Siapa
Juara Kebangsaan
Mukadimah
Sepanjang bulan Mei hingga Jun 2004, ANGKASA menganjurkan Perayaan
Hari Koperasi Sekolah (PHKS) 2004 Peringkat Negeri. Koperasi-koperasi
sekolah yang berjaya menjuarai pertandingan kuiz dan petanq
ini akan mewakili negeri masing-masing bagi menentukan siapa
yang akan menjadi juara di peringkat kebangsaan yang akan berlangsung
dari 17 hingga 18 Julai 2004 di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana
Jaya.
Majalah PELANCAR keluaran ini melaporkan senario PHKS yang
sempat dirakamkan (sehingga tarikh deadline penerbitan
PELANCAR) di 11 buah negeri iaitu Melaka,
Terengganu, Johor, Perak, Wilayah Persekutuan, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor,
Kelantan, Sabah dan Perlis. Ikuti perkembangannya dalam laporan khas kali ini.
SMK SERI TANJONG JUARA BERGANDA– WAKIL MELAKA
PASUKAN Koperasi SMK Seri Tanjong
Berhad telah memecah rekod Perayaan
Hari Koperasi Sekolah (PHKS) peringkat negeri tahun ini, apabila berjaya
merangkul gelaran juara sekali gus untuk pertandingan kuiz dan petanq, sempena
sambutan PHKS peringkat negeri Melaka di SMK Teknik Bukit Piatu pada 21 hingga
22 Mei yang lalu.
Kejayaan ini melayakkan pasukan koperasi tersebut sebagai
wakil tunggal dari Melaka untuk bertanding di peringkat
kebangsaan pada 17 hingga 18 Julai di Wisma
Ungku A. Aziz, Kelana Jaya.
Tempat kedua pertandingan petanq dimenangi oleh Koperasi
SM Teknik Dato’ Seri
Mohd. Zin Berhad. Sementara tempat ketiga disandang oleh Koperasi SM Sains
Muzaffar Shah Berhad. Lapan pasukan sekolah berentap di peringkat suku akhir
itu.
Koperasi SMK Seri Tanjong Berhad bergelar juara berganda
apabila berjaya mengalahkan pasukan Koperasi SM Sains
Muzaffar Shah Berhad (juara 2003)
dalam pertandingan
kuiz. Koperasi SMK Seri Tanjong Berhad mendapat 77 markah, manakala Koperasi
SMK Tinggi Perempuan Melaka Berhad mendapat 66 markah. Sementara Koperasi
SM Sains Muzaffar Shah Berhad di tempat ketiga dengan 52 markah. Sebanyak
enam pasukan
sekolah telah bertanding untuk melayakkan diri ke peringkat akhir kuiz.
Naib Yang Dipertua ANGKASA, Hajah Rahaiah Baheran dalam ucapan
alu-aluannya berkata, HKS kini bukan sahaja menganjurkan
pertandingan kuiz dan petanq,
malah juga pertandingan
esei, melukis. Kursus Jati Diri pula diadakan untuk koperator muda.
Selain memuji persembahan peserta
yang benar-benar memahami struktur koperasi melalui pantun
yang disampaikan, beliau
juga berkata, negeri
Melaka adalah
antara negeri yang berpotensi untuk menjayakan projek Pelancongan
Koperasi Sekolah (PKS)
anjuran ANGKASA, memandangkan negeri ini sering dikunjungi pelancong.
Projek PKS ANGKASA yang pertama telahpun dilancarkan di SMK Teknik
Bukit Piatu dengan
pakej ‘Menjejaki Munsyi Abdullah’.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah dilakukan oleh Exco
Pelajaran Melaka, Datuk Mohd Yaakub Md. Amin.
PHKS peringkat negeri Melaka turut dimeriahkan dengan penyertaan
45 peserta dalam pertandingan esei Kategori A dan B. Pertandingan
melukis
pula disertai
93 peserta
untuk Kategori A dan B. Sementara Kursus Jati Diri dihadiri oleh
kira-kira 50 anggota koperasi sekolah.
– NOR AZAH A. AZIZ
Sambungan >>