PELANCAR ONLINE
JANUARI 2005

 

 

 

 

Tugas Yang Diberi Bukan Bebanan

USAHA yang dilakukan oleh guru koperasi menjalankan kegiatan koperasi dengan lancar perlu dipuji dan disokong. Mereka menjalankan tugas dengan sukarela tanpa sebarang balasan. Walaupun dibebankan dengan tugasan mengajar demi anak-anak bangsa, mereka tetap menjalankan tugas sampingan tersebut dengan ikhlas dan bertanggungjawab.

Demikian menurut Pengetua merangkap Pengerusi Koperasi SM Sains Miri Berhad, Puan Rosey Haji Yunus ketika ditemubual oleh wakil PELANCAR di pejabatnya. Menurutnya, koperasi merupakan kerja tambahan yang perlu ditanggung oleh guru koperasi di samping kerja-kerja hakiki iaitu mendidik anak bangsa untuk berjaya dalam pelajaran.

“Sehingga kini, belum ada guru koperasi di sekolah ini yang melahirkan rasa kurang senang mereka memikul tanggungjawab yang diberikan. Malah, mereka bersedia memberikan kerjasama terbaik demi perkembangan dan kemajuan koperasi sekolah ini. Ini cukup membanggakan saya,” ujar beliau.

Justeru, pelajar seharusnya bersama-sama mem-bantu guru koperasi memastikan kejayaan koperasi milik mereka bersama. Jika seseorang pelajar itu aktif di dalam koperasi, banyak manfaat yang akan dinikmati oleh mereka. Antaranya ialah koperasi boleh dijadikan pusat latihan yang baik untuk pengurusan diri sendiri.

Tambahnya, melalui kegiatan koperasi dapat membentuk pelajar mengamalkan nilai-nilai murni di dalam kehidupan seperti bertanggungjawab, amanah, jujur dan boleh bekerjasama antara satu sama lain. Selain itu, koperasi boleh memupuk minat berniaga kepada pelajar yang terlibat secara langsung di dalam kegiatan koperasi.

Naib Pengerusinya, Puan Aziah Zaki berkata, sebagai pemimpin koperasi sekolah ini, kami sentiasa memberi-kan kerjasama dan buah fikiran untuk guru-guru koperasi menjalankan tugas mereka. Kami tidak pernah meminta mereka melaksanakan sesuatu tugas dengan cara terpaksa. Sebaliknya mereka dengan sukarela menjalankan tugas di koperasi dengan baik. Faktor inilah yang membolehkan koperasi sekolah ini maju dan berkembang.

Katanya, pada penghujung tahun lalu (2003) kedai koperasi telah diperbesarkan. Ini termasuk membina stor dan memperbesarkan ruangan perniagaan. Dengan pembinaan tersebut, pelanggan yang datang untuk berbelanja akan rasa lebih selesa dan pelbagai barangan boleh dijual di kedai koperasi. Sebelum ini, ruangan perniagaan agak sempit dan tiada tempat menyimpan barangan. Pembinaan bangunan tambahan ini melibatkan kos sebanyak RM15 000.

Sementara itu, Setiausahanya, Encik Azemi Ahmad berkata, seramai 16 orang pelajar telah dilantik sebagai jurujual di kedai koperasi. Mereka terdiri daripada pelajar tingkatan satu, dua dan empat sahaja. Ini bermakna pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM tidak dilantik memegang jawatan tersebut.

“Langkah tersebut bertujuan supaya pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan tidak dibebankan dengan tugasan tambahan tersebut. Mereka boleh menumpu-kan segala usaha untuk mencapai kejayaan di dalam pelajaran,” ujarnya.

Bendahari koperasi, Cik Tan Lee Fah menambah, pelajar yang dilantik sebagai ketua jurujual akan dilatih untuk merekodkan segala jualan setiap hari ke dalam akaun tunai. Dengan cara ini, pelajar lebih tahu cara-cara mengurus kewangan koperasi dan sistem yang digunakan.

Katanya, walaupun pelajar tersebut merekodkan segala jualan di kedai koperasi tetapi ini tidak bermakna guru koperasi atau Bendahari ‘lepas tangan’. Sebaliknya, mereka sentiasa memantau atau menyemak semula rekod-rekod yang telah dibuat oleh pelajar tersebut. Pendedahan yang diberikan ini sangat memberi manfaat kepada pelajar terbabit.

Naib Pengerusi koperasi, Puan Aziah Zaki mem-beritahu, antara perancangan koperasi sekolah ini ialah membina ampaian berbumbung untuk pelajar-pelajar yang tinggal di asrama. Dengan adanya ampaian tersebut nanti, ianya dapat mengelakkan pakaian yang sudah dijemur daripada hujan. Kos untuk menyediakan perkhidmatan tersebut agak mahal. Namun begitu, kami akan berusaha untuk mengadakannya.

Koperasi Sekolah Menengah Sains Miri Berhad, d/a Sekolah Menengah Sains Miri, Jalan Bakam, 98000 Miri, Sarawak. Tel. : 085-421371.


 

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop