Mengenai ANGKASA

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) telah didaftarkan pada 12 Mei 1971 di bawah Ordinan Koperatif 33/1948. ANGKASA ditubuhkan hasil daripada cadangan Kongres Kerjasama Kedua yang dirasmikan oleh YAB Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang kedua.

ANGKASA telah diangkat sebagai sebuah koperasi yang mewakili gerakan koperasi seluruh Malaysia. Pada 23 Mei 1996, perisytiharan pengiktirafan ini telah diwartakan.

"Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh Perenggan 57(2)(b) Akta 502 Akta 502 Akta Koperasi 1993, Menteri mengisytiharkan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) sebagai badan yang mewakili gerakan koperasi Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," menurut [KTPK.(S)07/49/1/9: PN. (PU2) 572/III].

Sebagai badan apex gerakan koperasi negara ANGKASA juga turut menganggotai ASEAN Cooperative Organization (ACO) dan International Cooperative Alliance (ICA). Presiden ANGKASA Dato' Haji Abdul Fattah Haji Abdullah juga telah dilantik sebagai Presiden ACO.


Visi, Misi, Matlamat & Fungsi

Visi ANGKASA adalah menjadi badan apeks pemangkin pembangunan koperasi terunggul di ASEAN menjelang 2020.

Misi ANGKASA adalah menyediakan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi serta melindungi kepentingan dan memperjuangkan hak gerakan koperasi melalui pengurusan yang professional.

Matlamat penubuhan ANGKASA terkandung di dalam Undang-Undang Kecil (UUK) ANGKASA (Pindaan 2010). Menurut subseksyen 4(3) Akta, matlamat ANGKASA sebagai badan yang mewakili Gerakan Koperasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa (yakni koperasi apeks) ialah:-

1. menyatukan semua koperasi dalam Malaysia;

2. mewakili Gerakan Koperasi Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa;

3. memperjuang, mengawasi dan menjaga kepentingan dan pembangunan koperasi ahli khususnya dan Gerakan Koperasi amnya;

4. dan memudahkan operasi koperasi ahli.

Fungsi utama ANGKASA yang terkandung di dalam UUK 11 (1) adalah memastikan matlamatnya (ANGKASA) tercapai dengan memberi perkhidmatan sebagaimana yang diperihalkan dalam Undang-Undang Kecil. Di dalam UUK 11 (2), ANGKASA berfungsi untuk :-

1. memberi nasihat dan bantuan kepada koperasi ahli dalam perjalanan pengurusan perniagaan mereka;

2. menggalakkan kajian penyelidikan dan pembangunan berkaitan dengan Gerakan Koperasi;

3. menyedia dan memberi perkhidmatan nasihat dan panduan berkenaan dengan hal pentadbiran, pengurusan, perakaunan, audit, undang-undang, keusahawanan, skim perlindungan sosial termasuk zakat dan wakaf, kemudahan BPA dan lain-lain perkhidmatan untuk kepentingan koperasi ahli dan gerakan Koperasi amnya;

4. memajukan pendidikan, latihan dan penerangan ilmu koperasi, dan ilmu perniagaan, keusahawanan dan perindustrian dalam bidang yang dinyatakan dalam perenggan (o) fasal (1) undang-undang kecil 12;

5. membantu Kerajaan untuk menggalakkan dan mengembangkan Gerakan Koperasi dalam Malaysia selaras dengan Dasar Koperasi Negara dana pa-apa dasar Kerajaan berhubungan dengan koperasi;

6. mengambil dayausaha dan initiatif bagi menggalakkan dan menjalankan aktiviti-aktiviti dalam bidang sosial dan ekonomi Negara;

7. mengadakan atau menerima dan mentadbir kumpulan wang, tabung atau skim khas atau am bagi memajukan Gerakan Koperasi;

8. memainkan peranan dan menyelaras, sejauh mana yang munasabah, penjagaan alam sekitar;

9. berkhidmat sebagai pusat tumpuan fikiran mengenai segala perkara yang berkaitan dengan Gerakan Koperasi dan mengemukakan fikiran dan pendapat mengenai Gerakan Koperasi kepada mana-mana pihak yang berkaitan;

10. mengumpul segala maklumat berkaitan dengan Gerakan Koperasi;

11. mempromosi dan mengembang teknik pengurusan dan perniagaan serta penggunaan alat dan teknologi yang canggih;

12. melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan dan kebajikan termasuk penubuhan pasukan sukarela di dalam dan luar Malaysia; dan

13. pada amnya membantu dan memudahkan operasi koperasi ahli.


Keahlian ANGKASA

Perangkaan Keahlian ANGKASA

 


Pelan Strategik dan Pelan Tindakan ANGKASA

Pembangunan Pelan Strategik ANGKASA (2017-2050) merangkumi Empat (4) Tunggak Strategik iaitu TUNGGAK EKONOMI, TUNGGAK EKOSISTEM, TUNGGAK TADBIR URUS dan TUNGGAK INOVASI. Teras-teras bagi setiap tunggak diberi Fokus Dalaman (untuk memperkukuh infrastruktur organisasi ANGKASA) dan Fokus Luaran (untuk melestarikan gerakan koperasi yang diterajui ANGKASA).

Pembangunan Pelan Strategik ANGKASA (2017-2050) ini adalah sejajar dengan aspirasi-aspirasi kerajaan seperti yang terkandung dalam Dasar Ekonomi Baru, Dasar Koperasi Negara 2011-2020 dan Deklarasi Putrajaya. Dalam membangunkan teras-teras setiap tunggak, kelima-lima fokus strategi utama yang digariskan dalam Dasar Koperasi Negara (2011-2020) juga digunakan sebagai rujukan dan dihubungkaitkan dengan Teras Strategi ANGKASA (2017-2050).

Untuk mencapai hasil-hasil strategi yang telah ditetapkan bagi setiap Tunggak, ANGKASA akan melestarikan kedudukan ANGKASA sebagai badan APEKS sehingga ke peringkat global dengan menyusun Pelan Tindakan mengikut tiga (3) jangkamasa iaitu Pelan Jangka Pendek (2017-2020), Pelan Jangka Pertengahan (2021-2030) dan Pelan Jangka Panjang (2031-2050).

Sehubungan itu, pembangunan teras berdasarkan kedua-dua fokus ini akan memastikan kesinambungan dari aspek 'weightage' hala tuju strategi ANGKASA untuk mencapai Misi dan Visi ANGKASA yang telah ditetapkan.