PELANCAR ONLINE
JANUARI 2005

 

 

 

 

Tiba Masa Usaha Ladang Sendiri

KEGIATAN perniagaan yang berunsurkan pertanian adalah kegiatan utama bagi koperasi di bawah FELDA, FELCRA dan seumpamanya di mana kebanyakan anggotanya adalah di kalangan petani dan juga peneroka. Perkhidmatan pengangkutan buah sawit misalnya adalah antara beberapa bentuk kegiatan perniagaan biasa yang dijalankan oleh koperasi di bawah FELDA sepertimana Koperasi Peneroka-Peneroka FELDA Kerteh Dua Berhad.

Menurut Pengerusi, Encik Ramli Abd. Hadi, sejak ditubuhkan pada tahun 1985, matlamat asal koperasi ini adalah untuk mewujudkan perkhidmatan mengangkut buah kelapa sawit di ladang. Kegiatan ini sesuai dengan fungsi koperasi yang berasaskan pertanian. Kegiatan ini juga boleh membantu anggota yang terdiri daripada peneroka-peneroka. Ia menjalankan tugas seharian mereka. Bagi memulakan kegiatan pengangkutan buah sawit ini katanya, koperasi telah membeli tiga buah traktor dan sebuah lori. Dalam tempoh satu hari, kira-kira 40 tan buah sawit mampu diangkut oleh koperasi dari ladang dan dihantar terus ke kilang sawit untuk diproses.

Selain itu, koperasi juga mempelbagaikan fungsi perkhidmatannya dengan melakukan kerja-kerja di ladang seperti membaja kawasan tanaman ladang, memperbaiki jalan di ladang dan sebagainya. Pada masa yang sama pihak koperasi turut membeli buah sawit secara terus daripada peneroka.

Bagi peneroka-peneroka, mereka boleh datang terus ke koperasi membawa buah sawit untuk ditimbang, dijual dan dibayar secara tunai mengikut harga yang telah ditetapkan oleh kilang. Ini memudahkan kerja koperasi kerana buah yang dibeli secara terus akan disimpan di koperasi sebelum dihantar ke kilang di mana pihak koperasi tidak perlu masuk ke ladang. Oleh itu, peneroka-peneroka khususnya anggota koperasi mempunyai satu saluran menjual buah sawit iaitu melalui koperasi. Ini boleh mengelakkan mereka daripada menjual kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Namun, menurut pengalaman beliau, koperasi tidak boleh tertumpu kepada kegiatan yang sedia ada sahaja memandangkan harga sawit di pasaran luar sentiasa berubah yang boleh menjejaskan pendapatan koperasi. Walaupun koperasi mampu memperolehi pendapatan kira-kira RM10 000 hingga RM12 000 sebulan, kepelbagaian bentuk kegiatan mampu memantapkan koperasi ini, sekali gus menyediakan pelbagai kemudahan kepada anggota.

Antara kegiatan yang turut menyumbang kepada sumber pendapatan koperasi adalah perkhidmatan mencuci kenderaan khususnya lori-lori yang terlibat dengan kerja-kerja ladang. Pemilik kenderaan yang menggunakan perkhidmatan ini akan dikenakan bayaran sebanyak RM10 untuk sebuah kenderaan. Walaupun kegiatan ini tidak memberikan pulangan yang lumayan kepada koperasi ianya dapat memberi manfaat kepada anggotanya.

Melalui kegiatan pengangkutan buah sawit ini, beliau menjelaskan koperasi telah mampu memberi kemudahan dan kebajikan kepada anggotanya melalui keuntungan pendapatan yang diperolehi. Namun, sudah sampai masanya pihak koperasi meluaskan bidang kegiatannya khusus dalam bidang pertanian ini dengan mengusahakan sebuah ladang kelapa sawitnya sendiri.

Tegasnya, bidang pertanian masih menjadi kegiatan utama koperasi, malah dengan adanya kepakaran kepakaran Anggota Lembaga yang berpengalaman dalam pengurusan ladang kelapa sawit serta sokongan yang kuat daripada anggota dapat membantu koperasi melaksanakan perancangannya. Pada peringkat awal ini, koperasi telah memohon sebuah tanah daripada pihak FELDA bagi tujuan tersebut. Pada masa yang sama juga koperasi turut meninjau beberapa peluang perniagaan lain seperti mengusahakan sebuah stesen minyak yang dilihat mampu menjana sumber kewangan koperasi dan manfaat terhadap anggota.

Koperasi Peneroka-Peneroka FELDA Kerteh Dua Berhad, d/a Koperasi FELDA Kerteh Dua, 23100 Paka, Terengganu Darul Iman. Tel : 09-8200556.

 

 


 

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop