Koperasi Nasaruddin Rai Tetamu IDACA
PADA 1 September 2004, Koperasi
Peserta-Peserta Rancangan (KPR) Nasaruddin Pemulihan Berhad,
Bota Kanan, menerima pelawat dari luar negara. Mereka adalah
para peserta kursus 4th ICA IDACA Women Training Course Japan.
Kami dan anggota KPR berasa amat gembira kerana berpeluang
berinteraksi dengan tetamu luar negara itu. Anggota Lembaga
Koperasi (ALK) bersama Pengurusan FELCRA Kawasan Nasaruddin
sibuk membuat persiapan sepanjang minggu tersebut. Acara sambutan
ini diadakan di perkarangan pejabat Pengurus Kawasan FELCRA
Berhad.
Ramai tetamu di kalangan pemimpin
setempat dijemput untuk bersama kami. Rombongan pelawat terdiri
daripada Encik Sethu Madhaban daripada ICA, Oshita san daripada
IDACA, Puan Yushiko Mabuchi, pemimpin wanita dari Koperasi
Jepun serta ALK mereka dan para peserta dari negara-negara
India, Nepal, Bangladesh dan Malaysia. Mereka diiringi oleh
pegawai dari ANGKASA, Hajah Roszurina Omar, Puan Hamidah dan
Puan Hajah Asmara.
Ketibaan mereka disambut dengan
paluan kompang. Satu persembahan tarian Dabus yang jarang dipertontonkan
dan unik bagi Daerah Perak Tengah diadakan di halaman Dewan
FELCRA. Tarian dipersembahkan oleh pelajar-pelajar Sekolah
Menengah Dato’ Abdul Rahman Yaacob (SMDARY), Bota di
bawah bimbingan guru, Encik Kamarul Zaman Haji
Zalamuddin yang juga Jawatankuasa
Audit Dalaman (JAD) KPR kami.
Hampir 100 anggota KPR dan FELCRA Berhad menyaksikan persembahan
tersebut bersama tetamu. Perantara majlis ini dibuat dalam dwi-bahasa;
Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris oleh guru SMDARY dengan dibantu
oleh beberapa ahli keluarga yang boleh berkomunikasi dalam Bahasa
Inggeris.
Sebagai Pengerusi KPR, Hajah Salbiah
Nek menyampaikan taklimat dalam Bahasa Inggeris dengan menggunakan
Power Point. Persembahan banyak menumpukan kegiatan pertanian
sawit selepas penggantian getah di samping prestasi dan aktiviti
KPR. Taklimat disusuli dengan sesi soal jawab.
Mereka ingin mengetahui cabaran,
halangan dan perancangan yang dilaksana. Encik Sethu Madhaban
dan Oshita san, saya kenali semasa berkursus di IDACA, Jepun
pada tahun 2000 dan semasa menyertai Workshop Agriculture Cooperative
di Hanoi tahun 2003. Sesi soal jawab diakhiri dengan pertukaran
cenderamata. Setiap peserta kursus kami bekalkan satu CD. Bagi
ketua rombongan dan wakil negara dihadiahkan dengan sehelai
bendera dari tenunan songket oleh anggota KPR sendiri.
Jamuan makan tengah hari ala kampung
menghidangkan ikan bakar cicah air asam, pecal, gulai nangka,
ayam ros, sayur dan lain-lain lagi. Hidangan ini kami sesuaikan
dengan dua orang tetamu vegetarian. Pembasuh mulut kami hidangkan
puding, buah-buah tempatan seperti durian, rambutan, pisang,
langsat dan betik. Tetamu Jepun menyukai durian setelah digembar-gemburkan
oleh Pengerusi semasa taklimat.
Mereka diingatkan supaya banyak meminum air kosong,jangan
meminum ‘sake’ atau minuman keras. Selepas selesai
makan tengah hari ketika semua bersantai mereka mengambil peluang
mengenali kami dan anggota veteran yang pernah melalui zaman
perang Jepun, mencuba Bahasa Jepun. Mereka juga banyak bertanya
tentang hal-hal kemasyarakatan, keadaan sekeliling, tanaman
dan aktiviti seharian.
Pada sebelah petang kami menaiki
bas menuju ke kilang memproses sawit milik FELCRA. Di sana
pelawat ditunjukkan rupa sebenar sawit, minyak sawit mentah;
CPO, bahan buangan yang diproses menjadi lain-lain lagi. Mereka
juga dibawa ke bangunan kilang. Kami membawa mereka meneruskan
perjalanan melintasi kawasan tanaman sawit yang indah kehijauan
beribu ekar luas-nya. Sampai ke penempatan peserta Rancangan
FELCRA Nasaruddin Belia, mereka dibawa melihat rumah kediaman
yang sama bentuknya. Perjalanan diteruskan menuju ke ladang
sawit bagi menyaksikan bagaimana buah sawit dituai dari-pada
pokok yang berumur 20 tahun.
