Sistem Potongan Gaji ANGKASA (SPGA)

Sistem Potongan Gaji ANGKASA (SPGA) ialah satu sistem di mana semua potongan koperasi dan lain-lain organisasi diuruskan melalui satu saluran demi memudahkan urusan potongan gaji anggota diproses oleh jabatan kerajaan atau majikan swasta (yang berdaftar dengan BPA). Sistem ini juga merupakan satu kemudahan kepada koperasi dan lain-lain organisasi untuk mengutip bayaran seperti yuran, saham, ansuran pinjaman dan sebagainya dengan cara lebih bersistematik dan terjamin.

Bagi anggota koperasi, sistem ini memberi kemudahan untuk mereka membayar balik semua ansuran pinjaman atau lain-lain tuntutan kepada koperasi atau organisasi lain melalui sekali arahan. Sistem ini diwujudkan bagi memudahkan urusan semua pihak, samada “jabatan/majikan” dalam urusan penyediaan gaji setiap bulan, “koperasi/organisasi” dalam urusan mengutip bayaran balik pinjaman dan yuran manakala “anggota/individu” dalam urusan menyelesaikan bayaran ansuran setiap bulan.

SPGA dikendalikan oleh Bahagian Perkhidmatan Kredit dan Perbankan (BPKP) iaitu satu daripada bahagian yang diwujudkan oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA). Koperasi atau organisasi yang melanggan perkhidmatan BPA boleh menggunakan sistem dalam talian (online) untuk mendaftar arahan potongan baru atau meminda / menghentikan tuntutan semasa. Pengguna SPGA perlu ada perkakasan “MYKAD Reader” untuk membaca kad pengenalan diri sebagai mengesahkan identiti pengguna sistem.

Sistem Pelaporan Kredit ANGKASA dan RAM Credit Info atau ringkasnya “SPeKAR” menyediakan semakan maklumat kredit individu yang menggabungkan rekod SPGA dengan maklumat kredit di syarikat bukan-kewangan serta status bankrupsi dan juga kes litigasi atau saman mahkamah. Maklumat kredit yang lengkap dapat membantu koperasi atau institusi kewangan lain membuat penilaian kredit seseorang pemohon kredit (individu).

 

Kiosk SPGA

Bagi memenuhi keperluan anggota koperasi, ANGKASA telah menyediakan 24 unit kiosk Sistem Potongan Gaji ANGKASA (SPGA) di beberapa lokasi strategik seluruh malaysia termasuk Sabah dan Sarawak mulai tahun 2013. Melalui perkhidmatan kiosk ini, semua anggota koperasi boleh mendapatkan penyata potongan bulanan yang diuruskan oleh Bahagian Perkhidmatan Kredit dan Perbankan ANGKASA (BPKP) secara layan diri.

Anggota koperasi (pelanggan) hanya perlu memasukkan kad pengenalan (MYKAD) yang dilengkapi dengan cip maklumat peribadi dan perlu disahkan dengan cap jari. Perkhidmatan ini diberi secara PERCUMA sebagai usaha berterusan ANGKASA memberi perkhidmatan yang terbaik untuk warga koperasi seluruh Malaysia.