Skim Pajak Gadai Islam Ar-Rahnu:Konsep Dan
Perlaksanaannya
Latar Belakang
DI BAWAH Seksyen 46, Akta 81–Akta Pemegang
Pajak Gadai 1972,
ianya menyebut bahawa organisasi berikut adakah dikecualikan
daripada peruntukan Akta ini, iaitu :
- Sebuah bank yang diberi lesen untuk menjalankan
perniagaan bank di
Persekutuan;
- Bank Pertanian Malaysia yang ditubuhkan di
bawah Akta Bank Pertanian
- Malaysia 1969; dan
- Sebuah syarikat kerjasama yang didaftarkan
di bawah mana-mana
undang-undang bertulis yang berkuatkuasa di Persekutuan berhubung
dengan syarikat kerjasama.
Sehubungan dengan Akta di atas
maka wujudlah satu peluang baru yang selaras dengan tuntutan
Islam yang mana ianya dinamakan Skim Pajak Gadai Islam Ar-Rahnu.
Skim ini juga merupakan rentetan dari perlaksanaan Syariah
dalam sistem perbankan pada awal 1983.
Ianya telah dilaksanakan buat pertama
kalinya oleh Majlis Agama Islam Terengganu pada 23 Januari
1993 dengan dikenali sebagai Muassasah Gadaian Islam Terengganu.
Perlaksanaannya yang memenuhi kehendak
Syariah Islam telah menarik minat Perbadanan Kemajuan Iktisad
Kelantan (PKNK). Melalui anak syarikatnya iaitu Permodalan
Kelantan Berhad (PKB) ia telah mewujudkan ‘Kedai Ar-Rahn’ yang
mula beroperasi pada Mac 1992.
Dari segi perlaksanaan yang lebih
meluas, Bank Kerjasama Rakyat dengan kerjasama Yayasan Pembangunan
Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) telah memperkenalkan skim ini
kepada masyarakat umum. Perlaksanaannya mendapat kerja-sama
sepenuhnya dari Bank Negara Malaysia yang turut bertindak sebagai
badan kawal selia kerajaan.
Sambutan yang baik dan meng-galakkan
daripada pelbagai golongan telah memberi peluang kepada YPEIM
untuk menjadi pelopor yang berdaya saing. Fasa seterusnya dijalankan
dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan Bank
Pertanian Malaysia (BPM). Sungguhpun begitu, perlaksanaan skim
ini di semua institusi kewangan adalah sama kerana hukum Syariah
dijadikan landasan dan panduan.
Memandangkan skim ini berdaya maju
dan memenuhi kehendak dan hukum Syariah, beberapa badan pergerakan
koperasi dan kerajaan negeri telah mula menceburkan diri ke
dalam bidang ini. Kerajaan Perlis, sebagai contoh, telah menubuhkan
Pajak Gadai Islam pada Januari 1997.
Antara badan pergerakan koperasi
yang terawal dalam perlaksanaan skim ini ialah Koperasi Pengguna
Pahang Berhad, Koperasi Gabungan Pekebun Kecil Perak Berhad
dan Koperasi Kakitangan Kerajaan Dan Badan-Badan Berkanun Terengganu
(KOKANUN).
Sebagai contoh, KOKANUN telah mewujudkan
Muassasah Gadaian Islam (Ar-Rahnu) KOKANUN atau 2001. Ianya
telah mula beroperasi pada tarikh yang sama setelah mendapat
mandat daripada anggota-anggotanya dalam Mesyuarat Agung Tahunan
KOKANUN Kali Ke-31 pada 17 Jun 2000.
Namun begitu, secara praktikal-nya, menurut perangkaan oleh Bank
Negara Malaysia, nilai pajak gadai Islam hanya merangkumi 15 peratus
dari pasaran pajak gadai sedia ada, manakala nilai pinjaman yang
ditawarkan hanyalah RM275 juta berbanding dengan jumlah nilai pinjaman
sedia ada iaitu RM1.5 bilion.
Pengenalan
Skim Pajak Gadai Islam Ar-Rahnu
ditubuhkan atas dasar Fardhu Kifayah dan bukan atas dasar keuntungan
semata-mata oleh pelaksanaannya. Antara tujuan utamanya ialah
untuk menghapuskan riba atau hasil bunga (faedah) dan gharar
yang dikenakan oleh pengusaha kedai pajak gadai secara konvensional.
Walaupun menurut Akta Pajak Gadai 1972, had maksimum caj faedah
bulanan adalah sebanyak 2.5 peratus, namun secara realitinya,
jumlah yang dikenakan ialah sekitar tiga hingga empat peratus
sebulan.
Skim ini memberikan kemudahan
alternatif kepada kemudahan pin-jaman yang sedia ada di samping
memberi pilihan kepada peminjam untuk menuruti kehendak dan
hukum Syariah.
Skim ini beroperasi dengan memberi
pinjaman ihsan sementara kepada yang memerlukan, dengan cagaran
atau barang sandaran yang di-namakan ‘marhun’.
Di dalam konsep ini, sesuatu barang yang berharga dijadikan
sebagai cagaran yang terikat dengan hutang. Secara ringkasnya,
sekiranya hutang tersebut tidak dijelaskan, maka ‘marhun’ itu
tadi boleh digunakan untuk menjelaskan baki hutang tersebut.
Tujuan ‘marhun’ ini
ialah untuk meyakinkan tuan punya hutang/pemiutang bahawa risiko
pembayaran semula hutang tadi dapat dikurangkan. Sementara
di pihak penghutang, mereka ini tidak perlu menanggung beban
pembayaran semula yang tinggi, sebaliknya jalan penyelesaian
terbaik telahpun dipersetujui.
Bagi hutang tadi pula, skim ini
melaksanakan prinsip Al-Qardhul Hasan (bantuan ihsan), iaitu
pinjaman tanpa faedah yang lebih bersifat kepada sikap tolong
menolong dan bantu membantu sesama Islam.
Sementara prinsip Al-Wadiah pula
ialah akad di antara tuan punya barang dengan pihak yang menyimpan
barang gadaian tersebut.
Atas dasar Al-Wadiah inilah, skim
ini akan mengenakan bayaran upah simpan selamat (safe custody
fee) ke atas barang gadaian tadi.
Secara ringkasnya, skim ini tidak akan mengenakan faedah kepada
pinjaman tetapi hanya mengambil upah untuk menyimpan dengan selamat
ke atas barang gadaian.
Menurut perspektif Islam, skim ini memenuhi ciri-ciri
berikut:
- Bebas dari unsur-unsur riba, selari dengan
kehendak dan hukum Islam.
- Ianya berkonsepkan fardhu kifayah; iaitu membantu
sesama umat yang memerlukan pertolongan.
- Meletakkan tanggungjawab sosial ke atas peminjam
dan pemberi
pinjaman yang mana ianya hanya menggunakan konsep upah perniagaan
yang dibenarkan oleh Syarak.
- Paduan yang syumul antara sifat-sifat komersil
dan amal jariah; adil dan tidak membebankan peminjam.
- Meningkatkan sikap amanah kepada pengusaha;
menyimpan
barang gadaian tersebut dengan baik.
- Transaksi perniagaan yang lebih telus; bersandarkan
kepada harga
semasa barang gadaian (kebiasaannya barang gadaian ialah emas).
Sementara dari perspektif pergerakan badan koperasi
pula, Skim Pajak Gadai Islam Ar-Rahnu ini memenuhi ciri-ciri
berikut :
- Mempelbagaikan aktiviti perniagaan, yang mana
ianya boleh
mendatangkan pulangan yang baik ke atas pelaburan yang dibuat
oleh koperasi.
- Mengurangkan risiko hutang tidak berbayar
(NPL) kerana semua hutang yang diberikan adalah terjamin.
- Memecahkan monopoli pajak gadai konvensional
yang biasanya
membebankan para penggadai yang memerlukan wang.
- Memberi pilihan pinjaman yang bebas riba’ kepada
semua anggota
koperasi khasnya dan umat Islam, amnya.
- Membantu mereka yang terdesak atau memerlukan
dengan memberikan pinjaman yang lebih mudah urusan transaksinya.
- Meningkatkan keperibadian yang baik kepada
pengusahanya; dari segi sifat amanah, jujur, telus, kemahiran
dalam keilmuan dan pengurusan dan sebagainya.
Konsep, Rukun Dan Ciri-Ciri Perlaksanaan
Konsep:
Berlandas dan berpandukan kepada hukum Syariah iaitu :
- Ar-Rahnu: mekanisma di mana
sesuatu barang yang berharga dijadikan sandaran ke atas hutang.
Tidak ada unsur riba’ ke atas pinjaman tetapi hanya
upah menjaga barang cagaran sahaja dikenakan.
- Al-Qardhul Hasan: pinjaman
ihsan yang diberikan adalah bebas dari
unsur riba’atau faedah.
- Al-Wadiah: akad untuk menjaga
keselamatan barang yang dicagar.
Rukun:
Rukun Ar-Rahnu terbahagi kepada:
- Penggadai: orang yang menggadai/orang
yang berhutang.
- Penerima Gadaian: pemegang
gadaian/pemberi pinjaman.
- Barang Gadaian : barang yang
berharga yang terletak di bawah
simpanan penerima gadaian.
- Tanggungan Gadaian: jumlah
yang terhutang.
- Sighah/Perjanjian: perjanjian
berkaitan pinjaman yang diberikan atau hutang dan gadaian.
CIRI-CIRI PERLAKSANAAN (PENGURUSAN)
Di Peringkat Ahli Exco Lembaga Pengarah
Ianya akan dikendalikan oleh Ahli
Exco Lembaga yang dilantik dari kalangan Anggota Lembaga Koperasi
(ALK). Mereka yang dilantik ini akan menentukan hala tuju sebenar
skim ini sebelum ianya dilaksanakan sepenuhnya. Antara perkara
yang perlu dititikberatkan ialah:
- Jumlah modal kerja yang akan disumbangkan.
- Modus operandi skim ini; termasuk kumpulan
sasaran.
- Penyediaan pusat/bilik operasi; termasuk dari
segi perlaksanaan dan
pengurusan, keselamatan operasi, peralatan dan perkakasan yang
diperlukan, insurans ke atas pekerja dan barangan yang disimpan,
laporan perjalanan dan kewangan operasi dan sebagainya.
- Kawal selia operasi.
- Lain-lain yang berkaitan.
Peringkat Pentadbiran
Urusan pentadbiran amat penting bagi memastikan operasi harian
berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Secara ringksnya adalah
seperti di bawah:
- Pengurus Operasi (Seorang)
Pengurus Operasi bertanggung-jawab dalam menilai perkem-bangan
dan pembangunan skim ini. Beliau juga bertanggung-jawab dalam
melaksanakan keputusan Ahli Exco Lembaga Pengarah, memastikan
sistem pentadbiran operasi mengikut perancangan, memastikan
urus-niaga berlaku secara telus dan tanpa penipuan. Secara
amnya, tugas ini melibatkan satu tanggungjawab yang besar.
- Penilai (Seorang)
Penilai bertanggungjawab untuk menilai barang gadaian (ke-biasaannya
emas) mengikut nilai semasa di pasaran, menentukan kesahihan
barang gadaian, kecekapan dalam menggunakan peralatan dan
perkakasan dan sebagainya. Secara amnya, penilai merupakan
nadi utama dalam pelaksanaan operasi skim ini.
- Kerani Operasi (Dua Orang)
Ditempatkan di kaunter urus niaga bagi menguruskan proses gadaian
dan juga penebusan harian. Mereka ini terletak sepenuhnya
di bawah tanggung-jawab Pengurus Operasi yang mengawal selia
semua urusan yang terbabit dengan kewangan dan barang gadaian.
CIRI-CIRI PERLAKSANAAN (OPERASI)
- Tujuan
Memberi pinjaman bersandarkan nilai semasa di pasaran ke atas
cagaran (emas).
- Margin Pinjaman
50 peratus nilai semasa di pasaran ke atas cagaran.
- Kadar Upah Simpan
RM0.60 sebulan setiap RM100 nilai marhun (nilai marhun yang kurang
daripada RM1000).RM0.70 sebulan setiap RM100 nilai marhun
(nilai marhun yang lebih daripada RM1000).
* Bagi meningkatkan prestasi operasi, ianya banyak bergantung
kepada ‘volume of sales’.
- Tempoh Pinjaman
Maksimum tempoh bayaran semula ialah enam bulan.
Tempoh peringatan pertama akan dilanjutkan kepada dua bulan.
Tempoh peringatan kedua/terakhir akan dilanjutkan kepada dua
bulan lagi.
* (Tempoh pinjaman: enam bulan + dua bulan + dua bulan).
- Sekuriti/Cagaran
Emas Tulen (bergantung kepada keadaan fizikal dan jenisnya).
- Bayaran Balik
Sekali gus atau ansuran (bergantung pada budi-bicara pihak pengurusan).
- Kelulusan
Serta-merta atau semua urusan penggadaian atau penebusan selesai.
- Hasil Lelongan
Barang gadaian yang tidak ditebus selepas tamat tempoh pinjaman
akan dilelong mengikut harga pasaran semasa. Hasil lelongan
akan ditolak pinjaman yang tidak berbayar, upah simpan dan
kos-kos lain yang terbabit. Bakinya akan dipulangkan kepada
penggadai.
- Peralatan Ujikaji
Penggunaan batu hitam, kanta pembesar dan asid.
* Peralatan yang lebih sofistikated adalah dicadangkan namun
ianyaterbatas dari segi prestasi operasi, harga/kos pembelian,
penggunaan yang maksimum memerlukan seorang yang terlatih dan
lain-lain faktor yang terlibat.
- Perkakasan Penimbangan
Electronic Balance dan Electronic Densimeter.
* Perkakasan yang lebih sofistikated adalah dicadangkan namun
ianya terbatas dari segi prestasi operasi, harga/kos pembelian,
penggunaan yang maksimum memerlukan seorang yang terlatih dan
lain-lain faktor yang terlibat.
- Peralatan Dan Perkakasan Keselamatan
Pejabat operasi, peti besi (dua unit), kabinet kalis api (untuk
menyimpan dokumen-dokumen) dan bilik kebal.
- Insurans
Merangkumi insurans pengurusan wang tunai,pemindahan wang tunai,
perlindungan kebakaran, perlindungan kecurian dan sebagainya.
PERMASALAHAN, HAD ATAU
BATASAN
1. Secara keseluruhannya, pentadbiran
dan pengurusan perlaksanaan skim ini memerlukan hala tuju yang
selari dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh hukum syarak
khususnya dan undang-undang awam atau pihak berwajib, amnya.
Ini kerana per-laksanaan skim gadaian memerlukan pemantauan
yang meluas terutamanya dari segi kewangan yang mana ianya
melibatkan barangan gadaian (emas) dan juga tunai.
2. Pemilihan aset atau barangan gadaian. Ini meliputi penyenaraian
jenis aset yang boleh digadaikan. Apakah hanya terhad kepada emas?
Bagaimana dengan aset lain yang mempunyai harga di pasaran? Contohnya
tanah, rumah, sijil-sijil saham, sijil-sijil pelaburan?
3. Penilaian aset yang terdedah kepada kemeruapan, contohnya emas,
yang mana ini akan menimbulkan sedikit masalah dari segi operasi
sekiranya kakitangan yang ditugaskan tidak cukup kemahiran dan
latihan. Kualiti emas, rupa bentuk dan sifat fizikalnya juga memainkan
peranan dalam urusan penggadaian.
4. Adakah caj marhun yang dikenakan, jumlah pinjaman dan tempoh
pinjaman yang diberikan kepada penggadai adalah sama? Proses ini
memerlukan pertimbangan yang adil dan sewajarnya dari pihak pengurusan
terutamanya Pengurus Operasi.
Semua permasalahan, had dan batasan ini hendaklah dikaji, diteliti
dan diperhalusi sebelum Skim Pajak Gadai Islam Ar-Rahnu dapat dilaksanakan
dengan seadilnya; baik kepada pemberi pinjaman, penggadai, masyarakat
dan mereka yang berkaitan.
Namun begitu, untuk renungan bersama, permasalahan, had dan batasan
di atas hanyalah sebahagian dari rangka kerja dan rangka operasi
skim ini. Ianya hanya panduan kecil sebelum perlaksanaan skim ini
dipertimbangkan.
KESIMPULAN
Semoga dengan adanya Skim Pajak
Gadai Islam Ar-Rahnu ini, ia dapat memberi pilihan kepada masyarakat
Islam, amnya dan anggota-anggota koperasi, khususnya dalam
mengatasi masalah kewangan. Dengan ini, mereka yang memerlukan
pinjaman segera tidak lagi terbelenggu dengan sistem pajak
gadai sedia ada konvensional yang lebih bersifat menekan dan
menindas. Selain dari itu, kemudahan ini selaras dengan dasar
dan prinsip perjalanan sistem berkoperasi; tolong-menolong
dan bantu-membantu antara satu sama lain.
|