|
ATURCARA SISTEM POTONGAN GAJI
Pada umumnya terdapat dua cara penyediaan lembaran
gaji kakitangan kerajaan, satu berkomputer dan kedua secara manual.
Lembaran gaji berkomputer biasanya disediakan oleh Jabatan Akauntan
Negara dan Bendahari Negeri dan jabatan besar yang menguruskan gaji
secara berkomputer.Manakala lembaran gaji
manual disediakan di jabatan-jabatan di mana anggota koperasi itu
bertugas.
Aturcara potongan koperasi melalui BPA ini juga
dibahagi kepada dua mengikut keadaan samada lembaran gaji sesuatu
jabatan itu dibuat berkomputer ataupun secara manual.
SISTEM GAJI MANUAL
Secara ringkas aturcara potongan koperasi melalui
BPA bagi lembaran gaji tidak berkomputer (manual) adalah seperti
berikut :-
-
Koperasi akan menghantar maklumat potongan yang
hendak dilakukan daripada gaji anggota-anggota dengan menggunakan
Borang BPA 1/79 bagi potongan baru, Borang 2/79 bagi perubahan
ke atas potongan yang sedang dijalankan dan Borang BPA 1/79A
bagi potongan penjamin. Sistem potongan BPA ini menggunakan
dua jenis borang sahaja sebagai input untuk mengemaskini rekod-rekod
potongan.
-
Berdasarkan kepada maklumat yang diterima melalui
borang-borang tersebut di atas, BPA akan mengemaskinikan rekod-rekod
potongan yang terlibat samada mewujudkan rekod potongan baru,
menambah atau mengurangkan jumlah potongan ataupun menghentikan
potongan.
-
Setelah selesai kerja-kerja mengemaskini rekod-rekod
potongan BPA akan mencetak Penyata Potongan BPA untuk dihantar
kepada semua Jabatan-jabatan Kerajaan yang menyediakan lembaran
gaji.
-
Jabatan yang menyediakan lembaran gaji akan
membuat potongan dari gaji anggota berdasarkan kepada Penyata Potongan
BPA yang diterima setiap bulan. Seterusnya satu salinan Penyata
Potongan BPA berserta Lembaran Gaji dan Borang Permohonan Cek
dihantar kepada Jabatan Akauntan Negara atau Bendahari Negeri
untuk mendapatkan cek gaji dan cek-cek bayaran koperasi dan
lain-lain bayaran.
-
Jabatan Akauntan Negara atau Bendahari Negeri
akan menyediakan cek-cek yang diperlukan dan menghantarnya kepada
Jabatan-jabatan berkenaan.
-
Jabatan akan menghantar cek potongan gaji berserta
dengan satu salinan Penyata Potongan BPA kepada BPA.
-
Setelah menerima cek bayaran daripada Jabatan,
BPA akan memprosesnya. Penyata Analisa Bayaran Koperasi akan
disediakan dan dihantar kepada koperasi-koperasi berserta cek
bayaran.
SISTEM GAJI BERKOMPUTER
Bagi Jabatan-jabatan di mana lembaran gaji disediakan
dengan komputer, aturcara sistem potongan adalah lebih mudah dan
pendek seperti berikut :-
-
Selepas kerja-kerja mengemaskini rekod potongan
selesai, maklumat potongan akan disediakan di dalam pita magnetik
atau disket. Pita/disket dihantar ke Jabatan Akauntan Negara,
Bendahari Negeri dan lain-lain Jabatan yang menggunakan komputer.
-
Jabatan-jabatan berkenaan akan menggunakan katrij/pita/disket
tersebut sebagai input bagi mendapatkan maklumat potongan yang
perlu dilakukan ke atas gaji anggota koperasi.
-
Kemudian Jabatan pula akan menyediakan katrij/pita/disket
yang mengandungi semua butir-butir potongan yang telah dapat
dilakukan dan menghantarnya kepada BPA berserta cek bayaran
sejumlah yang telah dipotong.
-
Katrij/pita/disket tersebut diproses oleh BPA
yang seterusnya akan menyediakan Penyata Analisa Bayaran Koperasi
dan menghantarnya kepada koperasi-koperasi berserta cek-cek
bayaran.
Kedua-dua aturcara di atas dijalankan dan diulangi
setiap bulan.
|