PELANCAR ONLINE
JANUARI 2005

 

 

 

 

JPK Bantu Koperasi Miliki Bangunan Sendiri

KOPERASI SMK Tunku Putera Baling Berhad agak kurang dikenali. Namun dari penubuhannya hinggalah ia melalui lebih 16 kali mesyuarat agung, koperasi ini kekal beroperasi di sekolah dua sesi di daerah Baling ini.
Sepertimana koperasi-koperasi sekolah lain, kegiatan utamanya ialah menjual alat tulis, menyediakan khidmat fotostat, menghantar pelajar menyertai kuiz dan petanq dan sebagainya lagi. Kegiatan-kegiatan tersebut banyak membantu guru dan pelajar merencana pergerakan koperasi ini ke arah yang lebih cemerlang.

Menurut Setiausaha, Cik Suzana Mohd Khir, pihaknya kini merasa begitu bertuah dengan beberapa peningkatan yang meyakinkan di koperasi ini. Antara perubahan yang paling besar dalam koperasi ini ialah perpindahan kedai koperasi yang lama ke sebuah bangunan baru sumbangan daripada Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) negeri ini.

Difahamkan, sebanyak RM20 000 disumbangkan oleh JPK kepada koperasi sekolah ini sebagai memangkin serta menjana pergerakan koperasi dengan lebih cepat. Koperasi sekolah ini bagaimanapun turut mengeluarkan sedikit dana iaitu kira-kira RM2300 sebagai kos tambahan mencantikkan lagi kedai koperasi ini.

Memandangkan keadaan lanskap dan persekitaran sekolah ini yang berbukit-bukau, maka keadaan beberapa blok bangunannya juga terpaksa dibuat berperingkat-peringkat dan berasingan dengan disambungkan tangga ke setiap blok tersebut. Pihak koperasi pula agak bertuah kerana barisan hadapan sekolah ini menjadi lokasinya yang paling strategik dan mudah untuk semua pengunjung ke sekolah ini menjejakinya.

Bendahari, Encik Othman Yaakob yang turut hadir dalam pertemuan bersama wakil PELANCAR juga menambah, koperasi kini lebih ceria dan menyenangkan. Suasana kedai yang jauh lebih luas berbanding kedai koperasi yang lama, membolehkan berbagai-bagai bentuk barangan jualan dapat ditambah sesuai dengan keperluan warga sekolah ini.

Keanggotaan terkini koperasi iaitu seramai 2100 orang, banyak mem-bantu meningkatkan tahap jualan koperasi. Malah, berbagai-bagai kegiatan yang dirancang oleh Ang-gota Lembaga Koperasi (ALK) dapat melibatkan lebih ramai penyertaan seperti pertandingan kuiz, petanq dan juga mengarang esei serta pertan-dingan melukis.

Koperasi sekolah ini dahulunya mempunyai petugas khas bagi menjalankan urusan jual beli di kedainya. Bagaimanapun, setelah dipersetujui dalam Mesyuarat Agung, khidmat petugas ini dihentikan dan digantikan dengan para pelajar seramai 20 orang bagi menjalankan urusan tersebut. Guru ALK seperti Setiausaha dan Bendahari akan me-mantau tugas-tugas ALK pelajar ini.

Menyentuh berkenaan proses pembinaan kedai koperasi sekolah ini, ia mula dibina pada bulan Jun 2003 dan siap sepenuhnya menjelang tahun 2004. ALK koperasi sekolah ini melangkah bergaya ke gerbang tahun baru 2004 dengan berpindah ke bangunan kedai yang baru beserta semangat dan azam baru.

Hasrat yang dinyatakan oleh kedua-dua ALK guru yang dedikasi ini ialah agar koperasi sekolah ini lebih cemerlang dan mampu men-capai sesuatu di masa depan. Ia bukan sahaja menunjukkan koperasi ini mampu bersaing dengan koperasi-koperasi sekolah lain yang ternama, malah ia juga sebagai pemangkin kepada warganya untuk lebih aktif berkoperasi.


 

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop