Koperasi Di Bandar Banyak Cabaran
PULAU LABUAN merupakan Wilayah Persekutuan kedua
selepas Kuala Lumpur. Hanya berkeluasan kira-kira 90 kilometer
persegi, jarak yang begitu
hampir antara satu tempat ke satu tempat. Menurut masyarakatnya
untuk mengelilingi pulau pertukaran wang pesisir pantai ini hanya
mengambil masa kira-kira
satu setengah jam.
Sekalipun kecil, terdapat kira-kira sembilan buah sekolah menengah di pulau ini.
Termasuklah SMK Labuan yang jaraknya daripada pusat bandar kira-kira tiga kilometer
sahaja. Sekolah ini menampung lebih 1400 orang pelajar dan diangkat sebagai sekolah
gred A di pulau ini.
Wakil PELANCAR mendekati perjalanan urusan harian di sekolah ini terutama koperasinya.
Pertemuan dengan Puan Mazliyana Ibrahim selaku Bendahari membongkar serba sedikit
rahsia kejayaan Koperasi SMK Labuan Berhad ini.
Menurutnya, koperasi ini pernah merangkul Anugerah Kualiti Koperasi Peringkat
Negeri Sabah pada tahun 1999. Replika cek sebanyak RM500 daripada Jabatan Pembangunan
Koperasi (JPK) masih tersemat kukuh di dinding setor barangan koperasi yang juga
menempatkan sedikit ruang pejabat untuk guru Anggota Lembaga Koperasi (ALK).
Selaku Bendahari, Puan Mazliyana banyak mengetahui berkenaan akaun koperasi.
Terkini, koperasi ini menjadi perintis kepada penggunaan Program SEKKOP 123 yang
diperkenalkan oleh ANGKASA di Labuan ini. Malah, sejak setahun menggunakannya,
beliau merasa terhutang budi dengan ANGKASA yang sudi meringankan beban tugasnya
yang meliputi urusan di kedai koperasi selain tugasan hakiki mengajar dan berbagai-bagai
bentuk program ko-kurikulum lain.
Bagaimanapun, cabaran utama koperasi sekolah ini ialah kedudukannya yang berada
di lingkungan pusat bandar pulau ini yang memudahkan para pelajar mendapatkan
barangan keperluan pembelajaran mereka di luar. Berbagai-bagai strategi terpaksa
disusun untuk memastikan koperasi terus utuh dalam bersaing dengan pasaran luar
untuk meraih keuntungan.
Koperasi sekolah ini beroperasi di blok dewan sekolah setiap hari persekolahan.
Sementara stok barangnya pula disimpan di tingkat dua blok pentadbiran yang juga
menyediakan ruang pejabat serta sebuah komputer untuk memudahkan para ALKnya
terutama guru, bekerja di situ.
Menurut Pengurus koperasi, Encik Saminan Sabtu yang turut hadir di pertemuan
tersebut, pihaknya merancang untuk berpindah ke blok hadapan sekolah agar lebih
mudah dikunjungi. Apabila semua warganya lebih mudah melihat dan sampai ke koperasi
ini nanti, keuntungan tidak perlu lagi menjadi perkara yang perlu dirisaukan
untuk dicapai.
Difahamkan, projek terbaru yang dirangka dan bakal dilaksanakan ialah projek
pembelian buku-buku kerja oleh koperasi yang melibatkan semua matapelajaran.
Projek tersebut dijangka dimulakan pada awal tahun 2005 dengan persetujuan pihak
pentadbiran sekolah. Koperasi dijangka mendapat untung besar hasil projek jualan
tersebut dan bakal disalurkan sebahagiannya kepada pihak sekolah untuk pembangunan
dan kegunaan pihak sekolah.
Sebelum ini koperasi telahpun menyumbang kepada pihak sekolah secara tetap
sebanyak RM500 untuk hari ucapan dan penyampaian hadiah. Bagaimanapun sekiranya
terdapat
kemajuan dan perolehan menggalakkan di koperasi nanti, pihak koperasi pasti
tidak akan teragak-agak untuk menyumbang lebih kepada pihak sekolah bagi berbagai
kegunaan. Koperasi SMK Labuan Berhad, d/a SMK Labuan, Peti
surat 81094, 87021 Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah. Tel. :
087-412450 Faks : 087-421301.
|