PELANCAR ONLINE
JANUARI 2005

 

 

 

 

Penubuhan TASKA Di Koperasi

PENUBUHAN Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) oleh koperasi semakin mendapat perhatian daripada anggota-anggota dan Anggota Lembaga Koperasi (ALK). Ia bukanlah sesuatu kegiatan yang baru diper-kenalkan, malah idea penubuhan TASKA di koperasi telah dicetuskan oleh Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Diraja Ungku A. Aziz semenjak tahun 1995 lagi.
Walaupun pada peringkat permulaan, ia kurang mendapat sambutan yang menggalakkan, tetapi mulai tahun 1997, dengan usaha gigih Pengerusi Jawatankuasa Wanita ANGKASA, Hajah Rahaiah Baheran berjaya meyakinkan koperasi mengenai faedah yang diperoleh dan telah mendapat perhatian yang sewajarnya.

Bagi menjayakan usaha murni ini, Bahagian Pendidikan, Penerangan, Penerbitan dan Perkhidmatan (B4P) ANGKASA melalui Unit Pembangunan Wanita dan Taman Cahaya Mata (TCM) telah dipertanggungjawab untuk memberi latihan dan bimbingan kepada bakal pengusaha TASKA dan anggota koperasi yang berminat dalam bidang pengasuhan kanak-kanak.
Bagi koperasi yang berminat untuk menubuhkan TASKA atau ingin menghantar pengasuh untuk mendalami bidang ini boleh menghantar peserta bagi mengikuti Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAAK) anjuran ANGKASA sebanyak dua kali setiap setahun. Kursus yang telah dijalankan adalah dengan kerjasama Persatuan TASKA Negeri Selangor (PTNS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM).

Tempoh kursus adalah selama 18 hari dan peserta perlu menghadiri kuliah, mengambil bahagian dalam aktiviti berkumpulan, serta menduduki ujian amali dan bertulis. Ujian-ujian tersebut dikendalikan oleh JKMM dan Sijil Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak akan diberi kepada peserta yang lulus di dalam ujian-ujian tersebut.

Sijil yang diiktiraf oleh JKMM itu merupakan syarat wajib yang perlu diperoleh bagi setiap pengusaha dan pengasuh kanak-kanak. Penyertaan bagi kursus ini terhad kepada 30 orang bagi setiap pengambilan dan perlu memenuhi kriteria yang telah ditetapkan. Ini akan memastikan kualiti pengasuhan sentiasa dapat dikekalkan di samping dapat memberi khidmat nasihat kepada lulusan kursus yang akan membuka TASKA di koperasi masing-masing.

Di dalam kursus tersebut terdapat 28 modul yang menyentuh secara teori dan kaedah perlaksanaan asas yang merangkumi perkembangan menyeluruh kanak-kanak, kegiatan-kegiatan yang menyumbang kepada perkembangan kanak-kanak,pemakanan dan kesihatan kanak-kanak, kepentingan penglibatan ibu dan bapa di TASKA, akta dan peraturan yang mesti dipatuhi, pengurusan rekod serta pentadbiran di TASKA.

Walau bagaimanapun, kursus tersebut adalah sebagai langkah permulaan bagi seorang pengusaha TASKA. Kejayaan turut bergantung kepada kemahiran dan komitmen yang diberikan di dalam bidang pengasuhan kanak-kanak yang begitu luas skopnya. Jawatankuasa Wanita ANGKASA peka terhadap keperluan untuk memberi kursus lanjutan kepada pengusaha dan pengasuh kanak-kanak.

Oleh itu, adalah di dalam perancangan Unit Pembangunan Wanita dan TCM untuk menawarkan kursus lanjutan kepada para pengasuh dan pengusaha TASKA yang sedia ada bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka. Di samping itu, Unit ini sentiasa mengemaskini senarai TAKSA yang telah ditubuhkan oleh koperasi atau yang di dalam proses penubuhan. Sebarang pertanyaan dan maklumbalas amatlah dialu-alukan dengan menghubungi:

Ketua Unit Pembangunan Wanita Dan TCM B4P
No. Telefon : 03-78008127
E-mel : hamidahmj@angkasa.coop

 

 


 

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop