Pupuk Kesetiaan Anggota terhadap Koperasi
KEJAYAAN ANGKASA menyediakan peluang
pendidikan koperasi kepada ramai koperator menerusi kursus-kursus
anjurannya turut menyumbang kepada kemantapan dan kejayaan
gerakan koperasi di negara ini. Malah melalui program pendidikan
anjuran ANGKASA juga pelbagai peringkat masyarakat dapat mendalami
ilmu mengenai koperasi dan mereka juga dapat memainkan peranan
berkesan dalam membantu sesebuah koperasi agar mencapai kejayaan
sebagaimana yang diharapkan.
Sememangnya sesuai dengan lumrah
manusia, ilmu yang dipelajari boleh dimanfaatkan untuk kebaikan
diri sendiri juga masyarakat. Begitu juga dengan ilmu koperasi,
ia boleh dimanfaatkan oleh setiap anggota koperasi untuk memberi
sumbangan terbaik melalui cara-cara yang betul bagi mencapai
kejayaan sebagaimana yang diimpikan oleh koperasi.
Apa yang perlu ditekankan kepada semua
anggota koperasi ialah mereka sewajarnya menjadi pemangkin secara
bersama yang boleh menentukan hala tuju dan juga pencapaian koperasi.
Mereka merupakan orang yang bertanggungjawab secara bersama yang
boleh merancang dan melaksanakan perancangan agar koperasi mencapai
kejayaan sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat agung.
Sehubungan itu ungkapan “baik
buruknya sesebuah koperasi terletak di tangan setiap anggota
koperasi” ada kebenarannya. Ini kerana para anggotalah
yang akan menentukan maju mundurnya sesebuah koperasi. Mereka
yakni anggota merupakan pemilik bersama koperasi dan mereka
jugalah yang menentukan apakah kegiatan terbaik yang hendak
dijalankan oleh koperasi.
Saranan dan ingatan Yang Dipertua
ANGKASA, Prof. Diraja Ungku A. Aziz bahawa anggota koperasi
perlu setia dan sentiasa menyokong penuh usaha koperasi perlu
diterapkan dalam minda setiap anggota. Ini supaya mereka dapat
memberi keutamaan kepada koperasi yang mereka anggotai.
Sewajarnya setiap anggota koperasi
perlu menjadi pelanggan setia kepada setiap perkhidmatan yang
disediakan koperasi. Justeru, selain mendapat khidmat, mereka
juga memperolehi keuntungan yang dijana oleh sesuatu perkhidmatan
yang disediakan koperasi.
Soal kesetiaan kepada koperasi
ini perlu diingatkan kepada setiap anggota. Ini kerana ia adalah
asas kejayaan kepada pencapaian sesuatu projek dan khidmat
yang dilaksanakan oleh koperasi. Jika sikap ini wujud dalam
setiap anggota koperasi, harapan untuk koperasi berjaya begitu
cerah dan tidak sukar dicapai. Kesetiaan yang ditunjukkan oleh
para anggota juga adalah merupakan perkara pokok yang dapat
membantu kejayaan koperasi.
Selain itu Prof. Diraja Ungku A.
Aziz juga sering memberi penekanan agar setiap mereka yang
diamanahkan untuk memimpin koperasi sentiasa mengamalkan nilai-nilai
murni iaitu AMANAH, SADIK dan TELUS. Beliau menjelaskan bahawa
dengan adanya nilai-nilai murni ini, koperasi akan dapat diurus
dengan baik dan modal saham koperasi juga akan diurus secara
ber-kesan agar para anggota koperasi mendapat pulangan yang
setimpal dengan jumlah yang dilabur menerusi penyediaan khidmat
koperasi kepada ahli.
Meskipun keuntungan yang banyak
bukan merupakan perkara utama dalam menjalankan kegiatan koperasi
tetapi ianya perlu untuk menampung kos operasi dan juga memberi
pulangan sewajarnya kepada anggota.
Di samping itu pengurusan yang
baik begitu penting kepada sesebuah koperasi kerana ia dapat
menjadikan koperasi berupaya berkembang maju di samping menambah
keyakinan para anggota koperasi kepada institusi milik bersama
itu.
Sesuai dengan peranan sebagai badan
apex koperasi di Malaysia, ANGKASA turut memberikan fokus kepada
pembangunan koperator di koperasi sekolah yang merupakan pemimpin
dan anggota pelapis koperasi di negara ini.
Para koperator muda ini perlu dibentuk
dengan ilmu koperasi bagi menjadikan mereka golongan yang boleh
memartabatkan kedudukan koperasi demi membantu meningkatkan
sosioekonomi ahli.
Sehingga kini sejumlah 1369 koperasi
sekolah telah menjadi ahli ANGKASA dan ia merupakan jumlah
yang besar dengan keanggotaan individu seramai kira-kira 1.27
juta koperator.
Sehubungan itu Prof. Diraja Ungku
A. Aziz sentiasa memberi penekanan kepada perlunya perkhidmatan
koperator muda demi menjayakan usaha untuk melahirkan koperator
berwibawa di negara ini pada masa depan.
Sementara itu Naib Yang Dipertua ANGKASA, Hajah Rahaiah Baheran
pula menjelaskan bahawa ANGKASA sentiasa memberi penekanan kepada
pengisian ilmu dikalangan koperator sekolah di seluruh negara.
Menurut beliau pembangunan koperator
koperasi sekolah adalah menjadi keutamaan ANGKASA dan sehubungan
itu pelbagai program pendidikan turut disediakan kepada mereka
sesuai dengan keperluan para pelajar untuk memahami selok belok
koperasi.
“Telah banyak penerapan ilmu
di kalangan koperator koperasi sekolah disediakan oleh ANGKASA
dan usaha ini akan tetap diteruskan agar mereka dapat memahami
koperasi dengan lebih mendalam,” jelas Hajah Rahaiah.
Beliau memberitahu usaha berkenaan
mencapai kejayaan dan lantaran itu modul untuk Kursus Siri
3 ANGKASA disediakan khusus untuk Anggota Lembaga Koperasi
(ALK) sekolah agar mereka dapat meningkatkan kefahaman pengurusan
koperasi sesuai dengan suasana pengurusan semasa.
Beliau juga menjelaskan usaha ANGKASA
menganjurkan Perayaan Hari Koperasi Sekolah pada setiap tahun
telah dapat meningkatkan tahap pemahaman di kalangan koperator
koperasi sekolah dan mereka dapat melaksanakan tanggungjawab
ter-sebut dengan jayanya. Ini merupakan langkah yang berkesan
bagi mendidik koperator muda ke arah memahami koperasi dan
membantu koperasi supaya lebih berjaya.
Menurut beliau kesedaran mengenai
pentingnya penglibatan para anggota dalam koperasi akan membuatkan
rasa kepunyaan (sense of belongings) anggota kepada koperasi
terus meningkat dan ia berhubungkait dengan sikap ambil berat
anggota kepada koperasi.
Dari itu koperasi perlu memupuk semangat setia
di kalangan para anggotanya.
Kesedaran ini juga jelas Hajah
Rahaiah telah membuat ramai ahli koperasi berusaha untuk menghadiri
mesyuarat agung koperasi dan mereka mengambil bahagian dalam
mengemukakan idea agar koperasi dapat merintis jalan untuk
berjaya.
Golongan yang memahami koperasi
ini juga menurut beliau turut mengerti bahawa mereka perlu
menghadiri mesyuarat agung tahunan koperasi kerana ia merupakan
kuasa tertinggi yang memutuskan dasar koperasi.
Beliau menjelaskan segala ke-putusan
dan juga pembentangan laporan koperasi dapat diketahui oleh
semua anggota dan dengan adanya maklumat tersebut para anggota
dapat memainkan peranan yang sewajarnya dalam kegiatan koperasi.
Beliau berharap dengan adanya
Kursus Siri 3 ANGKASA ini para ALK sekolah dapat menggunakan
peluang berkenaan bagi menimba ilmu yang amat berguna kepada
mereka.
Usaha berterusan yang dijalankan
oleh ANGKASA ini diyakini berupaya meningkatkan tahap pencapaian
koperasi-koperasi ahli ANGKASA agar ia terus maju dan seterusnya
dapat membantu negara menjaya-kan gerakan koperasi secara keseluruhannya.
|