2004

 

ARKIB PELANCAR 2004

 

 

 

 

Lawatan Ke ANGKASA Jalin Kerjasama

MENTERI Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Dato’ Mohamed Khaled
Nordin mengalu-alukan cadangan Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Diraja
Ungku A. Aziz untuk menubuhkan sebuah koperasi pemandu teksi.
Penubuhan koperasi tersebut jelas Pak Ungku, akan memberi banyak manfaat kepada para pemilik sendiri. Pemandu teksi boleh mendapat perkhidmatan pada harga yang lebih murah kerana koperasi membelinya secara pukal. Bidang dan perkhidmatan yang berkaitan dengan teksi boleh mewujudkan banyak rangkaian kegiatan lain, seperti tayar, bateri, bengkel kereta dan lain-lain.

Pak Ungku menyuarakan hasrat tersebut kepada Dato’ Mohamed Khaled dalam majlis taklimat sempena lawatan beliau ke Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya pada 10 Mei lalu.

Turut serta dalam lawatan itu adalah Timbalan Menteri, Dato’ Khamsiyah Yeop, Setiausaha Parlimen, Encik Samsu Baharun Ab. Rahman, Ketua Setiausaha Kementerian, Dato’ Zakiah Hashim, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK), Dato’ Zainuddin Haji Abdul Rahman dan pegawai-pegawai kanan kementerian dan JPK.

Dato’ Mohamed Khaled semasa memaklumkan perkara tersebut dalam sidang media berkata, pihaknya mengalu-alukan cadangan itu dan mahu ANGKASA menjadikannya satu kenyataan dengan menyediakan kertas kerja untuk diteliti oleh pihak kementerian.

Katanya, penubuhan koperasi tersebut bertujuan mengurangkan kos yang ditanggung oleh pemandu teksi misalnya kos membeli tayar pada harga yang lebih murah dan kemudahan menggunakan bengkel kereta.
Beliau seterusnya berkata, penubuhan koperasi tersebut akan dimulakan di Kuala Lumpur yang mempunyai kira-kira 6000 pemandu teksi.

Jelas beliau lagi, matlamat koperasi bukan untuk memberi perkhidmatan teksi tetapi lebih kepada memberi ke-mudahan kepada anggota. Jika koperasi, misalnya dapat membeli (produk-produk untuk keperluan pemandu teksi), anggota (pemandu teksi) dapat membeli pada harga yang lebih murah dan pada akhir tahun mendapat dividen.

Dalam sidang media itu, beliau turut mengalu-alukan cadangan ANGKASA untuk membantu dan melatih siswazah yang menganggur menjadi jurujual Koperasi Kedaibuku Universiti Malaya (KKUM) yang mahir. Tambahan pula, KKUM adalah ahli ANGKASA dan terkenal dalam bidang pengendalian dan penjualan buku.

Inilah antara bidang baru sedang difikirkan ANGKASA dan kita berharap akan menjadi kenyataan. Inilah juga yang menjadi pendekatan kita di kementerian. Melihat kepada pendekatan dan cara baru untuk melahirkan kejayaan-kejayaan baru dalam koperasi,” tegas beliau lagi.

Bagi menjayakan hasrat tersebut, Dato’ Mohamed Khaled berkata, ianya memerlukan perubahan sikap daripada semua. Usaha yang dibuat oleh ANGKASA dan kementerian, tiada gunanya jika tiada kesedaran daripada anggota koperasi.

Kedatangan beliau dan rombongan disambut oleh Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Diraja Ungku A. Aziz, Naib Yang Dipertua ANGKASA merangkap Pengerusi Bahagian Pendidikan, Penerangan, Penerbitan dan Perkhidmatan (B4P), Hajah Rahaiah Baheran, Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri, Jawatankuasa Audit Dalaman ANGKASA, Pengurus Umum dan pegawai-pegawai kanan ANGKASA.

Taklimat tentang ANGKASA disampaikan oleh Prof. Diraja Ungku A. Aziz. Dalam taklimat itu, Dato’ Mohamed Khaled dimaklumkan tentang objektif penubuhan ANGKASA, peranan Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan ANGKASA (JKT), Pengerusi-Pengerusi ANGKASA Negeri, wakil-wakil kerajaan dan Jawatankuasa Audit Dalaman.

Dengan Kumpulan Pengurusan yang diketuai oleh Pengurus Umum, ANGKASA kini mempunyai bilangan kakitangan seramai 380 orang, menguruskan keahlian koperasi sebanyak 2976 buah dengan 4 079 695 bilangan anggota individu.

Dato’ Mohamed Khaled turut dimaklumkan tentang program-program ANGKASA iaitu Perkhidmatan Potongan Gaji; Pendidikan Dan Pembangunan; Pembangunan Koperasi Wanita, Penerbitan, Amanah Saham ANGKASA (ASA); Tabung Pendidikan ANGKASA (TAPAK); Perhubungan Antarabangsa; dan Kajian dan Penyelidikan.

Prof. Diraja Ungku A. Aziz turut memaklumkan kepada Menteri bahawa pelanggan BPA kini berjumlah 311 koperasi bank/kredit. BPA juga menguruskan khidmat potongan gaji kepada 443 pertubuhan yang diluluskan oleh kerajaan, misalnya ASB, YPEIM, kelab, kesatuan dan syarikat insurans.

Dengan caj perkhidmatan sebanyak 0.6 peratus bagi setiap RM1.00 yang dikenakan kepada koperasi, BPA kini menguruskan hasil kutipan RM21.7 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2003.

Program-program pendidikan dan pembangunan pula meliputi Kursus Wajib bagi ALK dan JAD, Pendidikan Jarak Jauh, Pemulihan Koperasi (PEKA) dan Pembangunan Koperator Muda iaitu Pelancongan Koperasi Sekolah, Kursus Wajib Koperasi Sekolah dan Kursus Kemahiran ICT.

Mengikut penyata kewangan bagi tahun berakhir 30 Jun 2003, sebanyak 72 peratus sumber utama pendapatan ANGKASA diperoleh daripada bayaran khidmat potongan gaji, 20 peratus adalah daripada caruman koperasi daripada KWAPK dan sumber-sumber lain sebanyak lapan peratus.

Dato’ Mohamed Khaled juga turut dimaklumkan tentang pencapaian ANGKASA mengendalikan Kursus Wajib. Sehingga Mac 2004, Siri 1 : ALK telah disertai oleh 15 663 peserta, manakala Siri 2 : JAD disertai oleh 1392 peserta.

Sementara bagi Kursus Wajib Siri 3 : ALK Koperasi Sekolah, ANGKASA kini sedang memohon kelulusan daripada pihak Jabatan Pembangunan Koperasi.

Selepas taklimat, Dato’ Mohamed Khaled telah dibawa melawat ke Bahagian Komputer BPA, Bahagian Pendidikan, Penerangan, Penerbitan Dan Perkhidmatan (B4P), Taman Cahaya Mata dan Pusat Maklumat Produk.

Seperti yang digulungkan oleh Dato’ Mohamed Khaled kepada sidang media di akhir lawatan itu, beliau menyuarakan perasaan gembira dengan usaha yang dibuat oleh ANGKASA yang telah melaksanakan tugas dengan baik.

Terima kasih Dato’ Mohamed Khaled di atas lawatan ini dan selamat bertugas di Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi. Semoga di bawah kepimpinan Dato’, gerakan koperasi di Malaysia akan bertambah maju dan berdaya saing. Semoga dengan lawatan ini juga tersimpul jalinan kerjasama yang lebih baik antara ANGKASA dan pihak kementerian.

 

– AINI HAJI ABDUL MAJID

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop