Koperasi Urus Tempat Letak Kereta KEANGGOTAAN Koperasi Kakitangan Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri
Pahang (PKNP) Berhad terdiri daripada kakitangan Kumpulan Kemajuan
Negeri Pahang, kakitangan Pasdec Corporation Sdn. Bhd. dan kakitangan
Pasdec Resourse Sdn. Bhd. Kini bilangan anggota koperasi berjumlah 296 orang
dengan modal terkumpul lebih daripada RM1.65 juta. Namun begitu, masih ramai
di kalangan kakitangan kumpulan PKNP tidak menyertai koperasi.
Pengerusinya, Encik Baharum Lajim berkata, sejak koperasi didaftarkan pada 1
November 1993 berbagai-bagai usaha telah dilakukan untuk mencari peluang perniagaan
bagi meningkatkan pendapatan koperasi. Dua kegiatan yang memberi pendapatan pada
koperasi ialah mengendalikan operasi tempat letak kereta di belakang Kompleks
Teruntum, Kuantan dan skim pinjaman wang kepada anggota.
Menurutnya, kutipan tempat letak kereta merupakan sumber pendapatan utama koperasi
dengan purata perolehan tahunan kira-kira RM300 000 ke atas. Koperasi juga bertanggungjawab
menjalankan kerja-kerja penyeleng-garaan tempat letak kereta mengikut keperluan
dan peruntukan yang ada seperti kebersihan kawasan dan menurap permukaan jalan
yang rosak.
Terdapat 206 petak letak kereta disediakan di sini. Setiap kali kereta yang masuk
dikenakan bayaran sebanyak RM1.20. Bagi kemudahan pelanggan tetap pula, mereka
boleh membuat bayaran bulanan tanpa had keluar masuk. Bayaran bulanan kepada
anggota koperasi ialah RM20, manakala bukan anggota sebanyak RM45.
Encik Baharum memberitahu, permintaan terhadap tempat letak kereta begitu menggalakkan
dan kadang-kadang ianya tidak dapat menampung kenderaan yang ada. Ini adalah
kerana ianya terletak hampir dengan pejabat-pejabat kerajaan, pusat membeli-belah
dan sebagainya. Oleh itu, koperasi sedang berusaha untuk mengambil alih tempat
letak kereta yang berhampiran yang diuruskan oleh syarikat swasta melalui PKNP.
Jika ini berjaya, ianya pasti memberi pulangan yang baik kepada koperasi.
Setiausaha koperasi, Encik Ahmad Rosdi Abd. Razak berkata, selain daripada tempat
letak kereta, koperasi turut mendapat sumber pendapatannya melalui skim pinjaman
kepada anggotanya. Melalui skim tersebut, seseorang anggota tidak perlu bersusah
payah mendapatkan pinjaman daripada bank dan sebagainya. Koperasi mampu menyediakan
skim pinjaman yang mudah, cepat dan mengenakan kadar faedah yang rendah kepada
anggotanya.
Menurutnya, sebanyak empat skim pinjaman disediakan oleh koperasi untuk anggotanya.
Pinjaman tersebut ialah pinjaman berjamin (Al-Qardul Hassan), pinjaman biasa
(80 peratus caruman yuran anggota), pinjaman kecemasan dan pinjaman umrah. Setakat
hari ini, kesemua skim tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakkan di
kalangan anggota koperasi.
Sementara itu, Bendahari koperasi, Encik Abdullah Abd. Rashid berkata, koperasi
tidak sahaja menumpukan perhatian kepada masalah mencari sumber pendapatannya
tetapi juga prihatin kepada anggotanya. Sehubungan itu, koperasi telah menyediakan
sumbangan hadiah pelajaran kepada anak-anak anggota yang berjaya dengan cemerlang
di dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STPM dan institusi pengajian tinggi (IPT).
“Selain itu, koperasi turut memberi sumbangan kepada anggota yang menunaikan
fardhu haji, sumbangan kepada anggota yang sakit, sum-bangan khairat kematian,
sumbangan kepada fakir miskin sempena Hari Raya Aidil Fitri dan sebagainya. Sumbangan
tersebut diuruskan melalui biro kebajikan dan pelajaran Koperasi Kakitangan Kumpulan
PKNP Berhad,” jelas beliau.
Pengerusinya, Encik Baharum Lajim mengharapkan
supaya semua anggota dapat menggembleng tenaga, idea dan wang
ringgit
untuk memajukan koperasi ini demi manfaat bersama.
Kepada pihak pengurusan PKNP beliau merakamkan terima kasih kerana telah
memberikan kerjasama dan sokongan kepada pihak koperasi.
|