Muzium Koperasi Malaysia

Muzium Koperasi Malaysia merupakan muzium koperasi pertama yang memaparkan dan mempamerkan pelbagai artifak sejarah -sejarah koperasi di Malaysia sejak 1922. Koperasi mempunyai sejarahnya tersendiri. Bermula dari tahun 1922 sehingga kini, koperasi meninggalkan banyak catatan sejarah dan warisan yang amat bernilai kepada masyarakat dan negara. Telah berkurun lamanya masyarakat kita sangat terkenal dengan budaya tolong-menolong dan saling bantu membantu. Selaras dengan falsafah nilai prinsip "Bekerja Bersama-sama Demi Manfaat Bersama" yang dipegang oleh koperasi.

Pada 2011, ANGKASA mengambil inisiatif menbuhkan Muzium Koperasi Malaysia, bertujuan memelihara dan memulihara pelbagai artifak koperasi yang mempunyai nilai sejarah dan warisan negara yang amat berharga kepada masyarakat umum terutamanya bagi generasi akan datang. Muzium ini mempunyai 15 segmen yang menarik untuk dilawati, antaranya:

SEGMEN 1: Gerakan koperasi di dunia

Memaparkan sejarah ringkas gerakan koperasi dunia bermula kurun ke-18 di England sehingga membawa kepada penubuhan Rochdale Pioneers Society Limited pada tahun 1844.

SEGMEN 2: Cetusan koperasi Tanah Melayu

Memaparkan kronologi sejarah awal gerakan koperasi di Tanah Melayu pada awal kurun ke-19 yang dipelopori oleh British.

SEGMEN 3: Kronologi gerakan koperasi

Menerangkan kronologi perkembangan gerakan koperasi di Tanah Melayu bermula tahun 1922 sehingga tertubuhnya ANGKASA pada tahun 1971

SEGMEN 4: Kementerian, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Maktab Koperasi Malaysia

Memaparkan ringkasan sejarah penubuhan Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) pada 1922 dan Maktab Bekerja Sama2 Malaya pada tahun 1956 serta kementerian yang menaungi gerakan koperasi di Malaysia.

SEGMEN 5: Penubuhan ANGKASA

Memaparkan sejarah prapenubuhan ANGKASA dari 1958 sehingga tertubuhnya ANGKASA pada 12 Mei 1971 yang didaftarkan di bawah Ordinan Koperasi 33/1948. Turut dipaparkan tarikh kongres diadakan bagi membincangkan usaha penubuhan Persatuan Kerjasama Peringkat Nasional atau singkatannya MAKMAL yang kemudiannya ditukarkan kepada ANGKASA.

SEGMEN 6: Peneraju kepimpinan ANGKASA

Memaparkan maklumat serta foto pengasas yang menubuhkan ANGKASA pada 1971 dan pemimpin yang menerajui ANGKASA sehingga sekarang.

SEGMEN 7: Pak Ungku wira koperasi negara

Menceritakan tentang usaha yang dilakukan YM Profesor Diraja Ungku A.Aziz dalam membangunkan gerakan koperasi di Malaysia dan penglibatannya di peringkat antarabangsa.

SEGMEN 8: Persidangan Kebangsaan Tahunan ANGKASA (PKTA)

Menceritakan secara ringkas tujuan PKTA dilaksanakan, tarikh PKTA pertama diadakan, individu yang merasmikan PKTA, lokasi yang diadakan dan jumlah perwakilan yang hadir serta agenda yang dibincangkan dalam PKTA.

SEGMEN 9: Pakaian rasmi /  Baju batik ANGKASA

Memaparkan perubahan baju batik ANGKASA yang diperkenalkan pada tahun 1971 hingga sekarang. Baju batik ini dipakai ketika Majlis Rasmi dan Persidangan Tahunan ANGKASA.

Segmen 10: Majalah PELANCAR ANGKASA

Memaparkan sejarah awal penerbitan Majalah PELANCAR pada 1974 sehingga sekarang dan peranannya dalam memaparkan berita, aktiviti serta perkembangan gerakan koperasi di Malaysia.

Segmen 11: Sejarah awal gerakan koperasi sekolah

Memaparkan sejarah awal bermulanya koperasi sekolah dengan penubuhan Sharikat Kerjasama Murid-Murid Sekolah Menengah Dr. Burhanuddin Taiping Berhad pada 1969 sebagai koperasi sekolah pertama di Malaysia.

Segmen 12, 13 dan 14: Artifak, dokumen dan peralatan pejabat

Memaparkan sejarah awal penerbitan Majalah PELANCAR pada 1974 sehingga sekarang dan peranannya dalam memaparkan berita, aktiviti serta perkembangan gerakan koperasi di Malaysia.

Segmen 15: Petanq sukan rasmi koperasi

Memaparkan kisah di sebalik kewujudan sukan petanq di Malaysia yang diiktiraf sebagai sukan rasmi koperasi. Sukan petanq mula diperkenalkan oleh Profesor Diraja Ungku A.Aziz, Yang Dipertua ANGKASA pada 1989.

 


BAYARAN MASUK:
PERCUMA

MASA LAWATAN:
ISNIN - JUMAAT 
8:30 AM - 4:30 AM 

MUAT TURUN RISALAH
Klik di sini

MAKLUMAT PERHUBUNGAN:
Bahagian Komunikasi Korporat
Wisma Ungku A. Aziz,
Jalan SS6/1, Kelana Jaya
Peti Surat 8797, Pejabat Pos Kelana Jaya
46798 Petaling Jaya, Selangor
Telefon: +603 - 7800 7879 Faks: +603 - 7804 8271 E-mel: korporat.angkasa@gmail.com