ANGKASA telah mencapai satu tahap membanggakan dalam memberikan pelajaran kepada koperator wanita serta memperjuangkan hak-hak kesamaan gender. Ianya jelas terbukti di mana ANGKASA telah berupaya memberikan peruntukan pendidikan koperasi kepada wanita. Malah penglibatan ANGKASA jauh lebih baik berbanding dengan sesetengah negara di peringkat Asia Pasifik atau dunia sekalipun.

Puan Hajah Rahaiah Baheran
"Kita telah mencapai satu tahap di mana ANGKASA memberi peruntukan yang banyak untuk program pembangunan wanita. Tidak semua negara di Asia Pasifik malahan tahap dunia sekalipun yang mempunyai kelebihan sedemikian. Terpulang kepada kita samada untuk mengambil peluang tersebut atau tidak" demikian menurut Naib Dipertua ANGKASA, Puan Hajah Rahaiah Baheran semasa ucapan beliau kepada 50 orang peserta Kursus Kepimpinan Wanita dalam Gerakan Koperasi yang diadakan di ANGKASA, Kelana Jaya dari 21 hingga 23 Mac, 2006.
"Kita beruntung kerana ANGKASA bukan sahaja memberi peluang kepada golongan wanita meningkatkan tahap pelajaran malah ANGKASA turut mengadakan kursus khas untuk wanita seperti Kursus Keterampilan Bertutur dan kursus-kursus TASKA TCM" ujar beliau yang juga merupakan ahli lembaga pengarah Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA).
Menyentuh tentang kewanitaan dan emosi beliau menyatakan bahawa emosi seseorang wanita akan menjadikan sesuatu perkara itu positif jika emosi tersebut dipandukan dengan kebijaksanaan. Sebab itu diadakan Kursus Keterampilan Bertutur yang memberi pengetahuan kepada wanita mengenai tatacara persembahan ketika bermesyuarat dan memandu emosi mengikut agenda mesyuarat.
Beliau merujuk kepada satu insiden dalam mesyuarat agung di mana seorang koperator wanita yang memberi ucapan berapi-api semasa ucapan penangguhan mesyuarat. "Itu tidak memberi makna samasekali kerana ucapan tersebut sepatutnya disampaikan semasa dalam agenda yang telah ditetapkan dalam mesyuarat tersebut”, ujar beliau.
Selain daripada itu beliau mengingatkan seseorang wanita yang ingin menempatkan diri di dalam kepimpinan sesebuah gerakan koperasi mestilah bukan bertujuan untuk bersaing dengan golongan lelaki tetapi mestilah bertujuan memberikan sumbangan bagi menjayakan sesebuah koperasi.
Kursus Kepimpinan Wanita anjuran ANGKASA merupakan kursus yang menggunakan modul yang digubal bersama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Ikatan Koperasi Antarabangsa bertujuan membantu Wanita memahami kepentingan sebagai anggota koperasi serta meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka agar menjadi anggota yang efektif.