Pelan Strategik ANGKASA 2017-2050

Bermula Ogos 2016, proses pembangunan Pelan Strategik ANGKASA 2017-2050 telah diatur dan disusun dalam memastikan pelan tindakan dan pelan pelaksanaan ANGKASA sejajar dengan Visi dan Misi ANGKASA yang hendak dicapai.

Aspirasi Kerajaan (Dasar Ekonomi Baru, Dasar Koperasi Negara (DKN) 2011-2020 dan Deklarasi Putrajaya) digabungkan dengan aspirasi ANGKASA (Visi dan Misi, Prinsip, Nilai, Jati Diri, Isu dan Cabaran) dan dijadikan asas rujukan dalam memastikan asas pembangunan Pelan Strategik ANGKASA 2017-2050 dapat dicapai.

Pembangunan Pelan Strategik ANGKASA 2017-2050 telah mengambilkira idea serta pandangan menyeluruh daripada pihak Jawatankuasa, Pengurusan dan pegawai-pegawai yang terlibat serta hasil cetusan idea dari wakil-wakil koperasi dalam penglibatan mereka di Wacana Minda, Langkawi 2014.

Sepanjang tempoh Pelan Strategik ANGKASA 2017-2050 berjalan, aspirasi ANGKASA itu akan direalisasi dan dipantau melalui sistem Kad Skor Seimbang (Balance Scorecard) dan Petunjuk Pencapaian Prestasi (Key Performance Indicator) ANGKASA yang dibangunkan selaras dengan Pelan Tindakan Strategik ANGKASA 2017-2050.

Anjakan Pelak Pelaksanaan dan Pelan Tindakan Pelan Strategik ANGKASA dibahagikan kepada tiga (3) jangkamasa iaitu Pelan Jangka Pendek (2017-2020), Pelan Jangka Sederhana (2021-2030) dan Pelan Jangka Panjang (2031-2050).

Sejajar dengan pendekatan serta penambahbaikan yang berterusan, Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan (JTK) ANGKASA dalam Mesyuarat Bil.6/2016 pada 28 November 2016 telah meluluskan Pelan Strategik ANGKASA yang menetapkan hala tuju strategik yang baru mulai Januari 2017 hingga 2050.