PELANCAR ONLINE
JANUARI 2005

 

 

 

 

KOSPEP Koperasi Warga Pendidik

PERKEMBANGAN sistem pendidikan negara selari dengan arus pembangunan mewujudkan beberapa kelompok masyarakat Melayu moden yang berpendidikan tinggi. Bidang pendidikan merupa-kan salah satu bidang yang men-dapat sambutan kaum Melayu profesional sekitar tahun 80-an.

Kewujudan Koperasi Serbaguna Perkhidmatan Pendidikan Sabak Bernam Berhad (KOSPEP) juga merupakan kesinambungan daripada senario tersebut. Menurut Bendahari, Encik Hasim Seli, KOSPEP diwujud-kan oleh para pendidik Melayu di sekitar Sabak Bernam pada tahun 1980 dan berdaftar secara rasmi pada tahun 1983.

Seawal penubuhannya dahulu, KOSPEP ditadbir dan beroperasi di Sekolah Kebangsaan Seri Makmor kerana Anggota Lembaga Koperasi (ALK) yang bertanggungjawab ketika itu kebanyakannya pendidik di se-kolah tersebut. Malah, terdapat sebuah kedai koperasi ditubuhkan di situ.
Bagaimanapun, setelah berlaku perubahan sistem yang disyaratkan oleh Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK), KOSPEP terpaksa berpindah dan mencari tapak operasinya yang baru. Kini, KOSPEP mampu mengorak langkah lebih jauh dengan kegiatan utamanya dalam bidang pinjam-meminjam dan penyewaan bangunan.

Bendahari juga menjelaskan bahawa KOSPEP ditubuhkan untuk menjaga kepentingan anggota-anggotanya yang terdiri daripada warga pendidik di sekitar Sabak Bernam ini. Ia dikhususkan pula untuk warga pendidik yang beragama Islam dan mengajar di daerah ini tidak kira di mana-mana jenis sekolahpun. Guru-guru dari kemen-terian dan juga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diambil menyertai koperasi ini.

Beliau turut menekankan bahawa KOSPEP sengaja dikhususkan sedemikian bagi menyediakan satu landasan buat semua warga pendidik ini agar nasib mereka terbela. Ini kerana, sumber pendapatan yang agak kecil dan terhad memberi kesan besar terhadap sosioekonomi anggota-anggotanya.

Berasaskan konsep jimat-cermat demi kebajikan, KOSPEP berjaya melaksanakan berbagai-bagai bentuk program menguntungkan anggotanya seperti pembiayaan Bai Al-Inah, pelaburan dana ke dalam akaun-akaun semasa di bank-bank utama, pelaburan Al-Mudharabah dan juga pelaburan dalam bentuk kepingan wang emas. Konsep ini ternyata banyak membantu KOSPEP maju dan bergerak pantas dalam menjana ekonominya.

Kini dengan keanggotaan seramai 1064 orang, KOSPEP mampu memiliki dua lot kedai yang disewakan kepada pengusaha luar. Bangunan berharga kira-kira RM200 000 itu merupakan mercu tanda pertama KOSPEP. Setelah beberapa tahun KOSPEP berjaya menambah asetnya juga berbentuk bangunan lot kedai yang berharga RM246 000 di pekan Sungai Besar.

Difahamkan, KOSPEP juga merancang untuk memajukan sebidang tanah pertanian sebagai tapak perumahan yang jaraknya kira-kira dua kilometer sahaja dari pekan Sabak Bernam. Projek tersebut dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh lima tahun ini.

“Perancangan yang dibuat dan dipersetujui semua ALK ialah menempatkan beberapa unit rumah teres kos sederhana serta 10 unit rumah kedai di tapak baru itu nanti,” demikian ujar Bendahari lagi.

Katanya, tanah tersebut merupakan milik salah seorang anggota KOSPEP yang akhirnya menjualkannya kepada koperasi ini. Tanah tersebut cukup sesuai untuk dibangunkan sebagai projek hartanah kerana berhampiran dengan kawasan bandar dan juga dilihat bakal memberi warna baru kepada KOSPEP di masa depan.

Koperasi Serbaguna Perkhidmatan Pendidikan Sabak Bernam Berhad, No. 25E, Tingkat 2, Bangunan KOSPEP, Jalan Mahsuri, 45300 Sungai Besar, Selangor Darul Ehsan. Tel. : 03-32241112.

 

 


 

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop