PELANCAR ONLINE
OGOS 2004

 

ARKIB PELANCAR 2004

 

 

 

 

Menjejak Tokoh Bahasa Melayu

LANGKAH Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendeta Za’ba Berhad sebagai hos memperkenalkan pakej lawatan ‘Menyelusuri Jejak Warisan Pendeta Za’ba untuk program Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS) di Negeri Sembilan, memang bijak. Pemilihan Pendeta Za’ba sebagai seorang tokoh bahasa Melayu amat bersesuaian dengan program yang mana melibatkan para pelajar ini.

Demikian menurut ADUN Seri Menanti, Haji Ibrahim Yahya yang merasmikan majlis penutupan PKS ini di Seri Menanti Resort pada 11 Julai 2004. Sekiranya sebelum ini, kebiasaannya pelajar hanya mengetahui sejarah Za’ba hanya melalui pembacaan dan pendidikan di sekolah, tetapi melalui program ini pelajar dapat menyelami lebih dekat kisah hidup Za’ba melalui lawatan ke tempat bersejarah beliau seperti rumah beliau dilahirkan, sekolah beliau mendapat pendidikan awal, pendidikan agama, barangan peninggalan beliau dan sebagainya.

Golongan generasi muda perlu ada pendidikan yang berterusan melalui program-program sebegini yang memilih subjek kajian berdasarkan tokoh-tokoh berwibawa yang sentiasa berjuang demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Melalui PKS ini katanya, koperator akan lebih dekat dengan sejarah tokoh seperti Pendeta Za’ba yang seterusnya dapat dijadikan teladan serta idola kepada mereka untuk berjaya di masa hadapan.

Selanjutnya beliau turut menekankan soal kemahiran dalam bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris penting dalam sektor pelancongan memandangkan ianya diguna pakai di peringkat antarabangsa. Koperasi sekolah yang melaksanakan bidang pelancongan perlu ada kemahiran ini. Jelas beliau, ketika ini Koperasi SMK Pendeta Za’ba Berhad menjadi hos kepada Koperasi Kolej Tunku Kursiah berhad yang mana pesertanya adalah di kalangan masyarakat tempatan. Mungkin suatu masa nanti, koperasi sekolah ini akan menerima tetamu di kalangan pelancong luar negara. Dengan adanya kemahiran berbahasa Inggeris akan melancarkan pelaksanaan projek koperasi PKS.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua ANGKASA, Hajah Rahaiah Baheran melahirkan rasa bangga dengan kemampuan Koperasi SMK Pendeta Za’ba Berhad melaksanakan PKS ini dengan begitu baik sekali. Walaupun baru pertama kali menganjurkan program pelancongan serta memikul satu tugas yang besar sebagai hos, namun mereka mampu memberikan perkidmatan yang terbaik kepada tamu dari segi penginapan, atur cara program yang tersusun dan sebagainya. Malah, pemilihan Seri Menanti Resort sebagai tempat menginap juga amat bersesuaian memandangkan terdapat tempat bersejarah seperti Istana Seri Menanti yang boleh dimuatkan dalam atur cara lawatan.

Menurut beliau, PKS ini merupakan kegiatan yang banyak memberi manfaat kepada anggota terutamanya pelajar dan juga kepada pihak koperasi sekolah. Dengan memperkenalkan konsep hos dan tamu, pelajar diberi bimbingan untuk berdikari mengendalikan sendiri program sebegini khususnya di pihak hos yang perlu merangka dengan bijak atur cara program dan menyediakan segala keperluan bagi memastikan ianya dapat dijalankan dengan jayanya.

Dalam ucapannya juga, beliau menyeru agar koperasi sekolah dapat menubuhkan satu tabung untuk kegunaan koperasi bagi tujuan pelancongan. Sekiranya sebelum ini pelajar terpaksa mengeluarkan belanja yang besar untuk tujuan melancong, tetapi dengan adanya tabung ini setidak-tidaknya, ianya dapat meringankan beban dengan menampung sebahagian perbelanjaan mereka dan sebagainya.

Program PKS ini telah berlangsung selama tiga hari dua malam bermula pada 9 Julai dan berakhir 11 Julai 2004 dengan kos RM60 seorang. Koperasi SMK Pendeta Za’ba Berhad telah bertindak sebagai Hos manakala seramai 27 orang peserta daripada Koperasi Kolej Tunku Kursiah Berhad menjadi Tamu. Seri Menanti Resort, Kuala Pilah telah dipilih sebagai lokasi penginapan untuk program ini. Dengan pakej lawatan ‘Menyelusuri Jejak Warisan Pendeta Za’ba pihak Hos telah membawa Tamu melawat ke tempat-tempat yang mempunyai kaitan dengan kehidupan Za’ba. Malah, bagi memastikan ianya lebih memberi kesan, turut diadakan tayangan video tentang pengenalan diri Zaaba, pengkisahan, pentomin dan syair Siti Zubaidah tentang Pendeta Za’ba.

Untuk memastikan agar pakej ini berjaya dan memberi kesan kepada pihak Tamu, Koperasi SMK Pendeta Za’ba Berhad turut mempersembahkan nyanyian bongai dan caklempong yang merupakan seni muzik tradisional Negeri Sembilan.

– ZULKARNAEN ABD. RANI

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright © 2001
webmaster@angkasa.coop