PADA rencana yang lepas (PELANCAR
bulan September 2003) saya telah menyentuh tiga prinsip
terakhir koperasi yang relevan dengan
kehidupan manusia sekarang.
Kini, saya ingin kaji empat prinsip awal yang juga merupakan
faktor penting dalam
menentu-kan koperasi bergerak seperti yang dikehendaki.
Prinsip pertama menetapkan mereka yang ingin menganggotai koperasi adalah atas
kehendak sendiri tanpa pengaruh daripada mana-mana pihak.
Koperasi sebagai organisasi, bertujuan membantu diri sendiri, akan hanya berjaya
dalam jangka masa panjang, jika individu secara sukarela menerima peruntukan
yang ada dalam Undang-Undang Kecil (UKK) dan ketetapan yang digariskan oleh koperasi
bagi tindakan bersama. Jika anggota dengan sukarela menganggotai koperasi, maka
dengan sendirinya anggota berkenaan telah bersetuju menerima peruntukan yang
ada dalam UUK koperasi dan peraturan-peraturan yang digariskan oleh koperasi
berkenaan.
Prinsip keanggotaan sukarela juga, meliputi hak seseorang anggota untuk berhenti
daripada koperasi. Prinsip keanggotaan terbuka pula bermaksud, sesiapa sahaja
yang ingin menganggotai koperasi boleh berbuat demikian. Sebagai organisasi membantu
diri sendiri, koperasi dibina atas kerjasama dan perpaduan anggota-anggotanya.
Lebih ramai menganggotai koperasi, lebih mudah anggota dan juga koperasi mencapai
matlamat yang dituju.
Namun, keanggotaan terbuka tidak bermaksud sesiapa sahaja boleh menganggotai
koperasi. Koperasi boleh menolak mana-mana anggota yang difikir tidak sesuai
dengan peruntukan dalam UUK koperasi. Ini bagi menjamin keharmonian, perpaduan
dan kerjasama dalam kumpulan, wujud.
Prinsip kedua pula menekankan kepada kuasa mutlak yang ada pada anggota koperasi
dalam menentukan perjalanan sesebuah koperasi. Kenyataan satu anggota satu undi,
menunjukkan tahap demokrasi yang begitu tinggi dalam koperasi.
Mesyuarat Agung adalah kuasa tertinggi dalam pentadbiran koperasi dan mempunyai
kuasa pemutus dalam hal ehwal sesebuah koperasi. Badan tersebut boleh menetapkan
dasar, kegiatan, merangka UUK, melantik pentadbir koperasi dan meluluskan laporan
kewangan, audit dan juga belanjawan koperasi. Anggota Lembaga Koperasi (ALK)
yang dilantik dalam koperasi bertanggungjawab kepada Mesyuarat Agung dengan cara
melapor kepada anggota berkaitan perkembangan dan kegiatan koperasi serta mendapatkan
mandat baru untuk meneruskan kegiatan pada tahun berikutnya.
Prinsip ketiga koperasi pula menekankan kepada penglibatan ekonomi oleh anggota.
Antara lain prinsip ini menekankan kepada konsep bayaran atas langganan iaitu
keuntungan yang dipulangkan kepada anggota mengikut langganan yang dibuat oleh
anggota berkenaan, bukan mengikut jumlah syer yang dipunyai oleh anggota-anggotanya.
Prinsip keempat koperasi pula menekankan
pada autonomi dan kebebasan. Autonomi bermaksud bebas
daripada kawalan luar. Koperasi adalah badan yang dimiliki
dan
dipunyai bersama oleh anggota-anggotanya. Ia seharusnya bebas
dari campur tangan kuasa-kuasa luar. Koperasi juga berhak
menentukan
apa faedah yang boleh mereka
dapat dan juga cara mana koperasi hendak mereka gerakkan, berdasarkan
prinsip-prinsip dan undang-undang koperasi yang sedia ada.
Antara lain prinsip keempat ini memberi kebebasan kepada koperasi menetapkan
hala tuju dan matlamat koperasi, kebebasan untuk menggaris, menambah dan membatal
UUK, memilih wakil-wakil lembaga untuk mentadbir koperasi, menetap dan melaksanakan
dasar seperti yang ditetapkan oleh UUK dan bebas untuk bekerjasama dan bergabung
dengan mana-mana koperasi yang difikirkan sesuai dan menguntungkan anggota-anggota
koperasi.
Dari fakta di atas jelaslah pada kita bahawa
prinsip-prinsip koperasi yang diamalkan sejak 160 tahun
yang lalu masih relevan dengan situasi masa kini dan haruslah
diterima pakai dan menjadi asas kepada amalan koperasi di seluruh
dunia.