Kami kemudian membawa mereka ke
rumah seorang anggota KPR yang tinggal di tapak perumahan rancangan
ini. Terdapat lapan buah rumah yang dihuni oleh anggota KPR.
Tapak rumah seluas 0.25 ekar ini diperuntukkan kepada setiap
peserta FELCRA. Tapak rumah ini terabai hampir 40 tahun. Hanya
pada penghujung tahun 2000, baru ada usaha bagi membolehkan
peserta rancangan membina rumah. Kerja membersih, menambak
dan memotong tanah ini diserahkan oleh FELCRA Berhad kepada
KPR dengan kos dibiayai oleh Kementerian Pem-bangunan Luar
Bandar, termasuk membina infrastruktur. Pemimpin institusi
peserta (KPR dan JKKP) telah berusaha mendapatkan pembiayaan
dengan bantuan beberapa pihak. Sebelum ini kami telah menggunakan
wang sumbangan daripada setiap peserta untuk membersihkan tapak
bagi menarik minat peserta membina rumah mereka. Usaha tersebut
tidak berjaya kerana ketiadaan infrastruktur.
Kami tiba di rumah Haji Zahari
Abdul Rani. Para peserta disajikan dengan bihun goreng, agar-agar,
lemang serta rendang dan beberapa juadah kampung. Mereka makan
dengan duduk bersimpuh di atas tikar. Sebelum menjamah juadah
kami meminta tuan rumah memper-kenalkan diri beliau serta keluarga.
Mereka tertarik dengan hiasan rumah yang menarik, dikira antik,
reka bentuk dan persekitaran.
Ada pelawat dari Jepun berminat
mempelajari cara memakai kain tudung yang digayakan oleh kaum
wanita Muslim di Malaysia. Hajah Asmara bersedia menunjukkan
cara dengan dua orang model dari Jepun. Dengan gaya bertudung
kedua-dua mereka nampak ayu. Lewat petang kami meninggalkan
rumah keluarga Haji Zahari dengan pelbagai kenangan.
Bas meluncur menuju projek tapak
rumah kami yang sedang rancak diusahakan. Kami menjangkakan
bas dapat melintasi kawasan ini. Disebabkan kerja sedang berjalan
kami hanya melihat keluasan dan rupa bentuk potongan bumi yang
dirancang elok. Rombongan ini kemudiannya singgah di kedai
mini KPR yang baru tiga hari beroperasi. Barang jualan pun
belum diisi penuh. Kami melakukan acara memotong riben perasmian
kedai. Puan Yushiko Mabuchi, pemimpin wanita koperasi dari
Jepun telah diberikan penghormatan merasmikan kedai mini KPR.
Peserta telah berbelanja di KMKPR. Puan Yushiko Mabuchi telah
membeli habis dua papan perencah bihun goreng syarikat tempatan
kerana telah merasa keenakan masakan tersebut. Kami tunjukkan
kepada mereka beberapa jenama minyak hasil sawit Malaysia.
Secara tidak langsung kami berkempen bahawa semua makanan yang
dihidangkan hari itu dimasak dengan minyak sawit Malaysia.
Mereka seterusnya meneruskan perjalanan
ke Ipoh dengan bas pesiaran. Ada beberapa perkara dapat kami
fahami daripada pelawat-pelawat tersebut. Antaranya anggota
KPR mendapat pendedahan peluang berinteraksi dengan orang luar.
Mereka sedar bahawa adalah tidak mustahil jika sesuatu perkara
itu diusaha dengan bersungguh-sungguh, pasti akan berjaya.
Lawatan ini melahirkan kemuafakatan serta kerjasama rapat antara
pengurusan FELCRA kawasan dengan KPR dan sokongan padu daripada
ibu pejabat FELCRA Berhad. Keupayaan kepimpinan ALK KPR dapat
dibuktikan kepada kebanyakan anggota yang kurang yakin dengan
keupayaan kami. Ini sekali gus menambah rasa keselesaan sebahagian
daripada mereka terhadap kami, ALK.
Sepanjang perjalanan lawatan tersebut,
saya menaiki bas bersama peserta rombongan. Ini memberi peluang
kepada saya menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh para
peserta.
Hanya Oshita-san sahaja yang tidak
perlu bertanya lagi kerana saya telah memberi penerangan yang
secukupnya semasa berkursus 10 hari di IDACA tahun 2000 di
mana saya telah membentangkan country paper bagi Malaysia.
|